Yatt Hamzah teringin ada anak lagi


YATT Hamzah bergambar bersama anaknya, Suci Hanania Malika selepas majlis sidang media dan pelancaran Fiesta Muslimah BH 2014.

Tahun depan anak pertama Yatt Hamzah hasil perkongsian hidup dengan Abd Mutalib Abd Shukor iaitu Suci Hanania Malika akan masuk Tadika. Kini Yatt inginkan pula anak kedua.

Yatt sebenarnya tidak merancang sebalik sentiasa terbuka untuk mengandung lagi.

Lalu kesempatan beliau mengerjakan umrah kali kedua 15 Disember depan akan dimanfaatkan untuk memohon doa moga usaha menimang cahaya mata diperkenankan.

"Selain mahu memanjangkan doa supaya impian berbadan dua dimakbulkan, istimewanya juga umrah kali ini bersama suami dan anak turut ditemani ibu bapa saya. Tapi sesuatu yang buat sebak pemergian bapa saya kali ini ketika kesihatannya tidak berapa baik.

"Saya dapat tahu jangka hayatnya untuk hidup cukup menggerunkan saya sendiri apabila mendengarnya. Tapi saya percaya soal ajal dan maut ini semua terletak di tangan Tuhan. Bapa saya sejak raya Aidiladha lalu disahkan mengidap kanser paru-paru tahap keempat.

"Ia cukup menyentap perasaan saya dan ahli keluarga yang lain. Tapi semua ini ujian Tuhan buat kami. Alhamdulillah niat saya membawa keluarga ke Tanah Suci Makkah turut dipermudahkan apabila rezeki saya bertambah," katanya yang turut dilamar menjadi duta pakej umrah dan kembara.




Dalam perkembangan lain, Yatt sebenarnya merindui untuk kembali berlakon. Katanya sudah dua tahun beliau tidak berlakon dan lebih memberi tumpuan kepada perniagaan busana muslimah di bawah nama Suci By Yatt Hamzah.

Selain itu, Yatt juga masih mencari rezeki sebagai pengacara TV selain melakukan kerja sukarelawan dan kemanusiaan.

"Ikutkan bukan tak nak berlakon balik tapi saya tak mampu memberi komitmen. Tawaran berlakon itu ada cuma saya terpaksa tolak. Saya sendiri tak mampu ikut jadual produksi. Rindu memang rindu tapi apakan daya.

"Kalau boleh pada masa mendatang, saya sendiri teringin menerbitkan drama. Melihat kejayaan drama Matahari Terbit Lagi berunsur Islamik menang di Anugerah Skrin 2014, hati saya terdetik untuk mengikut jejak sama. Doakan cita-cita saya ini bakal menjadi kenyataan kerana saya yakin drama seumpama itu kian diterima masyarakat kita kini,"katanya yang kini turut diuruskan suami.

Yatt ditemui BH Online semalam ketika hadir semalam di sidang media Fiesta Muslimah BH. Fiesta berkenaan akan berlangsung 23 November ini di Zebra Square Kuala Lumpur bermula 10 pagi hingga 6 petang. Kemasukan adalah percuma.


Previous Post Next Post