Eina Azman, Teruja jadi pengantin merdeka


TIKA memasuki ruang dewan kecil di Hotel Grand Hyatt pada malam 31 Ogos lalu, mata tertancap pada keindahan dekorasi dewan yang dihias penuh indah dengan pelamin ala Bollywood.

Keindahan itu sekali gus membukti- kan lambang cinta dua budaya berlainan bukan penghalang penyatuan dua jiwa.

Mereka, Eina Azman, hari itu berdebar untuk dinikahkan dengan Kaiser Gurmeet Harden, seorang mualaf berketurunan Punjabi.

Tepat pukul 9 malam, rombongan pasangan mempelai daripada pihak perempuan yang diketuai bapa kepada pengantin perempuan iaitu Azman Abdullah hadir memasuki ruang dewan. Eina yang mengenakan busana sari tampak berseri-seri dek penangan raja sehari.






Diikuti oleh rombongan pengantin lelaki yang membawa tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihak perempuan. Tanpa berlengah masa, kedua-dua mempelai naik ke atas persandingan untuk melangsungkan majlis akad nikah diiringi ahli keluarga masing-masing.

Debaran kian terasa apabila majlis akad nikah dimulakan. Disaksikan Imam Masjid As-Syakirin KLCC, Zulkapli Abdul Mutalib, Kaiser dinikahkan sendiri oleh bapa Eina, Azman Abdullah.

Disebabkan terlalu gemuruh, lafaz akad terpaksa di ulang dua kali, namun segalanya berjalan lancar apabila pasangan ini selamat dinikahkan pada malam yang penuh bermakna itu.

Menerima mas kahwin sebanyak RM770 dan wang hantaran bernilai RM77,000, tambah menarik, pihak pengantin lelaki turut melakukan kejutan apabila menghadiahkan sebuah kereta jenama Chevrolet Camaro yang bernilai RM320,000.

"Debaran semakin hilang selepas saya selamat dinikahkan pada malam ini. Syukurlah," kata Eina ringkas setelah majlis akad nikah tersebut selesai.

Majlis pernikahan Eina- Kaiser cukup istimewa apabila mengetengahkan tema Bollywood dan Arab yang dihadiri kira-kira 100 jemputan terdiri daripada keluarga dan rakan terdekat.

Sementara itu, Kaiser yang baru memeluk agama Islam pada 30 Jun lalu turut menyatakan kesyukuran apabila majlis pernikahan berjalan lancar seperti dirancang.

"Alhamdulillah, tugas baharu menanti selepas selamat bergelar suami kepada Eina. Doakan saya," katanya lagi.


PASANGAN ini akan berbulan madu di Maldives selama dua minggu sebelum mengadakan majlis resepsi.

Menggabungkan dua budaya - Melayu dan Punjabi, Eina juga terpaksa melupakan hasratnya untuk diijabkabulkan di masjid.

"Saya berbangga kerana menjadi pengantin merdeka. Sebenarnya saya ingin memilih tarikh 30 Ogos memandangkan tarikh itu Kaiser memeluk agama Islam.

"Namun, disebabkan tiada kekosongan untuk urusan tempahan hotel, saya terpaksa akur dan kemudiannya memilih 31 Ogos.

"Saya juga sengaja tidak menghebohkan tentang pernikahan ini kerana merasakan berahsia adalah cara paling baik untuk mengelakkan persepsi orang ramai terhadap saya," katanya.

Menyentuh soal tajaan, kata Eina, dia tidak menerima sebarang penajaan khusus melainkan daripada pihak Ariena Bridal Creation yang menaja pelamin pada hari berseja- rahnya itu.

Eina yang ditanya bagaimana dia mahu dipanggil selepas ini memandangkan menikahi seorang lelaki dengan status Datuk Paduka berkata, dia tidak kisah tentang panggilan khalayak terhadapnya selepas ini.

Katanya: "Saya tidak kisah, nak panggil Eina sahaja pun boleh. Saya tidak kisah."

Maldives

Ditanya pula bagaimana dengan perancangan pasca perkahwinan kedua pasangan mempelai ini, Eina dan Kaiser berkata, mereka masih merancang untuk melangsungkan majlis resepsi menjelang penghujung tahun ini. Bagaimanapun, lokasi majlis tersebut masih belum ditetapkan.

"Pada mulanya kami bercadang untuk melakukan majlis resepsi di hotel ini juga, namun disebabkan ruang hotel ini hanya mampu memuatkan sebanyak 500 jemputan, jadi kami terpaksa mencari lokasi lain yang cukup selesa untuk memuatkan seramai 1,000 jemputan," kata Kaiser.

Kaiser menambah, sebelum resepsi diadakan, mereka bercadang untuk pergi berbulan madu di Maldives. Ditanya mengapa Maldives dipilih sebagai destinasi berbulan madu, Kaiser berkata, ini kerana Eina sangat menyukai pantai.

"Insya-Allah, selepas ini kami bercadang untuk berbulan madu selama dua minggu ke destinasi yang telah ditetapkan. Hal ini kerana kami ingin merehatkan badan setelah sibuk melakukan persiapan akad nikah dan majlis resepsi yang akan diadakan kelak," ujarnya.


SELAIN menerima wang hantaran sebanyak RM77,000, Eina turut dihadiahkan sebuah kereta Chevrolet Camaro.

Bukan kerana harta

Mengakui kurang senang dengan dakwaan mengatakan yang dia mahu berkahwin dengan Kaiser kerana lelaki itu berpangkat dan mempunyai kedudukan kukuh, kata Eina, dia bukan jenis begitu.

Malah tegasnya, Kaiser mempunyai pilihan untuk berkahwin dengan mana-mana wanita yang setaraf dengannya jika dia mahu.

Namun takdir Tuhan, tiada siapa tahu apabila Kaiser mahu berkawan dengan Eina ketika lelaki itu sedang melalui pengalaman putus cinta yang memeritkan.

Kaiser turut mengakui, dia mahu segera melamar Eina kerana sifat keibuan yang dimiliki gadis itu, sementelah dia sendiri sudah lama bersedia untuk berumah tangga.

"Saya hanya menanti wanita yang sesuai untuk dijadikan suri hidup saya. Jadi, apabila saya sudah bertemu pengganti yang sesuai, saya tidak ambil masa yang lama untuk berumah tangga. Buat apa tunggu lama-lama, umur pun sudah semakin bertambah," kata Kaiser tanpa selindung.




Setahun

Bercerita mengenai keputusan mereka untuk berkahwin sedangkan Eina belum mencecah usia 20 tahun, mereka sependapat mengatakan, hubungan 'kimia' yang terjalin antara mereka pada awal pertemuan lalu menjadi titik tolak keputusan berkahwin diambil.

Menurut Kaiser, sejak bercinta dengan Eina lebih kurang setahun lalu, dia tidak pernah makan menggunakan sudu atau tangan disebab Eina yang akan menyuapnya.

Walaupun pengakuan tersebut menimbulkan banyak persoalan tetapi itulah yang diucapkan oleh Kaiser tentang Eina.

Malah ahli perniagaan itu yakin dengan keputusannya untuk menyunting pekerja seni sebagai isteri.

Walaupun agak sukar untuk menerima profesion Eina pada mula- nya namun kata Kaiser, situasi tersebut bertukar selepas mengenali gadis berusia 19 tahun itu.

Biarpun Eina pernah terpalit dengan beberapa kisah kontroversi yang mencalarkan namanya sejak menceburi bidang hiburan, namun tegas Kaiser, kebaikan gadis itu menutup segala cerita kurang elok mengenainya.

Menganggap semua orang ada cerita silam masing-masing, Kaiser juga meminta semua pihak untuk tidak terpengaruh dengan cerita buruk Eina sebelum ini.

"Saya berharap perkahwinan kami ini akan menamatkan terus cerita yang tidak elok tentang Eina," kata Kaiser.


EINA dan Kaiser percaya jodoh antara mereka begitu kuat biarpun ada pihak yang kurang senang dengan hubungan cinta mereka sejak lebih setahun lalu.

Ternyata kepercayaan yang diberikan oleh Kaiser memikat hati Eina setelah diperkenalkan oleh abang sulungnya tahun lalu.

Biarpun pada awalnya agak sukar untuk menerima kehadiran lelaki berusia 35 tahun itu dalam hidupnya, namun hati wanitanya cair apabila Kaiser menunjukkan sikap bertanggungjawab dan penyayang.

Menganggap jodohnya kuat dengan Kaiser sejak berkenalan Oktober tahun lalu, kata Eina lagi, sikap matang dan menghormati ahli keluarganya membuatkan hatinya terus terpaut kepada Kaiser.

Walaupun ada usaha yang dilakukan segelintir pihak mempertikaikan niat Kaiser untuk memeluk agama Islam sebelum ini, namun tegas Eina, dia tidak kisah dengan pandangan orang.

"Saya tidak mempengaruhi dia untuk membuat keputusan bertukar agama, bahkan saya sendiri tidak diberitahu bila dia mahu memeluk Islam.

"Keputusan yang dibuat Kaiser adalah atas kesedaran dirinya dan perasaan yang mendalam terhadap agama suci ini.

"Dia mualaf dua hari selepas umat Islam menjalani ibadah berpuasa pada Ramadan lalu dengan disaksikan dua rakan terdekat di Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

"Saya hanya diberitahu tentang berita gembira selepas itu. Kemudian barulah saya merancang soal komitmen dan masa depan bersama," kata Eina tentang suaminya yang berketurunan Punjabi itu.
Previous Post Next Post