NAMA Nur Anzalna Md Nasir atau Anzalna barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi.
Sejak terpalit kontroversi dengan rakan seangkatan dalam Dewi Remaja 2009/2010, iaitu Neelofa, nama Anzalna terus menjadi perhatian.
Apatah lagi, keterbukaannya berbicara soal cinta ini juga tidak lari dari menghadapi beberapa kontroversi di awal kariernya.
Namun berbeza dengan tahun ini, kelibat Anzalna seolah-olah sukar dilihat di dalam industri dan gadis berusia 26 tahun ini juga jarang muncul di dada akhbar mahu pun majalah.
Menafikan cuba melarikan diri daripada media, Anzalna berkata dia memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya.
"Bagi saya tidak ada apa-apa yang ingin saya uar-uarkan, jadi tidak perlu untuk sentiasa muncul kepada umum. Lagipun kini saya lebih suka memberi fokus kepada kerja saya.
"Kontroversi bagi saya bukan keutamaan kerana itu bukan target utama saya apabila mula membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam industri seni," katanya.
Meminta kesilapan lama tidak lagi diungkit, Anzalna yang kini sibuk menjalani penggambaran bagi telenovela 148 episod, ‘A Love To Remember’ atau Memori Cinta Suraya di samping Hisyam Hamid dan Afiq Muiz, mendedahkan impiannya untuk membawa namanya ke persada luar semakin tercapai.
"Telenovela ini bakal ditayangkan di beberapa negara luar dan produk tersebut adalah di bawah kerjasama syarikat produksi Global Station Sdn Bhd yang memeterai perjanjian bersama (MoU) dengan Astro dan TV Azteca, Mexico.
“Jadi fokus saya kini untuk memberi yang terbaik pada watak Suraya kerana ia bukan sahaja akan ditayangkan di Mexico, bahkan mungkin akan ditayangkan di negara lain.
"Saya rasa bertuah kerana impian saya untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa tercapai," katanya.
Di usik soal hubungan cintanya dengan Hanif Zaki, Anzalna berkata, biarpun merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini, namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan buat seketika.
"Kalau boleh saya tak mahu cakap soal peribadi. Tapi apa yang boleh saya katakan, saya mahu memberi fokus kepada kerja terlebih dahulu.
"Apatah lagi saya terlibat dengan telenovela ini. Jadi kita tengoklah bagaimana selepas ini," katanya yang mengakui Hanif memberi sokongan penuh terhadap kariernya.
Ceburi bidang fesyen
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan lainnya, Anzalna berkata, dia bersama kakak Hanif iaitu Diyanah sedang sibuk menguruskan label pakaian DANZ.
Menurut Anzalna, label pakaian terbabit sudah berada di pasaran sejak empat hari lalu dan bagi mereka yang berminat boleh melayari laman Instagram DANZ Design.
"Alhamdulillah ini merupakan projek sampingan saya bersama kakak Hanif. Bagaimanapun kerana saya sibuk dengan kerja kak Diyanah yang banyak menguruskan label ini.
"Manakala saya lebih kepada bahagian promosi. DANZ menjual pakaian yang sesuai untuk semua wanita dengan harga yang berpatutan dan elegan. Kami juga berkolaborasi dengan pereka fesyen terkemuka, Cosry dan juga label pakaian Kree," katanya.