Zizan Razak cemburukan Awal Ashaari



ZIZAN mengakui berasa cemburu melihat rakan-rakannya yang sudah berumah tangga dan mempunyai zuriat.

TAHUN ini mungkin tahun yang mencabar buat pelakon Zizan Razak. Banyak kontroversi, banyak juga kisah peribadi dan sengketa dengan bekas rakan kongsi yang perlu dihadapinya.

Bermula dengan kegagalannya memenangi sebarang kategori Anugerah Bintang Popular, kemudian timbul pula cakap-cakap yang mempelekehkan reputasi pelakon filem Abang Long Fadil itu.

Paling terkesan ialah kemelut melibatkan syarikat WireFame Entertainment (WFE) yang diterajui Zizan bersama rakan kongsinya, Marina Juki.

Marina didakwa telah menyelewengkan wang syarikat hingga memaksa Zizan membekukan akaun bank WFE.

Keadaan bertambah parah apabila ada pihak yang mendakwa teman wanita Zizan, Emma Maembong sebagai punca maraknya perbalahan antara dua sahabat itu.

Bagi Zizan, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan masalah dalaman itu kepada pihak luar.

"Kalau boleh, saya tak mahu ceritakan hal syarikat kepada umum. Biarlah perkara ini dibincangkan antara saya dengan dia (Marina) sahaja kerana isu ini melibatkan konflik dalaman," pinta Zizan.

Selepas insiden tegang itu, kedua-dua mereka dikatakan belum pernah bersemuka untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah tersebut. Zizan juga enggan memberi komen tentang perkara berkenaan.

"Sama ada saya sudah jumpa dia atau tidak, saya tak perlu beritahu. Saya tiada masalah untuk berjumpa dengannya.

"Apa yang penting sekarang saya akan pilih jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini," luah pelakon berumur 30 tahun itu.

Situasi itu sedikit sebanyak memberikan warna berbeza kepada keluarga WFE dalam kedatangan lebaran kali ini.

"Kalau cakap pasal raya orang akan sebut 'kosong-kosong'. Raya selalu dikaitkan dengan kemaafan, tapi bagi saya kalau nak minta maaf tak perlu tunggu hari raya, bila-bila masa pun boleh sebenarnya," ulas Zizan sewaktu ditanya adakah kedatangan Syawal ini menyuntik fasa yang lebih baik dalam kemelut WFE.

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri, pelakon KL Gangster itu memberitahu, dia berehat daripada sebarang aktiviti hiburan selama dua minggu bermula sebelum raya.

"Raya kali ini saya cuti agak lama iaitu dua minggu. Saya habiskan masa di Kuala Terengganu," katanya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, persediaan hari raya tidak lengkap tanpa menu tradisi keluarga.

"Di kampung saya, kami bakar sate sebagai juadah pagi raya," kongsinya yang turut membuat rumah terbuka pada raya ketiga.

Ditanya, adakah tahun ini merupakan tahun terakhir dia beraya sebagai orang bujang, begini jawab Zizan: "Saya tak pasti. Belum ada perbincangan lanjut mengenai perkahwinan. Tapi, apabila saya tengok Awal Ashaari pun dah kahwin dan ada anak, saya pun teringin nak jadi macam dia. Cemburu pun ada."

Bagaimanapun, Zizan berkata, dia perlu menghormati apa sahaja permintaan keluarga daripada kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan.

Bercakap mengenai persediaan berumah tangga, Zizan secara berkias mengatakan: "Setakat mengkaji saja kalau tak cuba tak ada makna juga."

Dalam perkembangan lain, Zizan kini tampil dengan iklan komersial televisyen (TVC) sempena raya berjudul Jiranku, Musuhku.

"Kami paparkan perihal hubungan tegang antara dua keluarga berjiran yang akhirnya berbaik semula selepas sedar mengenai pentingnya semangat kejiranan," kongsinya yang memberitahu, TVC itu disiarkan di saluran Astro.


Previous Post Next Post