Vienna Fridiana (Indonesia) dan Lokman Aslam (Malaysia)
KERJASAMA antara dua negara Malaysia-Indonesia sudah pun berlangsung sejak berzaman lagi tak kira dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.
Jika sebelum ini, dua figura popular Rossa dan Hafiz Suip berganding menerusi lagu Salahkah, kini Vienna Fridiana (Indonesia) dan Lokman Aslam (Malaysia) berduet untuk lagu, Cinta Terakhir.
Untuk makluman, lagu ini sebenarnya dirakam semula untuk dipromosikan di industri tempatan daripada lagu single Vienna sendiri.
Bercerita mengenai lagu tersebut, Vienna berkata ia mengisahkan cinta sejati yang bersama sehingga ke akhir hayat.
"Cinta ini bukan cinta biasa atau bersifat sementara tetapi lebih kepada kekasih sehidup dan semati.
"Lagu ini sebenarnya sudah dikenali di Indonesia dan diberi nafas baru untuk keluaran Malaysia terlebih dahulu kemudian diperkenalkan di sini," ujarnya ketika lawatan ke lapan buah stesen radio di sana seperti Raka FM, Sonora FM, Autoradio FM, RRI FM, dan banyak lagi di sekitar Jakarta, Bandung dan Tangerang.
Mula dari usia kecil
Pertama kali bersua dengan wanita berusia 30 tahun ini, Vienna Fridiana, penulis tertarik dengan kelembutan dan budi bicaranya yang cukup sopan. Artis kelahiran Sumatera ini, begitu ramah sekali melayan tetamu dan sesiapa sahaja yang bertandang ke rumahnya di pinggir bandar Jakarta.
Bercerita mengenai kerjaya seninya bermula sejak usia tujuh tahun lagi dengan mengikuti pelbagai acara kebudayaan di tempat lahirnya. Katanya, selepas usianya menginjak 14 tahun dia memulakan aktiviti seni dengan lebih serius apabila dilamar untuk menjadi model iklan.
"Selain model, saya turut menerima tawaran berlakon dan membintangi sinetron Sheila, Milky Man dan PadaMu Ya Robbi. Kemudian saya melancarkan album pertama, Kekasih Luar Biasa (2011) dan bakal melancarkan album terbaharu selepas Syawal nanti," katanya yang pernah berduet bersama Sabdhi Saddi menerusi lagu Seperti Dulu Lagi.
Vienna berkata, salah satu lagu yang terkandung dalam album keduanya nanti adalah Cinta Terakhir yang dirakam semula menerusi kerjasama antara syarikat rakamannya, Cloudwork Entertainment (Malaysia) dengan Alibi Music.
Dalam masa yang sama, bekas graduan Seni Reka Komunikasi Visual, Universiti Trisakti ini amat mementingkan ilmu berbanding dunia seni. Katanya, kebanyakan aktiviti seninya dilakukan selepas habis waktu kelas agar tidak mengganggu pelajarannya.
"Jika dilihat ramai pelakon di sini tidak menghabiskan kuliah atau menamatkan pelajaran dengan jayanya. Kebanyakan mereka berhenti belajar selepas nama dikenali tapi berbeza dengan saya yang mahu menamatkan pengajiannya sehingga habis barulah menumpukan sepenuh perhatian pada bidang lain," katanya.
Gigih 'buat duit'
Selain bidang seni, Vienna sebenarnya merupakan pemilik kepada Vienna Gallery iaitu butik pakaian perkahwinan dan juga pereka fesyen baju-baju tradisional. Menurutnya, syarikat tersebut diusahakan hasil daripada titik peluhnya sendiri selepas terjun dalam bidang seni.
"Segala pendapatan yang saya peroleh disimpan untuk masa hadapan ketika remaja lagi. Lagipun mama memiliki perusahaan songket buatan tangan, dari situ saya kembangkan perniagaan tersebut sehingga membuka kedai sendiri," ujarnya.
Berpegang teguh kepada prinsip hidupnya, dia berkata kecantikan yang diberi Ilahi bersifat sementara sahaja dan tidak selamanya kekal dalam industri seni.
Menurutnya, jika tidak memikirkan alternatif lain, mungkin kehidupannya juga tidak berkembang dan berada ditakuk yang sama.
"Kita punyai pilihan untuk berjaya atau tidak. Semuanya berada di tangan kita sama ada mahu kekal di posisi yang sama atau berubah kepada lebih baik.
"Sebab itulah saya sentiasa memandang jauh ke hadapan untuk meluaskan perniagaan ini sehingga ke luar negara," katanya yang mahu meluaskan empayar songket itu di sini suatu hari nanti.