NAMA seperti Lee Kwang Soo, Kim Jong Kook, Song Ji Hyo, Jee Suk Jin, Haha Kang Gary dan Yoo Jae-suk, sememangnya bukan asing bagi mereka yang setia mengikuti rancangan variasi, Running Man.
Secara ringkasnya, Running Man adalah rancangan game show popular terbitan SBS, yang mula mencipta fenomena sejak ditayangkan pada Julai 2010 (kini mempunyai sebanyak 218 episod).
Rancangan ini menjadi program pilihan bukan sahaja dalam kalangan peminat Kpop tetapi masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa.
Justeru kehadiran lima daripada tujuh bintang rancangan ini seperti Jong Kook, 38, HaHa, 35, Ji Hyo, 33, Seok Jin, 48, dan Kwang Soo, 29, bagi Running Man Fan Meeting Race Start Season 2 in Malaysia ternyata dinanti ramai.
Buktinya, sejak kedatangan mereka pada 31 Oktober lalu, hampir 1,000 peminat 'menjemput' mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lebih 2,500 peminat hadir pada sesi bertemu peminat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, manakala lebih 4,000 peminat sanggup bersesak di Paradigm Mall, Kelana Jaya demi menyaksikan mereka secara dekat.
Kuala Lumpur menjadi persinggahan kedua terakhir mereka sebelum menamatkan jelajah ini di Singapura pada 29 November ini nanti.
Biarpun ini merupakan kunjungan kali kedua bagi Jong Kook (kali pertama Fan Meeting-nya pada Jun 2013), Kwang Soo (kali pertama Fan Meetingnya pada Januari 2014) dan HaHa @ Ha Dong Ha sempena showcase pada November 2013) manakala kali pertama buat Seok Jin dan Ji Hyo, namun kelima-lima mereka mengakui teruja dengan sambutan peminat di sini.
“Kami tidak pernah menyangka begitu ramai mengenali kami dan suka menonton Running Man. Sebenarnya, kami tidak pernah terfikir yang kami akan jadi popular. Semuanya kerana sokongan peminat-peminat sejak dari episod pertama lagi hingga kini. Sokongan padu peminat juga buatkan kami sentiasa rasa bersemangat untuk terus menghiburkan penonton.
“Malah, kami juga sebenarnya tidak pernah menganggap penglibatan kami dalam Running Man sebagai satu kerja atau mahu mencari popular. Sebaliknya kami sentiasa rasa seronok sepanjang penggambaran.
"Kami berharap peminat-peminat pun akan terhibur setiap kali mereka menonton Running Man," ujar Jong Kook yang fasih berbahasa Inggeris ketika menjawab pertanyaan media, pada sesi sidang media di Doubletree by Hilton Hotel Kuala Lumpur.
Sementara itu, bagi Ji Hyo pula, biarpun menjadi bintang wanita tunggal dalam program itu, ia tidak sedikit pun mendatangkan masalah buatnya.
“Semua abang-abang dan Kwang Soo, walaupun dia lebih muda dari saya, dia menjaga saya dengan baik sepanjang penggambaran program berkenaan. Saya sangat seronok sepanjang saya berada dalam Running Man kerana kami bagaikan adik-beradik.
“Kami saling menyayangi dan saling menyokong antara satu sama lain. Mereka banyak mengajar saya bagaimana untuk sentiasa merendah diri. Terutamanya Kwang Soo dan Seok Jin, selalu mengajar saya bagaimana untuk menghargai peminat dan menjadi natural. Kami juga tidak akan berada di sini kalau bukan tanpa sokongan peminat,” katanya.
Peminat terhibur
Sementara itu, kemuncak keterujaan dan keseronokan penonton yang berada di stadium bermula kira-kira jam 6.45 petang. Berlangsung selama dua jam, Running Man Fan Meeting Race Start Season 2 in Malaysia, hangat dengan aksi-aksi bersahaja, mencuit hati, dan nakal.
Bukan itu sahaja, peminatdihiburkan dengan persembahan nyanyian, tarian dan sesi permainan oleh ke semua bintang ini.
Acara yang dianjurkan saluran One HD ini dimulakan dengan pembukaan nyanyian daripada setiap anggota Running Man. Terus-terang, walaupun suara mereka tidaklah sesedap mana, tetapi kesungguhan dan keikhlasan Ji Hyo, Kwang Soo dan Seok Jin menyanyikan lagu masing-masing wajar dipuji.
Manakala, keupayaan Jong Kook dan HaHa yang menyanyi dengan baik memang tidak dinafi, lagipun mereka juga memang sedia bergelar penyanyi.
Kemudian suasana dihangatkan lagi dengan acara yang membuatkan rata-rata peminat ‘makan hati’ iaitu sesi permainan bersama peminat-peminat bertuah menerusi cabutan bertuah.
Sepanjang acara ada saja gelagat, lawak juga aksi-aksi spontan yang dipamerkan mereka hingga membuatkan penonton ‘pecah perut’ dek ketawa terbahak-bahak. Apa tidaknya, ada saja lawak-lawak dan adegan usik mengusik sesama mereka. Gamat stadium dibuatnya dengan sorakan dan gelak tawa penonton, terutamanya gelagat Kwang Soo dan Seok Jin dan HaHa.
Keterujaan peminat semakin menjadi-jadi apabila Kwang Soo turun dari pentas dan terus meluru ke arah peminat yang duduk di bahagian atas belah kanan stadium. Peminat tidak melepaskan peluang mengejar idola yang terkenal dengan jolokan Prince of Asia itu untuk bersalaman dan bergambar bersama.
Pendek kata, layanan Kwang Soo kepada peminatnya di Malaysia memang terbaik. Sebelum tamat, kelima-lima anggota Running Man menyanyikan lagu Sarang Suruwo.