Rusdi, Lisa terbaik di layar perak



DUA cerita besar yang berlangsung serentak pada malam Sabtu lalu. Pertama ialah perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan jentera Pahang menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT) dan kedua­nya, Anugerah Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) yang telah melalui episod kontroversi sepanjang tahun ini.

Berkongsi hilai tawa, keri­ngat juang dan air mata, anugerah yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu menyaksikan kejutan demi kejutan yang menobatkan pemenang daripada 72 buah filem cereka, 39 filem pendek dan tiga filem animasi yang bertanding tahun ini.

Apapun, kategori yang pa­ling dinanti-nantikan pastilah Anugerah Filem Terbaik yang dimonopoli oleh filem KIL arah­an Nik Amir Mustapha. Pe­ngarah sama filem itu juga telah dinobatkan Anugerah Pe­ngarah Filem Terbaik tahun ini.

Jelas Nik Amir, kejayaan filem KIL meletakkan satu tanda aras baharu dalam dunia perfileman tempatan. Biarpun filem arahannya itu hanya sebuah projek kecil yang diangkat ke layar perak, usaha yang dilakukan secara berpasukan itu telah membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, saya rasa bangga dan bersyukur sebab segala penat lelah yang kita lalui dihargai industri, ter­utamanya FFM yang penuh dengan sejarah. Jadi untuk dinilai, diiktiraf dan diletakkan sebagai Filem Terbaik FFM26, ia sebuah kebanggaan.

“Kami sama sekali tidak menjangkakan kemenangan ini kerana penghasilan KIL sekadar memenuhi keinginan menghasilkan sebuah filem dan tidak terlintas untuk menjulang anugerah. Ia sebuah bonus yang sangat berharga dan saya sangat berterima kasih kepada pelakon dan kru yang menjayakan filem ini,” ujarnya yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp ke­rana berada di Tokyo, Jepun sempena menghadiri Tokyo Internatio­nal Film Festival di Tokyo, Jepun ketika ini.

Selain dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM26, filem KIL lakonan hebat Redza Minhat dan Cristina Suzanne telah menggondol empat anugerah lain iaitu Pe­ngarah Filem Terbaik, Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Poster Terbaik.

Tambahnya, faktor yang menjadi kekuatan sehingga KIL diangkat sebagai naskhah terbaik FFM26 ialah jalan cerita, rupa dan perasaan KIL yang berbeza daripada filem yang kebia­saan ditonton oleh rakyat Malaysia.

“Saya berharap filem KIL menjadi titik mula bagi masyarakat Malaysia me-­nerima filem berlatarkan cerita alternatif. Mungkin cerita KIL sesuatu baharu dalam dunia perfileman tempatan. Besar impian saya untuk menghidupkan semula cinema culture (budaya ke pawagam) di negara kita,” katanya yang menjangkakan filem Rock Oo diangkat sebagai Filem Terbaik.

Gemilang festival itu turut menyaksikan dua buah kate­gori yang menjadi penanda aras seseorang pelakon iaitu Anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik yang telah dimenangi oleh Rusdi Ramli menerusi lakonannya sebagai Tun Abdul Razak (Tanda Putera) dan Lisa Surihani yang mendukung peranan Dian dalam filem Istanbul Aku Datang.

Rusdi dan Lisa masing-masing pernah memenangi trofi sama pada FFM20 (Waris Jari Hantu) dan FFM23 (Lagenda Budak Setan).

Kemenangan kolektif

Kata Lisa, 28, dia sama sekali tidak menyangka akan dinobatkan sekali lagi sebagai pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik memandangkan dia harus bersaing dengan empat pencabar hebat iaitu Sharifah Amani (Psiko Pencuri Hati), Diana Danielle (Sembu­nyi Amukan Azazil), Ummi Nazeera (Penanggal) dan mendiang Kalpana (Dhusrajanam).

“Saya sangat bersyukur untuk berdiri menerima anugerah ini dengan perasaan penuh hormat kepada calon-calon lain khususnya mendiang Kal­pana yang telah pergi meninggalkan kita.

“Mereka semua hebat dan saya sama sekali tidak menjangka akan memenangi trofi ini tahun ini. Pada pandangan saya, Ummi Nazeera memberikan saingan hebat menerusi lakonannya dalam filem Penanggal,” ujarnya yang ditemui usai FFM26 baru-baru ini.

“Ia adalah sebuah kerja berpa­sukan yang bukan datang ha­nya daripada saya seorang. Kalau tiada proses pembelaja­ran bersama sepasukan rasanya anugerah ini tidak akan datang bergolek dan saya ti­dak akan dapat menyampaikan watak Dian sepertimana yang ditonton dalam filem tersebut.

“Bagi saya, uniknya watak Dian kera­na dia bukan diri saya. Sesetengah penonton barangkali menyangka apa yang divisualkan itu adalah diri saya sebenar, seorang yang happy go lucky namun saya gemar memainkan peranan yang jauh daripada diri saya yang sebenar,” kata Lisa.

Jujur kata Lisa, kepayahan menggarap watak Dian bukan hanya bergantung pada olahan skrip dan perbincangan bersama pengarahnya, Bernard Chauly, tidak semudah yang difikirkan pada dasarnya.

“Mainan emosi dalam filem itu ibarat roller coaster, ada turun naiknya yang tidak terjangka. Ketika membaca skrip pada awalnya, saya tidak menjangka kesusahannya apabila memulakan penggambaran di Istanbul beberapa tahun lalu.

“Kerana itu juga saya tidak boleh berhenti belajar dan tidak boleh menilai setiap perkara itu saya tahu. Hal itu akan menjadikan kita berhenti belajar,” jelas pendukung trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM21 menerusi filem Im Not Single itu.

Keperluan bengkel latihan

Isteri kepada sutradara filem terkenal Yus­ry Abdul Halim itu menyimpulkan, dia menitikberatkan proses pra-produksi sebelum memulakan penggambaran.

“Kami mengadakan bengkel latihan selama dua minggu lebih bersama pelakon dan pengarah sebelum memulakan penggambaran dan itu adalah perkara yang paling penting untuk menjamin hasil sesebuah filem.

“Sejauh mana kupasan sesebuah watak dan perimeter yang dihadkan oleh pengarah, semuanya bergantung pada bengkel latihan yang seharusnya ada bagi setiap produksi filem.

“Apabila watak itu memasuki panggung, penonton akan dapat merasai seandainya karakter itu dilakonkan atas dasar ala kadar sahaja atau dikaji mendalam,” tegasnya.

Peluang 50/50

Sementara itu, menjelaskan kejayaan yang diraih kali kedua oleh Rusdi Ramli menerusi watak berkesan seorang pemimpin negara yang disegani dalam filem arahan Shuhaimi Baba, Tanda Putera kata Rusdi, pe­luangnya tipis apabila melihatkan pesaingnya yang lain.

Dua daripada calon lain pernah menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik sebelum ini. Faizal Hussein yang tercalon meneru­si lakonannya dalam filem Longkai merupakan pemenang trofi sama tahun lalu manakala Bront Palarae pula pernah menjulang trofi sama pada FFM23.

“Pandangan juri itu berbeza, mungkin mereka melihat ada ke­lebihan tersendiri menerusi watak saya dalam filem Tanda Putera.

“Apapun, kemenangan ini me­rupakan perjuangan 50-50 antara semua calon yang tersenarai memandangkan ada antara mereka juga pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik sebelum ini. Sudah pasti kemenangan ini di luar jangka,” kata Rusdi.

Gembira dengan kejayaan yang diberikan tambah Rusdi, dia bersama sepasukan produsi Pesona Pictures tidak meletakkan sebarang harapan untuk mendapat anugerah sepanjang pembikinan filem patrotik tersebut.

“Ketika berlakon, seperkara yang bermain dalam minda saya adalah untuk melakukan yang sehabis baik dan elakkan melakukan kesilapan.

“Bekerja bersama mereka ka­mi tidak pernah meletakkan sebarang target untuk menerima pengiktirafan, paling utama buat yang terbaik!” ujarnya.

Rusdi telah menewaskan Azri Iskandar yang tercalon menerusi filem Penanggal, Bront Palarae (Psiko Pencuri Hati) dan Syed Hussein (Psiko Pencuri Hati).

Dalam pada itu, kesukaran utama yang ditempuh Rusdi adalah untuk mencari kebersamaan karakter yang dimainkan dengan individu asal, Tun Abdul Razak.

“Mungkin kerja saya tidak susah kerana banyak rujukan dan footage sudah sedia ada untuk ulang­kaji, tidak seperti Zizan Nin yang perlu menggali watak Tun Dr. Ismail yang paling kurang sumber.

“Pengarah mahukan saya mencari sedekat mungkin watak saya dan Tun Abdul Razak, saya kenal dia pun sebagai pemimpin negara sampai umur saya enam tahun sahaja dan ketika itu tiada cita-cita untuk menjadi pelakon yang akhirnya suatu hari akan melakonkan watak beliau,” ujarnya.


Previous Post Next Post