Rumah Pusaka DiSimpang Jalan: Imaginasi seram capai ekspektasi



JIHAN MUSE tampil dengan imej rambut menggerbang dilihat sebagai satu sinikal yang cukup menggeletek hati dalam filem terbaharu Mamat Khalid.

Tentunya naskhah-naskhah terbaharu daripada pengarah yang terkenal dengan keunikannya pengarahannya, Mamat Khalid sering dinanti-nantikan oleh pencinta filem Melayu tempatan.

Membawa judul Rumah Pusaka Di Simpang Jalan (RPDSJ), Mamat Khalid ternyata tidak mengecewakan penonton filem. Masih mengekalkan kepakaran bermain dengan genre komedi seram, naskhah terbaharu Mamat itu boleh dikatakan mencapai harapan penonton.

Masih mengekalkan lokasi penggambaran di daerah Batu Gajah, Perak, filem tersebut dilihat berjaya mempamerkan peningkatan daripada segi sinematografi berbanding filem sebelumnya.




Visualnya yang turut diperkemaskan dengan imej janaan komputer (CGI), menampakkan lagi elemen seram yang pastinya mampu membuatkan penonton meremang bulu roma apabila menontonnya.

Lebih rasional dalam jalan penceritaan, filem itu juga lebih dekat dengan penonton terutamanya bagi yang berbangsa Melayu apabila ia mengangkat persoalan saka yang sudah sebati dalam kalangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Mamat juga dilihat berjaya meletakkan tanda soal dalam pemikiran penonton apabila hanya memperlihatkan sedikit pembayang di awal penceritaan, namun persoalan terjawab dan misteri pemilik saka terungkai satu persatu di akhir penceritaan.

Walaupun disampaikan secara humor dan bersahaja, mesej yang sarat dengan pengajaran ternyata berjaya membuatkan penonton berfikir sejenak mengenai perbuatan khurafat yang akhirnya memakan diri si pelakunya.

Masih komedi hantu

Antara adegan yang berjaya melekat dalam pemikiran penonton selepas menonton keseluruhan filem yang berdurasi satu jam 45 minit itu ialah adegan ketika penggambaran di sebuah rumah pusaka peninggalan keluarga Datuk Si Putih Setongkol Merah lakonan Pekin Ibrahim.

Adegan tersebut mempamerkan ketakutan pelakon terutamanya. Rab Khalid dan Bell Ngasri apabila diganggu oleh makhluk halus sehingga membuatkan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah pusaka tersebut.



SHUK BALAS (tengah) menjadi antara muka baharu yang sedang dicanai sebagai pelaris dalam filem-filem arahan Mamat.

Memperjudikan pelakon-pelakon baharu yang hanya menghiasi watak sampingan dalam filem pecah panggungnya sebelum ini termasuk Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kilang Biskut, kegemaran Mamat yang satu itu dilihat memang diramal yang diharap membekalkan pelapis baharu bagi meneruskan kesinambungan filemnya selepas ini.

Trailer: Rumah Pusaka DiSimpang Jalan


Mamat juga menampilkan wajah baharu daripada program realiti Raja Lawak termasuk Syuk Balas dan Jihan dalam naskhahnya RPDSJ. Tidak menghampakan, Jihan dan Syuk berjaya membawa watak dengan baik.

Ringkasnya, RPDSJ itu mengisahkan tiga keluarga yang sudah lama terpisah. Mereka dijemput ke sebuah rumah pusaka untuk menerima harta peninggalan moyang mereka, namun, untuk mendapatkan harta pusaka tersebut, mereka terpaksa melalui beberapa ujian yang telah ditetapkan dalam surat wasiat.

Secara keseluruhan, walaupun Mamat mengakui filem berkenaan sebagai filem bajet paling rendah yang pernah dihasilkannya, RPDSJ masih tampil sebagai sebuah naskhah yang menampilkan sisi baharu Mamat berbanding karyanya yang terdahulu.

Filem yang ditayangkan sejak 1 Januari itu turut menampilkan pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim, Jihan Muse, Shuk Balas dan Bell Ngasri.



Previous Post Next Post