Yatt Hamzah
SEKEMBALINYA aktres cantik, Yatt Hamzah dari lawatan ke Palestin, ramai peminat-peminatnya mencadangkan untuk menganjurkan satu aktiviti bersama-samanya.
Pada pengamatannya, aktiviti yang dijalankan itu perlulah sesuatu yang bermanfaat sekali gus dapat berdakwah kepada masyarakat ke arah kebaikan.
Bertitik tolak dari situ, ibu kepada Suci Hanania Malika ini akhirnya menubuhkan Usrah Suci sejak Mac tahun lalu, khas untuk berkongsi pengisian agama dengan peminat-peminatnya.
Penubuhan Usrah Suci juga bermatlamat untuk menyebarkan apa saja yang dipelajarinya dengan Usrah Fitrah selama tiga tahun, sekali gus menyifatkan ia sebagai salah satu tanggungjawabnya sebagai umat Islam.
Malah, melalui Usrah Suci juga, Yatt melaksanakan program kemasyarakatan pertamanya, Qaseh Suci Ramadan bagi mendekati dan membantu golongan asnaf serta gelandangan pada 5 Julai lalu.
Tidak keseorangan, sebaliknya pemilik nama sebenar Haryati Hamzah ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Baitulmal dan Masjid Asy Syakirin KLCC.
Ikuti temu bual Zass dengan pengacara Al Hidayah ini.
Boleh anda terangkan lebih lanjut mengenai program Qaseh Suci Ramadan?
Program Qaseh Suci Ramadan adalah sebuah program kemasyarakatan luar kelas bagi ahli-ahli Usrah Suci. Ini adalah program kebajikan pertama yang dilaksanakan oleh Usrah Suci.
Melalui program ini, kita berusaha untuk mendekati dan membantu golongan asnaf dan gelandangan agar sedikit sebanyak dapat meringankan mereka apatah lagi dengan ketibaan Ramadan yang mulia. Jika tiada aral melintang, Insya-ALLAH, program ini akan dijadikan program tahunan Usrah Suci.
Apakah objektifnya?
Sempena ketibaan Ramadan, kita mahu sucikan dan ikhlaskan hati untuk terus menyokong seterusnya menghayati kesusahan orang lain. Ini adalah salah satu cara untuk berukhuwah seterusnya dapat memupuk semangat setia kawan.
Selain itu, kita juga mahu menghulurkan sumbangan selain bertanya khabar, menyelami hati mereka dan mengambil tahu apa yang mereka lalui.
Siapakah yang terlibat?
Program ini disertai kira-kira 100 sukarelawan termasuk lebih 30 artis terkenal tempatan, kakitangan PPZ, Baitulmal dan ahli badan bukan kerajaan (NGO). Antara artis yang hadir ialah Afdlin Shauki, Norman Hakim, Felixia Yeap, Norkhiriah, Aida Khalida, Heliza Helmi dan Norman Hakim.
Apakah komen anda mengenai penglibatan selebriti dalam melakukan kerja-kerja amal?
Bagi saya, selebriti bukanlah hanya untuk bahan hiasan. Tidak hanya berfungsi untuk luaran, tetapi selebriti ada banyak fungsi dan peranannya kepada masyarakat. Jadi, saya harap dengan program sebegini, masyarakat boleh melihat ketelusan seseorang selebriti itu sekali gus menjadi ikon kepada masyarakat.
Untuk menjadi ikon atau contoh pula, keupayaan seseorang selebriti tidak hanya terletak pada bakat luaran semata-mata, sebaliknya dilihat juga dari segi dalaman seperti akhlak. Saya mahu masyarakat lihat sifat positif seseorang selebriti itu.
Harapan anda?
Saya berharap supaya semua peserta yang menyertai program kemasyarakatan ini memanfaatkan akan perkara yang terjadi dan bukanlah untuk bersuka-suka. Hayati pengertian Ramadan dan manfaatkannya.
Saya juga mengharapkan supaya program sebegini dapat membentuk ukhwah yang lebih rapat bukan saja dengan penggiat seni tetapi juga dengan masyarakat awam. Saya juga mahukan program seperti ini menjadi inspirasi kepada mereka di luar sana.
Walaupun kita sedang menyambut Ramadan, itu bukanlah penghalang untuk kita terus berbakti kepada masyarakat.
Perancangan akan datang?
Insya-ALLAH, dalam Ramadan ini, saya melalui Usrah Suci akan meneruskan dua program lain iaitu majlis berbuka puasa dan mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat.
Boleh terangkan mengenai Usrah Suci?
Selepas berhijrah, saya sudah lama teringin hendak melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada orang ramai. Ia adalah sebagai salah satu cara menebus dosa, jadi, saya berhasrat mendirikan masjid, surau atau madrasah buat masyarakat umum.
Tetapi, kerana masih belum mampu untuk ke arah itu, jadi saya melakukan yang asas dulu iaitu menubuhkan Usrah Suci pada Mac 2013. Penyertaan Usrah Suci dibuka kepada masyarakat umum khususnya kepada peminat saya. Ia juga menjadi platform dalam menuntut ilmu serta melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah.
Bagaimanakah dengan perkembangan kerjaya seni anda?
Alhamdulillah, kerjaya seni saya berjalan lancar. Biarpun perlu membahagikan masa di antara keluarga, bisnes busana Muslimah dibawah label Suci by Yatt Hamzah, berdakwah dan menghadiri program TV, namun saya masih lagi ada dalam dunia seni.
Malah, saya ada juga mendapat tawaran berlakon drama dan telefilem sempena Ramadan dan Syawal, tetapi perlu ditolak kerana terikat dengan komitmen beberapa stesen TV.
Antaranya, saya masih lagi mengacara Al-Hidayah sehingga hujung tahun ini di TV3, mengacara program masakan Bukan Sekadar Resipi yang akan bersiaran pada raya pertama dan menjadi undangan dalam Kasih Ramadan untuk TV Al Hijrah dan mengendalikan Sajian Sunnah untuk TV1.