Gara-Gara Berpakaian Jarang, Ziha AF2014 Ditegur Peminat



Bintang kelahiran Akademi Fantasia 2014, Ziha baru-baru ini telah menyambut majlis ulang tahun kelahirannya yang ke 20 bertempat di sebuah restoran di Johor Bahru.

Lebih menyentuh hati, majlis tersebut merupakan satu kejutan untuk Ziha yang dibuat oleh rakan-rakan sekolahnya.

Namun apa yang menarik perhatian peminatnya bukanlah kemeriahan majlis tersebut sebaliknya pakaian Ziha yang dikatakan agak seksi.




Pada majlis itu, Ziha memakai baju dan ‘skirt’ berwarna putih yang agak jarang sehingga menampakkan bahagian kaki dan juga badannya.



Pakaian Ziha yang menjadi perbualan di kalangan pengikut Instagramnya

Artis Meletop telah menghubungi Ziha pada pagi Isnin untuk mendapatkan penjelasan.

Menurut Ziha, pakaian tersebut sebenarnya tidaklah terlalu seksi seperti yang didakwa malah kedua ibu bapanya juga sudah sedia maklum mengenai penampilannya.

“Saya rasa pakaian itu tidaklah terlalu seksi mungkin kerana ‘skirt’ itu sedikit jarang sehingga menampakkan kaki saya itu yang menyebabkan mereka kata ia seksi.

“Tidak dinafikan, saya sebenarnya suka dengan ‘dress’ yang cantik-cantik, dan bagi saya masa muda inilah kita nak cuba pelbagai jenis fesyen.

“Lagipun ibu dan bapa saya sudah sedia maklum mengenai cara saya berpakaian dan mereka juga telah beri keizinan kepada saya.” katanya.



Antara komen yang diterima oleh Ziha

Selain itu, Ziha juga menepis dakwaan yang mengatakan dia berpakaian seksi untuk menarik perhatian ramai.

“Saya seorang yang suka berfesyen dan saya pakai kerana saya rasa pakaian itu cantik… Tidak terlintas langsung dihati saya untuk menarik perhatian orang.

“Saya sedar bila dah jadi ‘public figure’ semua pergerakkan dan pakaian kita akan diperhatikan. Sejauh mana kita cuba namun masih ada juga yang tidak kena,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ziha juga turut mengulas mengenai komen-komen negatif yang melabelkan dia sebagai seorang yang gedik.

“Saya lebih selesa jadi diri sendiri, buat apa kita nak berpura-pura sedangkan itu bukan diri saya.

“Saya rasa mungkin kerana saya seorang yang suka ketawa dan sentiasa ceria itu yang membuatkan mereka labelkan saya sebagai seorang yang gedik.

“Biarlah apa orang nak kata dan saya rasa mereka masih belum kenal perwatakkan saya. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta.” katanya mengakhiri perbualan.



Previous Post Next Post