Ayda Jebat kahwin juruterbang



BELUM SEMPAT sampai ke hujung garisan, pelakon Ayda Jebat pernah tersungkur. Namun, dia tidak terus rebah. Awalnya dia cuba untuk terjun dalam bidang nyanyian namun bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan itu bangkit semula.

Meredah lembah seni selama dua tahun, anak kelahiran Melaka itu ada perkara yang perlu dibanggakan. Bukan mahu mendabik dada, tetapi setelah apa yang dilaluinya selama ini, sekurang-kurangnya pengorbanan yang diberikan berbaloi buat dirinya.

“Alhamdulillah rezeki itu sentiasa ada walaupun saya pernah kecundang sewaktu menyertai AF dahulu. Saya anggap rezeki saya mungkin dalam bidang lakonan. Tapi banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari dalam bidang ini,” tutur pelakon drama bersiri Ride itu.

Kini pelakon berumur 22 tahun itu mengorak langkah setapak lagi. Diberi peranan meneraju drama Rindu Awak 200%, Ayda menganggap ia sebagai satu permulaan baharu buat dirinya untuk menggilap bakat yang ada dengan watak yang lebih mencabar.

“Ini kira pertama kali saya diberi peranan memegang watak utama dalam sebuah drama genre romantik. Ia satu pengalaman baharu buat saya,” katanya yang turut digandingkan dengan pelakon Zul Ariffin.

Menyentuh mengenai drama arahan sutradara Aidilfitri Mohamed Yunos itu, menurut Ayda dalam drama itu dia memegang watak seorang perempuan tomboi.

“Dalam drama itu saya memegang watak Armel Aisya di mana dia pada awalnya seorang yang agak tomboi. Bagaimanapun, selepas itu saya berkahwin dengan Zul Ariffin dalam cerita itu.

“Peliknya, saya hanya tahu yang dia itu merupakan seorang juruterbang selepas berkahwin dengannya sebab selama ini dia merahsiakan perkara itu daripada saya. Daripada situlah bermulanya pelbagai konflik dalam perhubungan kami,” kongsi Ayda.

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Zul, ujar Ayda, dia cukup bertuah apabila pasangannya itu banyak memberi tunjuk ajar kepadanya sewaktu penggambaran.

“Saya sangat selesa dan bertuah apabila dapat berlakon bersama Zul. Dia banyak berkongsi ilmu,” katanya yang baru sahaja pulang dari Istanbul Khamis lalu kerana menjalani penggambaran drama 28 episod berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Ayda, sepanjang Ramadan ini, dia masih belum sempat pulang ke kampung untuk menyambut puasa bersama ahli keluarga di Batu Berendam, Melaka.

Selain Ayda dan Zul, drama yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam itu turut menampilkan pelakon Jonathan Putra dan Adeline Tsen.




Previous Post Next Post