Farhan pilih tarikh 10.10.2014


PERHUBUNGAN jarak jauh di antara Farhan dan Rashadan berjaya dikekalkan dan mereka bakal bergelar suami isteri tidak lama lagi.

PENGHUJUNG tahun lalu, hubungan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim keempat, Nur Farhan Azizan dan tunangnya, Ahmad Rashadan Mohd. Suhaimi dilaporkan pernah berantakan.

Bagaimanapun, hal itu dinafikan sendiri oleh Farhan, 30, sambil menegaskan, tali pertunangan yang dijalin dengan jejaka seusianya sejak 12 Februari 2012 itu masih utuh.

Terbaharu, pasangan itu sudah menetapkan tarikh perkahwinan mereka pada tanggal 10 Oktober depan setelah menjalinkan hubungan cinta lebih lapan tahun.






Ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman tarikh pernikahan mereka di Kafe Anggun Fusion, Plaza Damas, Kuala Lumpur baru-baru ini, Farhan dan Rashadan menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusan tersebut. Ikuti temu bual berikut.

KOSMO!: Setelah lapan tahun bersama, akhirnya Farhan dan Rashadan dimaklumkan bakal menamatkan zaman bujang masing-masing pada 10 Oktober depan. Benarkah?

FARHAN: Ya, selama ini ramai yang bertanyakan bilakah kami akan mendirikan rumah tangga dan pelbagai rintangan yang telah kami lalui dalam pelbagai fasa hingga hari ini. Alhamdulillah, kami akan bernikah pada pagi 10 Oktober 2014 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Majlis resepsinya pula akan berlangsung pada waktu malam, pada tarikh sama di Dewan Seri Endon, Putrajaya.

Mengapakah kalian mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan berkahwin?

Terlalu banyak halangan termasuklah dari sudut keselesaan, masa, kerjaya dan persediaan kami berdua. Sebelum ini, Rashadan bertugas di luar negara dan saya pula sedang membina karier di Malaysia. Jadi, masa kami sangat terbatas dan komunikasi juga banyak terjejas. Alhamdulillah, kami berjaya lalui semua dugaan itu dan sepakat untuk berkahwin tidak lama lagi.


DITUDUH putus tunang dan tempoh bakal suami untuk menyesuaikan diri dengan kariernya sebagai penyanyi menjadi cabaran paling hebat dalam perhubungan Farhan dan Rashadan selama ini.

Bagaimanakah berputiknya hubungan anda berdua?

Kami bertemu ketika sambutan hari jadi saya pada 21 Ogos 2006. Dia datang atas dasar menemani kawannya yang merupakan kenalan saya. Dalam kebanyakan tetamu, dia antara yang paling menjengkelkan dan tidak sangka pula kami bertemu sekali lagi ketika Hari Raya Aidilfitri pada tahun sama. Sejak itu kami bertukar-tukar nombor telefon dan mula mengenali satu sama lain.




Apakah kriteria yang dimiliki Rashadan sehingga dia berjaya menambat hati anda?

Sebenarnya, dia seorang yang pendiam tetapi gemar melawak. Dia menghormati saya dan keluarga saya. Ilmu agamanya juga cukup untuk membimbing saya.

Apakah dugaan paling besar yang pernah kalian lalui selama ini?

Dugaannya apabila karier saya baru bermula dan orang tidak mengetahui tentang hubungan kami. Ada di antara peminat mahu bergambar berlebih-lebih dengan saya, Rashadan pula rasa tidak selesa dan susah untuk saya terangkan. Setahun selepas bertunang, kami berdepan desakan daripada keluarga agar segera berkahwin dan paling mengejutkan, ada yang mendakwa bahawa kami sudah putus tunang.
Previous Post Next Post