Merong Mahawangsa diberi nafas baharu


Babak dalam teater Merong Mahawangsa yang diberi nafas baharu.

SELARAS dengan usaha kerajaan untuk mengetengahkan kesenian tradisional yang kian pupus, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (KPK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha mengangkat pementasan seni bangsawan untuk dijadikan sebagai salah satu seni teater yang popular buat masa kini.

Program Semarak Bangsawan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), KPK dengan kerjasama Persatuan dan Kumpulan Bangsawan negeri di seluruh Malaysia Oktober lalu bertujuan mengangkat kebudayaan dan kesenian tradisional di negara ini.

Pengurus Kebudayaan dan Kesenian DBKL, Mohamed Fauzi Ahmad berkata, program ini mula mendapat tempat di hati peminat-peminat seni teater khususnya Teater Seni Bangsawan dan telah masuk tahun ke 8.

“Ia berjaya menarik khalayak yang ramai untuk datang menyaksikan pementasan seni bangsawan yang diadakan pada minggu kedua setiap bulan, sekali gus menepati usaha kerajaan yang bukan sahaja menumpu kemajuan dari segi pembangunan material bahkan jua berperanan secara penuh bertanggungjawab untuk memelihara seni yang kian pupus ini untuk diangkat semula dan ditampilkan kembali kepada masyarakat,” katanya.

Jelasnya, kali ini sekali lagi Opera Sri Bandaraya DBKL yang terdiri daripada kakitangan dan kumpulan kesenian DBKL diberi peluang untuk menjayakan program ini.




“Pihak kami sebulat suara memilih karya Bangsawan Merong Mahasawangsa yang mendapat sentuhan pengarah yang juga pelakon Raja Azrey.

"Meskipun ia pernah dipentaskan sebelum ini pada tahun 2011 tetapi kali ini ia terdapat kelainan daripada segi susunan muzik, kostum dan set pentas.

"Pelakon yang pernah terlibat sebelum ini turut diberikan watak berbeza agar mereka lebih versatil," katanya yang juga pengarah projek bagi pementasan ini.

Sedikit mengenai Bangsawan Merong Mahawangsa, ia mengisahkan pasangan kekasih Merong Mahawangsa dan Embok seorang gadis kampung di Tanah Langakasuka.

Konflik bermula apabila Embok dilarikan Tentera Taji dalam satu pertempuran. Kelemahan tenaga dan kekuatan Tentera Langkasuka membuatkan usaha Merong terjejas sehingga datang Laksamana Liu Yun tentera dari China yang juga ingin menyelamatkan adiknya Puteri Liu Lin.

Mereka bersetuju untuk bergabung tenaga bagi menyelamatkan kedua-dua orang yang disayangi.




Kekal struktur bangsawan

Berbicara lanjut mengenai keistimewaan pementasan tersebut, jelas Mohamed Fauzi, walaupun berbentuk komersial dan menampilkan lagu segar, struktur bangsawan tetap dikekalkan khususnya ketika menunggu peralihan babak dilakukan.

"Sebenarnya keunikan karya ini dapat dilihat oleh penonton menerusi penceritaannya yang dibuat dalam bentuk prolog dan ‘flashback’ di mana babak dimulakan dengan tertangkapnya Embuk dan Puteri Liu Lin dan diteruskan dengan penceritaan kisah percintaan Merong dan Embuk serta kedamaian negeri Langkasuka sebelum Garuda dan Taji datang menyerang dan menawan Embuk.

"Selain itu, terdapat beberapa lagu baru ciptaan dan gubahan Tengku Zainuddin selaku Pengarah Muzik dan gerak tari yang dikareografi semasa pementasan menyerikan lagi pementasan bangsawan ini," jelasnya.

Pementasan ini telah dijayakan oleh Kumpulan Opera Sri Bandaraya yang membariskan pelakon daripada Kumpulan Kesenian DBKL yang terdiri daripada 60 orang Artis Budaya dan Pemuzik Kombo Budaya DBKL sendiri yang berpengalaman berlakon dalam Siri Semarak Bangsawan sebelum ini.

Turut membantu Kumpulan AWRA, Thye Mentor yang turut berlakon sebagai Putera Marcus dan Fynn Jamal yang popular dengan lagu Arjuna Beta.

Sebagai menyokong Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) bagi menarik pelancong asing, bangsawan ini turut menyediakan sari kata dalam bahasa Inggeris untuk memudahkan mereka mengikut jalan cerita pementasan ini.
Previous Post Next Post