Izreen Azminda belum sedia bercinta



Belum padam panas ekoran putusnya percintaan dengan pelakon Amar Baharin, pelakon berstatus janda, Izreen Azminda kini terbakar sensasi pula dengan seorang pelakon baharu yang dikenali sebagai Nazrief Nazri.

Kontroversi tersebut timbul beri­kutan tindakannya memuat naik gambar mesra bersama pucuk muda tersebut sehingga mendatangkan desas-desus mengatakan dia sedang menjalin hubungan istimewa dengan pelakon berusia 21 tahun itu.

Tampil menafikan dakwaan tersebut, Izreen bagaimanapun mengakui mengenali pemuda itu namun untuk bercinta, fasa itu jauh daripada jangkauan. Tegas Izreen, mereka hanya kawan biasa bahkan jejaka itu dianggap tidak lebih seperti adik sendiri.

Tidak berniat untuk mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki dalam masa terdekat, tambah Izreen, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati untuk memulakan semula hubungan serius dengan mana-mana lelaki pada hari muka.

Mendapatkan respon daripada tuan empunya badan, Kosmo! cuba menyelongkar pemilik hati pelakon yang pernah membintangi drama rantaian Gelora Di Hati Sara itu.




Artis Meletop!: Baru-baru ini, Izreen ada memuat naik gambar bermesra bersama dengan seorang pelakon baharu yang dikenali sebagai Nazrief Nazri. Benarkah dakwaan yang mengatakan kalian kini sedang dalam fasa percintaan?

Izreen: Desas-desus tersebut sama sekali tidak benar. Status hubungan saya dengan Nazrief Nazri hanyalah teman biasa. Mana mungkin saya bercinta dengannya kerana jarak umur antara kami berdua jauh sekali, malahan, umur dia (Nazrief Nazri) sama dengan adik saya. Kami berkawan sahaja dan tidak lebih daripada itu. Saya juga mempunyai hak untuk keluar dengan mana-mana lelaki kerana saya tidak terikat dengan mana-mana hubungan serius.

Apakah reaksi anda setelah mendapat tahu isu itu timbul menjadi kontroversi?

Saya sangat terkejut dan tidak menyangka hal ini boleh menjadi besar. Saya hanya memuat naik sekeping gambar. Jadi, pada mulanya saya rasa ia tidak akan menimbulkan spekulasi, namun, ia masih diperkatakan oleh orang. Saya tidak faham mengapa orang ramai selalu menggembar-gemburkan perkara yang tidak betul.



AKSI mesra bersama Nazrief yang dimuat naik Izreen mengundang pelbagai spekulasi daripada peminat.

Mungkin hal itu sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada anda?

Saya tidak pernah serik untuk memuat naik gambar bersama lelaki. Bagi saya, tidak salah jika saya ingin berkawan dengan mana-mana lelaki. Namun, untuk masuk dan berada dalam sebuah perhubungan yang serius, saya masih belum bersedia sepenuhnya.

Adakah anda kini sudah mempunyai kekasih hati?

Buat masa sekarang, saya masih lagi belum bersedia untuk berada dalam sebuah perhubungan yang serius dengan lelaki. Saya kini mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada karier dan anak, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 18 bulan. Tidak mungkin saya akan bercinta dalam masa terdekat ini kerana kehidupan selepas bercerai baru sahaja stabil. Tambahan pula, pengalaman dan kesilapan lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.

Apa pandangan anda apabila ramai orang yang cuba mengaitkan diri anda dengan mana-mana lelaki walaupun lelaki itu hanya teman biasa?

Sebelum ini saya boleh terima jika ada orang cuba mengaitkan saya dengan mana-mana lelaki, tetapi semakin lama ia membuatkan saya berasa rimas. Kalau boleh, hentikanlah.

Bagaimana dengan perkembangan karier seni anda?

Saya kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Pergilah Air Mata bersama aktor Kamal Adli untuk siaran RTM. Selain itu, saya juga sudah bergelar pengacara program Mahligai Cinta yang bersiaran setiap hari Khamis pada pukul 11 pagi di sebuah stesen swasta. Saya sangat teruja dapat mengacarakan program tersebut kerana ia memberi satu dimensi baharu kepada kerjaya saya. Setakat ini saya selesa bergelar hos.



Previous Post Next Post