
Umpama impian menjadi kenyataan. Itu perasaan yang melimpah di dada penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh apabila ditawarkan memegang watak kegilaan kanak-kanak seluruh dunia iaitu Elsa daripada filem animasi Frozen untuk dimuatkan dalam kalendar Disney Princess 2015. Sesi fotografi projek terbaharu itu diadakan di Bangkok, Thailand pada September tahun lalu bersama selebriti Asia Tenggara yang lain.
Bertemu dengan Marsha pada sidang akhbar kalendar Disney di Hotel Pullman, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia cukup berbangga apabila terpilih sebagai Elsa daripada selebriti Asia Tenggara yang lain. Marsha yang juga penyanyi untuk lagu tema filem Frozen Let It Go atau Bebaskan dalam versi bahasa Melayu itu menyifatkan pemilihan namanya sebagai Elsa merupakan suatu penghormatan yang besar.
“Terdapat banyak lagi watak puteri Disney yang lain, antaranya Cinderella, Snow White, Rapunzel dan Mulan tetapi pihak Disney memilih saya untuk menjadi Elsa dalam kalendar Disney Princess 2015. Jujurnya, memang saya terkejut kerana dalam kalangan selebriti Asia yang lain, mereka memilih saya.
“Hanya untuk sebuah sesi fotografi, saya telah terbang ke Bangkok, Thailand dan hasilnya cukup memuaskan hati. Sebenarnya, dapat terlibat dalam projek kalendar ini satu momen yang manis untuk saya kerana berpeluang menjadi Elsa walaupun hanya untuk sehari. Rasanya, ramai kanak-kanak di luar sana mempunyai impian yang sama. Apabila saya dapat merasai peluang itu, terasa cukup bertuah,” kata Marsha.
Sejak terpilih sebagai penyanyi lagu tema filem Frozen versi bahasa Melayu pada tahun 2013, Marsha dan Elsa memang tidak dapat dipisahkan. Sejak itu, Marsha dikenali sebagai Elsa Malaysia oleh peminat cilik. Selesa digelar Elsa, Marsha tidak kisah andainya dikatakan menumpang tuah watak Disney itu.
“Ketika merakam lagu Bebaskan pada tahun 2013, filem Frozen masih belum popular. Jadi, saya tidak mengharapkan impak yang besar. Namun, pada tahun 2014, filem itu mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia termasuk memenangi anugerah besar. Secara tidak langsung, saya turut terkesan dengan populariti filem animasi tersebut.
“Jika dahulu, saya hanya dikenali oleh orang dewasa, sekarang ini peminat saya lebih ramai daripada golongan kanak-kanak. Mereka juga tidak segan untuk memangil saya dengan nama Elsa. Mulanya saya terkejut dan tidak biasa, lama-kelamaan nama Elsa sudah melekat dengan saya. Banyak penganjur yang mahu saya menyanyikan lagu Bebaskan berbanding lagu Let It Go. Itu menunjukkan penerimaan positif terhadap lagu tema Frozen versi bahasa Melayu,” luahnya.
Menganggap dirinya bertuah kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja filem animasi berkenaan di Malaysia, Marsha menyifatkan tawaran itu sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang 10 tahun menjadi anak seni.
“Banyak perkara yang berlaku sepanjang 10 tahun menjadi anak seni. Ada yang manis dan pahit tetapi terlibat sebagai penyanyi lagu tema filem Frozen dan dipilih sebagai Elsa untuk kalendar Disney, itu suatu pencapaian besar dan sejarah yang manis untuk saya.
“Biasanya, apa yang diminati sewaktu zaman kanak-kanak akan kekal dalam ingatan sehingga tua. Mungkin, jika peminat cilik meminati saya kerana watak Elsa, saya akan kekal dalam ingatan mereka sehingga mereka tua nanti. Itu sudah cukup membanggakan kerana saya menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan filem Frozen,” tutur Marsha.

Untuk tahun 2015, Marsha mahu fokus kepada nyanyian.
Fokus nyanyian
Beralih bicara kepada kerjaya seni, Marsha yang semakin sinonim sebagai pelakon di layar kaca dan layar perak ingin memberi fokus kepada kerjaya nyanyian pada tahun 2015. Bukan sudah tiada tawaran lakonan tetapi Marsha bimbang disebabkan tawaran lakonan yang banyak menyebabkan peminat terlupa bahawa dia sebenarnya seorang penyanyi.
Azamnya pada tahun 2015 ialah mengeluarkan album kompilasi yang sudah tertangguh sejak tahun lalu.
“Memang fokus saya pada tahun 2015 untuk kerjaya nyanyian sahaja. Mungkin akan berlakon juga tetapi saya terpaksa hadkan lakonan supaya peminat tidak terlupa bahawa saya asalnya seorang penyanyi.
“Tahun ini, kalau boleh saya mahu mengeluarkan album kompilasi yang mengandungi enam buah single saya yang terdahulu. Ada antara lagu single yang saya telah keluarkan tetapi tidak mendapat perhatian, begitu juga dengan lagu single yang menjadi lagu tema beberapa buah drama seperti lagu Selalu Milikmu. Jadi, lagu-lagu itu akan disatukan dalam sebuah album,” jelas Marsha.
Selain itu, Marsha juga tidak menolak andai diberi peluang sekali lagi untuk menyanyikan lagu tema filem animasi yang lain kerana dia sudah mula jatuh cinta dengan lagu yang dekat dengan kanak-kanak.
“Sebenarnya, saya senang terlibat dalam sebuah produksi yang peminatnya adalah kanak-kanak. Mereka sangat jujur, jika mereka suka dengan apa yang ditayangkan bermakna sesebuah produksi telah melakukan kerja dengan baik.
“Mungkin pada masa depan, saya akan hasilkan album yang bergenre seperti lagu-lagu dalam filem animasi Disney. Lagunya mempunyai impak yang cukup besar bukan sahaja kepada orang dewasa tetapi juga kanak-kanak,” kata Marsha.
Disebabkan peminatnya kini lebih ramai kanak-kanak, Marsha mempunyai tanggungjawab yang cukup besar. Banyak perkara yang harus dijaga bukan sahaja tingkah laku, tutur kata, pakaian bahkan tulisan di laman sosial.
Sedar terhadap perhatian yang diberikan kanak-kanak kepadanya, Marsha mula bersikap matang dan lebih berhati-hati dalam setiap apa yang dilakukan supaya tidak memberi impak negatif terhadap peminat kecilnya.
“Apabila mempunyai peminat kanak-kanak, tanggungjawab saya cukup besar. Semua harus dijaga supaya tidak memberi contoh yang tidak baik kepada mereka. Contohnya di laman sosial, saya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang gambar dan komen supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
“Dahulu saya seorang yang cukup lantang meluahkan pendapat dan komen di laman sosial. Bagi saya, laman sosial itu hak dan ruang privasi untuk saya untuk bercakap tentang apa jua perkara. Bagaimanapun, situasi sekarang sudah berubah.
Melihat keikhlasan peminat kecil meminati saya, saya sedar ada perkara yang harus saya ubah, terutamanya di laman sosial kerana kanak-kanak sekarang sudah terdedah dengan telefon pintar dan gajet,” ujar Marsha.

MARSHA dan Daiyan Trisha memegang gambar kalendar mereka. Marsha sebagai Elsa manakala Daiyan Snow White.
Enggan ulas kisah cinta
Anak kelahiran Sabah yang sudah berusia 30 tahun itu tidak dapat lari daripada kisah cinta, sementelah dia masih belum berkahwin. Sering dikaitkan dengan jejaka Melayu, Marsha tidak menafikan yang hatinya kini dimiliki seseorang.
Tidak pernah merahsiakan hubungan tersebut termasuk memuat naik gambar kekasihnya di laman Instagram, namun Marsha kini berpegang kepada satu prinsip.
Pengalaman lalu mematangkan Marsha untuk tidak terlalu awal membuat ulasan mengenai status cinta sebelum tahu di mana pengakhiran hubungan tersebut.
“Memang saya sedang berkawan dengan seseorang yang sudah lama saya kenal. Saya tidak mahu komen sejauh mana hubungan kami, cukuplah saya katakan yang kami sedang berkawan.
“Bukan merahsiakan tetapi berdasarkan pengalaman lepas, adakalanya lebih baik saya berdiam diri. Andai hubungan kami tidak menjadi, saya juga yang malu. Saya kongsi semua tentang diri saya di Instagram, peminat boleh lihat aktiviti saya dan dengan siapa saya berkawan.
“Saya tidak pernah sorok andai saya bercinta, namun memadai setakat itu sahaja. Jika hendak mengeluarkan kenyataan rasmi tentang hubungan cinta, saya rasa tidak perlu. Jika betul saya akan menamatkan zaman bujang, saya tidak keberatan untuk berkongsi dengan semua,” jelas Marsha.