
JELAS Nuha, meskipun dikecam hebat oleh peminat, dia tidak kisah kerana yakin berada di pihak yang benar.
BELUM pun sampai tiga bulan usia penglibatannya dalam dunia hiburan, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Nuha sudah terjerat dengan kisah kurang menyenangkan.
Semuanya gara-gara empunya badan telah memuat naik sekeping gambar menunjukkan keadaan terlebih mesra bersama penyanyi lelaki yang juga lahir menerusi program AF2014, Ewal.
Dalam gambar yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya, @nuhaaf2014official, jelas kelihatan Nuha mengambil gambar dalam keadaan posisi badannya begitu rapat dengan badan Ewal.
Lantas Nuha atau nama sebenarnya, Syamila Nuhair Zainordi, 22, dikecam hebat kerana bergambar dengan lelaki bukan muhrim dalam keadaan yang keterlaluan dan tidak menjaga batas sebagai seorang wanita berhijab.
Terkesan dengan tohmahan tersebut, gadis berasal dari Manjong, Perak itu difahamkan telah memadam gambar kontroversi terbabit demi mengelakkan lebih banyak kata-kata nista dilemparkan kepadanya.
Artis Meletop! menghubungi Nuha bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.
Artis Meletop!: Seperti yang Nuha sedia maklum, nama anda menjadi bualan hangat baru-baru ini kerana sekeping gambar dengan Ewal yang mendapat respons kurang baik dalam kalangan pengikut anda. Boleh jelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu itu?
NUHA: Bgai saya, perkara ini bukan masalah besar sebab saya tahu perkara sebenar yang berlaku. Ketika gambar tersebut diambil, kedudukan kami tidaklah serapat seperti yang terlihat dalam gambar itu.
Segalanya terjadi dengan tidak sengaja dan dalam keadaan spontan. Masing-masing sedang sibuk dengan penggambaran sebuah program pada waktu itu dan secara tiba-tiba ada rakan yang mahu mengambil gambar kami. Jadi, secara pantas kami berdua menunjukkan pose masing-masing.
Dengan keadaan bilik yang kecil, jadi saya terpaksa menundukkan sedikit bahagian badan.
Pada waktu mahu memuat naik gambar itu, saya tidak fikir apa-apa yang tidak betul pada gambar tersebut. Selepas memuat naik, saya menyambung semula kerja yang dilakukan
Tujuan saya memuat naik gambar itu hanyalah untuk mempromosikan rancangan yang saya sertai iaitu Karok La Kau yang disiarkan di Astro Ria
Tidak sangka pula gambar itu mencetuskan buah mulut orang. Kalau orang di luar sana masih mahu bercakap buruk tentang saya, saya tidak kisah, sebab saya tahu saya tidak salah. Apa yang penting, saya tahu siapa diri saya, itu sudah cukup.
Adakah sebelum memuat naik gambar itu, anda sudah berfikir panjang memandangkan anda kini sudah bergelar artis dan apa sahaja yang dilakukan akan mendapat perhatian umum?
Pada awalnya, memang saya rasa agak pelik dengan gambar itu sebab kedudukan kami berdua memang nampak rapat tetapi seperti yang saya katakan tadi, ketika itu keadaan kelam- kabut dan saya mahu cepat. Lagi pula saya tahu keadaan sebenar kami berdiri ketika itu, sebab itulah saya tiada masalah untuk berkongsi gambar tersebut di laman sosial.
Sebagai seorang artis dan gadis yang berhijab, saya tahu batas-batas pergaulan. Tidak mungkin saya tidak terfikir tentang perkara seperti itu. Cuma, mungkin keadaan kami pada waktu itu tidak disengajakan, itu sahaja. Orang boleh bercakap apa sahaja.
Terpulang kepada semua kalau masih mahu bangkitkan lagi isu gambar itu. Sejujurnya, saya sudah penat mahu menjelaskan perkara sebenar kepada khalayak. Makin dilayan makin ramai yang bertanya.
Jadi, saya ambil pendekatan untuk tidak ambil kisah lagi dengan isu tersebut. Untuk meredakan keadaan, saya juga sudah buang gambar itu daripada akaun Instagram saya.
Bukan sebab takut tetapi saya tidak mahu perkara ini menjadi lebih besar dan risau juga kalau ada pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan gambar itu. Jadi, lebih baik saya buang awal-awal.
Bagaimanakah reaksi Ewal ketika gambar kalian dikecam oleh peminat? Reaksi keluarga anda pula bagaimana?
Ewal tiada masalah. Sewaktu gambar itu menjadi bualan ramai, dia ada bertanya kepada saya dan meminta maaf atas apa yang berlaku. Namun, saya katakan kepadanya, supaya buat tidak tahu sahaja.
Kami yang berada di situ dan kami tahu bagaimana situasi sebenar. Kami berdua memang rapat sebagai seorang kawan dan Alhamdulillah, Ewal memahami keadaan yang berlaku. Sebab itu dia pun jenis yang tidak ambil pusing dengan kritikan orang.
Keluarga saya juga tiada apa-apa masalah. Mereka lebih tahu diri saya berbanding orang di luar. Tidak timbul apa-apa masalah antara saya dengan keluarga disebabkan gambar itu.
Selain kisah gambar tersebut, selepas tiga bulan keluar daripada AF2014, bagaimana perjalanan karier anda?
Alhamdulillah, sekarang saya sedang menjalani penggambaran sebuah program kebajikan yang diterbitkan Astro. Program ini berkaitan dengan lawatan dan bantuan kepada pesakit-pesakit kanser. Saya juga dalam perancangan mahu keluarkan single terbaharu dalam tempoh enam bulan akan datang.
Kalau boleh, saya mahu terbitkan lagu ciptaan sendiri tetapi semuanya bergantung kepada Astro. Selain itu saya juga sibuk memenuhi undangan nyanyian.