Chef Wan Dapat Tawaran Buka Restoran Francais



Meskipun restoran Datuk Chef Redzuawan Ismail (Chef Wan) iaitu 1 Market yang berlokasi di iOi City Mall, Putrajaya masih belum dibuka kepada orang ramai, namun chef selebriti itu sudah ditawarkan pula untuk membuka beberapa rangkaian restoran francais di negara ini.

Bercakap kepada portal Artis Meletop, Chef Wan berkata dia agak teruja apabila dilamar oleh sebuah badan korporat untuk membuka jenama restoran francais yang menggunakan namanya.

Namun menurut Chef Wan, semuanya itu masih dalam perancangan dan pihaknya masih lagi meneliti sebarang kemungkinan apatah lagi dirinya kini sedang sibuk dengan pembukaan 1 Market di Putrajaya tidak lama lagi.




“Tak banyak kerja pun susah, tapi yang saya ni berlebih-lebih pula.

“Sebenarnya ada sebuah badan korporat yang pinang saya untuk jadi parner mereka untuk membuka restoran francais seperti Paparich. Tapi yang ini hanya namakan ia sebagai Chef Wan.

“InsyaAllah saya akan rancangan sesuatu untuk mereka,” katanya ringkas.

Menurut Chef Wan, selain sibuk dengan proses pemilihan rekaan dalaman restoran 1 Market, dia juga kini sedang mengenal pasti menu terbaik serta mencari chef yang bakal berkhidmat untuk restorannya itu tidak lama lagi.

Malah dia juga agak teruja apabila restoran 1 Market itu bakal dibuka di Jakarta, Indonesia pada Ogos akan datang.

“Memang saya tersangat sibuk waktu ini. Bukan sahaja dengan pembukaan 1 Market, malah saya sedang merancang untuk penggambaran program masakan yang dijangka menjalani penggambaran di Brazil, Argentina, Chile, Peru dan Cuba.

“Semuanya akan dijalankan secara serentak dan kalau tak ada aral melintang penggambaran akan dijalankan pada penghujung Februari ini,” katanya yang turut bakal tampil dengan buku masakan terbarunya pada Februari nanti.

Chef Wan hari ini meraikan ulang tahun kelahirannya ke-57 dan kami di portal Artis Meletop mengucapkan selamat hari lahir, semoga dimurahkan rezeki serta dipanjangkan usia.



Previous Post Next Post