Lokman Aslam Tertarik budaya Indonesia


Lokman Aslam

PASANGAN duet Vienna pula, Lokman Aslam, 27, berkata ia merupakan kali pertama berkunjung ke Indonesia untuk mempromosikan lagu Cinta Terakhir.

Katanya lebih lanjut mengenai proses rakaman lagu tersebut, dia berada di Malaysia manakala Vienna di Indonesia.

"Kami hanya bertemu beberapa bulan selepas rakaman lagu ini berakhir. Semuanya berlaku dengan persiapan rapi oleh pengurus sendiri.

"Saya begitu tertarik dengan keperibadian Vienna yang sangat profesional dan segalanya berlangsung dengan lancar," ujarnya.

Tambahnya, atas jemputan Vienna, dia berkesempatan mempromosikan lagu duetnya itu di beberapa daerah di Indonesia.

"Ia agak berbeza dengan Malaysia kerana stesen radio di sana mencecah 700 buah stesen di setiap daerah. Bahkan mereka tiada pun satu siaran utama yang menyiarkan saluran radio di seluruh Indonesia.

"Sedangkan di negara kita, satu radio mampu merangkumi satu negara seperti Sinar FM, Klasik Nasional dan sebagainya," katanya.

Sambung Lokman, walaupun berbeza bahasa dan budaya namun masyarakat di sana menerima baik lagu Cinta Terakhir yang dinyanyikan bersama Vienna.






Tak popular?

Jika Vienna bermula dari usia muda, berbeza pula dengan kisah Lokman yang memulakan kerjaya seninya ketika menyertai program realiti TV, One In A Milion (OIAM) pada tujuh tahun lalu.

Menurut Lokman, mulanya dia memasang angan-angan untuk bergelar pemuzik bukannya penyanyi seperti sekarang.

"Semuanya berlaku apabila rakan menyuruh saya untuk menyertai OIAM dan tidak sangka tercalon sehingga ke top 7.

"Biarpun gagal ke peringkat akhir, saya tidak pernah menganggap ia sebagai penamat kerjaya dalam dunia muzik," katanya.

Walaupun namanya kurang dikenali dalam industri namun dia aktif bergerak secara solo dan menyanyi bagi program korporat.

Katanya, selepas pertandingan itu tamat dia sempat melancarkan singlenya namun, entah di mana silap, lagu tersebut kurang popular.

Lebih ke arah genre jazz dan RNB, Lokman berkata, namanya naik semula dalam industri selepas lagu Aku Cinta Pada Mu bagi produk Fair & Lovely menjadi siulan ketika ditayangkan di TV dan Youtube tahun lalu.

"Selain nyanyian, saya turut mencipta lagu dan terlibat dengan bidang alih suara bagi filem animasi Frozen. Kerjaya seni juga makin terurus selepas bernaung di bawah label Alibi Music setahun lalu," katanya.
Previous Post Next Post