SELEPAS menempa kejayaan dengan sambutan yang amat menggalakkan, persembahan Hafiz & Friends Showcase kini kembali dengan beberapa pembaharuan yang lebih menarik.
Tahun lalu, persembahan yang dijalankan di kafe Hard Rock, Melaka telah membuktikan ramai peminat yang tidak melepaskan peluang melihat sendiri penyanyi kesayangan mereka beraksi.
Hafiz yang bakal mengetuai persembahan yang dijalankan di kafe Hard Rock Kuala Lumpur pada 25 Januari ini memberitahu ia dijalankan bagi memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan showcase mereka tahun lalu.
“Jika dilihat persembahan di Melaka tahun lalu, Alhamdulillah sambutan yang kami dapat amat luar biasa dan itu juga membuatkan kami ingin kembali beraksi untuk peminat.
“Persembahan kali ini saya umpamakan sebagai pembuka tirai 2015 dan beberapa kelainan cuba kami tonjolkan untuk menghiburkan peminat yang hadir,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Bahagiamu Deritaku’ ini selesa memberi peluang dan berkongsi pentas dengan teman-teman seperjuangannya.
“Tahun lalu kami hanya menampilkan Hazama, Aril dan Akim Ahmad, tapi untuk tahun ini kami menjemput juara-juara AF iaitu Faizul Sani dan Firman untuk turut memeriahkan malam persembahan itu nanti.
“Saya tidak ada masalah malah berbesar hati dapat bersama-sama teman lain untuk menjayakan showcase ini, tambahan pula kami sudah seperti adik-beradik,” ujarnya.
Persembahan berdurasi dua jam ini akan bermula pada jam 9.00 dan tiket berharga RM80 boleh didapati di pintu masuk kafe Hard Rock, Kuala Lumpur.