Anugerah Nasyid IKIM fm kembali



NOWSEEHEART yang dianggotai oleh (dari kiri) Azahari, Idzhar dan Huzaimi bersyukur kerana masih berpeluang untuk menyebarkan dakwah melalui lagu-lagu aliran kerohanian dengan adanya anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid IKIM fm.
Advertisement

SELEPAS 10 tahun berkubur tanpa pusara, Anugerah Nasyid IKIM fm 2014 kembali bangkit untuk menyerikan industri muzik negara dengan sebuah majlis penganugerahan yang berprestij.

Anugerah kali ketiga yang dianjurkan oleh stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM fm) itu muncul dengan nafas baharu untuk menyalakan semula sumbu muzik nasyid sedikit malap sinarnya sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, anugerah tersebut pernah dianjurkan pada tahun 2003 dan yang terakhir pada tahun 2005 menggunakan label Anugerah Nasyid Carta IKIM fm.




Untuk tahun 2015 ini, malam kemuncak anugerah buat pengkarya nasyid itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 10 Januari (esok) dan akan bersiaran secara langsung di saluran Alhijrah dan radio penyiar rasmi, IKIM fm.

Sebanyak 10 kategori bakal dipertandingkan pada malam tersebut iaitu Lagu Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik. Tiga kategori anugerah untuk memberi pengiktirafan terhadap lagu yang cemerlang dalam carta IKIM fm juga diwujudkan iaitu Lagu Paling Banyak Menjadi Juara Carta, Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta dan Artis Baru Terbaik.

Manakala tiga anugerah lagi iaitu Artis Solo Pilihan Pendengar, Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dan Lagu Pilihan Pendengar akan diberikan kepada pemenang berdasarkan undian daripada pendengar IKIM fm menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuka undian pada 5 Disember dan ditutup pada 5 Januari lalu.

Pentas akhir itu bakal menyaksikan pertarungan di antara 10 finalis yang berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir Anugerah Nasyid IKIM fm 2014.


HAFIZ HAMIDUN merupakan satu-satunya finalis yang berjaya membawa dua buah lagu iaitu Jodoh Berdua dan Kasih Padamu ke pentas akhir Anugerah Nasyid IKIM fm.

Al Haq...Yang Satu diterima

Lagu dendangan penyanyi Mawi yang bergandingan dengan Datuk AC Mizal, Al Haq...Yang Satu merupakan salah satu lagu yang berjaya menembusi peringkat akhir pentas Anugerah Nasyid IKIM fm.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 33, nyata teruja kerana lagu berbentuk kerohanian tersebut diterima ramai oleh pendengar sehingga berjaya terpilih menjadi finalis.

“Sebelum ini saya pernah muncul dengan beberapa single dengan konsep yang sama iaitu kerohanian. Namun, lagu-lagu itu tidak mendapat sambutan sehinggalah saya bekerjasama dengan Datuk AC Mizal untuk lagu Al Haq...Yang Satu ciptaan komposer Jeff A To Z.

“Alhamdulillah, kami muncul tepat pada masanya, ketika para pendengar sedang dahagakan dan menanti karya-karya berbentuk seperti ini mewarnai industri seni,” ujar anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu mesra.

Pada awal kemunculan lagu itu di pasaran, Mawi mengakui, ada cakap-cakap belakang yang mempertikaikan suntikan kelainan dalam lagu berkenaan yang didakwa mengubah persepsi ramai terhadap bentuk lagu kerohanian.

“Itu antara cabaran yang dilalui, bagi saya, hal itu tidak menjadi isu besar. Asalkan lagu itu sampai kepada pendengar dan mereka suka.

“Jalan hendak menuju kepada Allah itu terhampar luas. Namun, bergantung kepada seseorang individu untuk memilih jalan yang mana. Saya pilih jalan ini dengan memberi nafas baharu kepada lagu-lagu berbentuk kerohanian,” ujar bapa kepada Cahaya Malaika, 2, itu lega.


DAQMIE turut layak ke peringkat akhir anugerah Anugerah Nasyid IKIM fm 2014 dengan mempertaruhkan lagu berjudul Tangisan Sebatang Tamar.

Taruhan pertama Daqmie

Mungkin kehadirannya dalam industri seni kurang dikenali umum lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda. Namun, siapa sangka, Daqmie sebelum ini pernah menjadi vokalis kumpulan rock East yang bermula sekitar tahun 1991. Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manaf juga pernah menganggotai kumpulan Barongan pada tahun 2003.

Muncul dengan transformasi diri, Daqmie memanjatkan kesyukuran dan teruja atas pengiktirafan karyanya yang diterima ramai sehingga layak ke peringkat akhir anugerah Anugerah Nasyid IKIM fm 2014 dengan mempertaruhkan lagu berjudul Tangisan Sebatang Tamar.

“Ini merupakan kali pertama karya saya berjaya memikat hati pendengar sehingga layak sampai ke peringkat dalam sebuah majlis anugerah. Dalam banyak-banyak lagu gubahan saya, lagu ini sangat istimewa kerana membawa satu kisah yang cukup menyentuh hati ketika zaman Rasulullah

“Sudah 15 tahun bekerja di sebalik tabir sebagai penggubah lagu untuk penyanyi. Kali ini berbeza kerana saya sendiri berada di atas pentas menyanyikan lagu ciptaan sendiri,” ujar anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu bersemangat.

Peluang Nowseeheart

Antara 10 finalis itu, kumpulan nasyid popular Nowseeheart merupakan peserta yang terawal muncul sebagai penyanyi nasyid dalam arena industri seni. Sebaris dengan nama-nama besar lain seperti Raihan, Rabbani dan Saujana, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1996 itu sebenarnya masih bernyawa sehingga hari ini.

Bertahan selama 18 tahun meskipun sering berlaku pertukaran dan pengunduran ahli kumpulan, nyata nama Nowseeheart masih tetap utuh dalam hati setiap peminat nasyid.

“Apa yang mampu kami ungkapkan ialah perasaan bersyukur yang tidak terhingga kerana masih ada ruang berkarya.

“Meskipun lagu-lagu irama nasyid menempuh tempoh yang sukar, kami sebenarnya kami masih aktif.

“Terpilihnya kami ke peringkat akhir pentas Anugerah Nasyid IKIM fm 2014 merupakan peluang keemasan untuk kami memberitahu kepada para peminat bahawa kami di sini masih bernafas, masih wujud dan masih seperti dahulu,” ujar Azahari Abdul Rahman, 35, yang bertindak sebagai ketua kumpulan.

Mengulas mengenai persiapan menjelang pentas akhir Anugerah Nasyid IKIM fm 2014 nanti, kumpulan yang popular dengan lagu Damai Yang Hilang itu teruja mahu memberikan persembahan yang bertenaga.

“Persiapan semuanya berjalan lancar baik daripada segi latihan persembahan dan vokal. Meskipun ada sedikit kesukaran kerana terikat dengan komitmen kerja lain, tetapi segalanya berjalan lancar berkat perancangan awal. Konsep nasyid kontemporari itu masih sebati dengan jiwa dan identiti kami tetapi untuk pentas akhir ini kami akan janjikan satu kelainan,” ujar Azahari.


BERGANDINGAN bersama Datuk AC Mizal menerusi lagu Al Haq...Yang Satu, Mawi lega kerana lagu-lagu kerohanian yang diberi nafas baharu telah diterima baik oleh peminat.

Persaingan sihat

Mengakui terkejut ditambah dengan rasa terharu, penyanyi Hafiz Hamidun pula menzahirkan rasa syukur kerana dua buah lagunya terpilih untuk ke peringkat akhir iaitu Jodoh Berdua yang merupakan ciptaannya sendiri dan Kasih Padamu ciptaan Fedtri Yahya.

“Pembikinan dua buah lagu ini dilakukan dalam jangka masa yang begitu singkat, namun, penerimaan daripada peminat sangat memberangsangkan berdasarkan sambutan dalam carta Ikim fm dan YouTube. Ini membuktikan bahawa di luar sana memang ada peminat bagi karya nasyid yang diberi nafas baharu.

“Saya memandang penganugerahan seperti ini bertujuan mempamerkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengkarya nasyid. Secara automatiknya, apabila ada persaingan, kami akan berlumba-lumba menghasilkan karya yang bermutu, sesuai dengan selera pendengar dan peredaran zaman.

“Sekali gus ini merupakan langkah yang bagus untuk memastikan industri muzik nasyid di negara ini tidak tenggelam dan suram seperti tahun-tahun sebelum ini. Tambahan pula, dengan adanya pelbagai lapangan media sosial, tidak ada alasan untuk pendengar di luar sana tidak boleh menikmati lagu-lagu berunsur kerohanian seperti ini,” ujar pemuda berusia 29 tahun itu mesra mengakhiri perbualan.



Previous Post Next Post