Percaturan Ayda Jebat


MESKIPUN lebih menyerlah dalam bidang lakonan berbanding nyanyian, namun peserta program realiti Akademi Fantasia musim kesepuluh (AF10) ini mengakui tidak pernah melupakan bidang nyanyian.

Menurut gadis kelahiran Melaka ini, dia sebenarnya masih menyanyi jika mempunyai undangan bagi majlis-majlis tertentu.

“Mungkin rezeki saya lebih tertumpu kepada lakonan tetapi saya sebenarnya masih menyanyi.

“Malah saya banyak merakamkan video di laman sosial YouTube khusus untuk peminat-peminat yang merindui nyanyian saya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Ayda Jebat.




Jelasnya, dia juga bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.

“Single tersebut adalah runut bunyi bagi filem Harmonika yang diterbitkan oleh Ahmad Idham.

“Waktu dia minta saya nyanyikan lagu itu memang agak terkejut, tapi saya fikir kenapa tidak sebab memang saya rindu hendak lahirkan buah tangan baharu kepada peminat,” ujarnya.

Pun begitu, kerana kekangan masa, dia agak sukar mencari masa sesuai untuk memberi perhatian kepada bidang nyanyian.

“Seperti sekarang, bila saya punya masa terluang barulah dapat berjumpa Cat Farish untuk proses rakaman single itu.

“Apa pun, saya akan pastikan segalanya berjalan lancar dan single tersebut siap seperti yang diharapkan,” jelasnya dan memberitahu single tersebut merupakan gabungan ideanya dengan Cat Farish.


Previous Post Next Post