Ayai ilusi itu berjaya menewaskan 11 peserta lain apabila dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza pada pertandingan akhir program realiti berkenaan yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, kelmarin.
PENYERTAAN saya di dalam Gegar Vaganza hanyalah kerana menggantikan seorang penyanyi lain yang kebetulan menarik diri.
“Tetapi, tak sangka pula saya berjaya sehingga ke tahap ini. Alhamdulillah, ini semua rezeki,” kata Ayai mengenai kemenangannya di pentas akhir Gegar Vaganza, kelmarin.
Vokalis kumpulan Ilusi itu berjaya menewaskan 11 peserta lain apabila dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza pada pertandingan akhir program realiti berkenaan yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, kelmarin.
Anak kelahiran Johor itu membawakan persembahan mantap menerusi lagu Jangan Kau Rayu oleh Rahim Maarof dan Semangat Lamina (Lefthanded) serta Kalau Aku Kaya berduet dengan Rahmad Mega.
Kemenangannya itu membolehkannya membolot hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, trofi dan berpeluang merakamkan sebuah single baharu.
“Saya berharap kemenangan ini menjadi satu platform kepada saya untuk kembali aktif dalam industri muzik tempatan,” katanya.
Kata Ayai lagi, kejuaraannya itu merupakan satu kemenangan untuk semua penyanyi lain.
“Terima kasih Astro di atas penganjuran program ini dan semua peminat yang menyokong saya,” katanya.
Dalam pada itu, tempat kedua pula disandang oleh Haleeda yang membawa pulang RM30,000 menerusi persembahan lagu Mendua nyanyian asal Astrid dan Pelesit Kota (Wings).
Mamat Exist yang mendendangkan lagu sendiri iaitu Danau Di Salji Rindu dan Janji Padamu, pula mendapat tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM 15,000. Mamat juga berjaya menawan penonton dengan memenangi Persembahan Terbaik menerusi undian SMS yang membolehkannya menerima wang tunai RM5,000.
Penyanyi Rahmad Mega pula mendapat tempat keempat menerima wang tunai RM10,000 dan tempat kelima dimenangi Ifa Raziah, membawa pulang RM5,000.
Walaupun berada di tempat akhir, Fazli Zainal tetap membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Sepanjang tujuh minggu bersiaran, enam penyanyi lain yang turut terlibat ialah Hasnol, Sam (Innuendo), Nadia, Adilla, Sharifah Zarina dan Shima.
Sementara Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim bertindak sebagai juri tetap. Turut sama, Mamat Khalid dan Datuk Rosyam Nor sebagai juri jemputan akhir.