Tolak tawaran kerana jadual bercanggah, bukan sebab bayaran rendah. -Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
TIDAK cepat melatah apabila diajukan pertanyaan mengenai dirinya yang mula bersikap 'demanding', pelakon muda, Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 23, dengan lembut menerangkan situasi sebenar. Pelakon yang mesra dengan panggilan Amyra ini didakwa sudah berani meletak harga tinggi apabila menolak beberapa tawaran lakonan.
Semua itu bukan berpunca daripada bayaran rendah, sebaliknya Amyra menjelaskan ia terpaksa dibuat bagi mengelak dirinya menimbulkan masalah kepada produksi apabila tawaran lakonan bertindih. Tidak mahu mendatangkan masalah kepada pihak produksi mahupun dirinya, Amyra yang diuruskan oleh ibunya, Noor Zaridah Ahmad, selesa menyelesaikan sesebuah tawaran sebelum menerima peluang lain.
Jaga kualiti
"Saya mempunyai sebab apabila menolak sesuatu tawaran, bukan kerana mengejar tawaran lebih lumayan. Produksi membayar saya untuk berlakon, tidak adil jika saya menimbulkan masalah kepada mereka. Sekiranya terikat dengan sesuatu penggambaran, saya akan memberikan komitmen penuh.
"Saya juga mahu menjaga kualiti persembahan saya, terutama jika diamanahkan membawa watak utama. Sedapat mungkin, saya berusaha untuk memberikan lakonan terbaik. Isu saya tolak tawaran kerana bayaran rendah itu tidak benar. Saya berlakon kerana minat, wang bukan sebab utama saya berada dalam bidang ini.
"Usia pembabitan saya belum mencecah dua tahun, tidak mungkin saya sanggup berkelakuan seperti itu. Produksi juga perlu faham kerana saya juga manusia biasa yang ingin mempunyai kehidupan sendiri. Selepas lama bertungkus-lumus di lokasi, saya perlukan ruang untuk berehat dan mengumpul semula tenaga.
"Kebiasaannya, selepas selesai sesuatu penggambaran, saya akan berehat dan menumpukan perhatian untuk memenuhi permintaan sesi fotografi dan iklan," katanya.
Tidak melatah
Amyra juga bertegas, dirinya mengutamakan disiplin dan bersyukur kerana belum pernah mendatangkan masalah hingga menimbulkan rungutan kepada produksi yang bekerjasama dengannya. Sejak awal pembabitan hingga drama terbaharu, Suamiku Encik Sotong, Amyra bersyukur kerana kehadirannya disenangi produksi.
"Saya berusaha untuk membina hubungan yang baik dengan semua pihak. Saya bukan seorang yang suka melakukan kerja sambil lewa. Saya baru tamat penggambaran drama Suamiku Encik Sotong dan langsung tidak timbul masalah. Penggambaran drama itu berjalan dengan lancar.
"Saya bekerja dengan elok dan produksi juga selesa dengan cara saya, jadi saya keliru bagaimana isu ini timbul. Saya terima ia sebagai cabaran, tetapi saya tidak perlu melatah. Orang yang mengenali saya akan tahu perangai saya yang sebenar.
"Saya bertuah diuruskan oleh ibu yang mempunyai pengalaman lama dalam bidang ini. Dia tahu bagaimana menguruskan saya. Terpulang jika masih ada yang ingin memburukkan saya. Mulut orang memang tidak boleh ditutup," tambahnya.
Mula jadi sebutan
Jauh sekali untuk berasa tersinggung, Amyra akur dirinya akan menjadi perhatian sebaik saja perjalanannya sebagai anak seni bermula. Biar apa pun kata orang, Amira tetap mahu berkarya untuk mencari kepuasan diri. Baginya, jika mengambil setiap dakwaan secara serius, tidak mungkin dirinya akan berada pada kedudukannya hari ini.
Amyra juga bersyukur kerana pengarah dan penerbit tidak pernah membelakangkan dirinya. Bakatnya terus dihargai dengan pelbagai tawaran untuk menghidupkan watak utama. Dorongan positif itu yang menguatkan semangat Amyra untuk terus bekerja kerana lakonan adalah jiwanya.
Terbaharu, Amyra akan tampil dalam drama, Sawan Gajet di saluran TV3, awal tahun ini. Amyra seterusnya terikat dengan penggambaran drama, Bidadari Cinta yang bakal disiarkan menerusi slot Lestary di saluran yang sama. Amyra juga akan tampil di dalam program bual bicara Diva, yang dikendalikan oleh Zulin Aziz dan Sherry Alhadad dalam waktu terdekat.
Ke Hong Kong, Singapura
Selain sibuk dengan lakonan, Amira turut mencuri masa untuk menjalani hidup seperti gadis lain sebayanya. Sesekali apabila ada waktu terluang, Amyra akan meluangkan masa bersama keluarga selain bertemu rakan-rakan.
Enggan terlalu tertekan dengan lambakan kerja, Amira menganjurkan sebuah percutian ke Hong Kong selama empat hari tiga malam pada Mei ini khusus untuk peminatnya. Program yang dianjurkan bersama kelab peminat Amar Baharin itu juga mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai.
Demi peminat, Amyra juga akan ke Singapura pada 18 Januari ini untuk sesi pertemuan bersama penggemarnya di sana. Penyertaan boleh diperoleh dengan merujuk laman sosial duta kepada produk kecantikan, Aura White ini.