Nubhan kahwin hujung tahun


NUBHAN kini muncul dengan single terbaharu berjudul Kisah Kasih.

LULUSAN Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 28, mengakui, dia kini sedang sibuk menguruskan persiapan menjelang hari bahagianya yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.

Sebelum ini, Nubhan telah mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek pada 6 Oktober 2014 yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan.

Kata Nubhan, Afifah, 26, kini masih berada di Mesir untuk melunaskan baki pengajian dalam bidang perubatan pergigian. Afifah bakal pulang ke Malaysia pada Mac depan untuk berbincang lebih lanjut mengenai persiapan majlis perkahwinan mereka.




“Bukan senang untuk melangsungkan majlis perkahwinan dan sekarang saya sedang sibuk mencari duit lebih demi hari bahagia kami.

“Alhamdulillah, persediaan sedikit sebanyak sudah pun berjalan dan perbincangan selanjutnya akan dilakukan bersama apabila dia (Afifah) pulang sempena cuti semester tidak lama lagi.

“Kalau boleh, saya mahu sebuah majlis yang ringkas dan dihadiri oleh keluarga, kawan-kawan rapat kami serta wakil media. Bagaimanapun, saya tidak pasti bagaimana majlis perkahwinan yang diimpikan Afifah. Sebab itu saya kena tunggu dia pulang Mac depan untuk kami duduk berbincang dahulu,” cerita Nubhan ketika ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.

Nubhan dan Afifah bertemu buat kali pertama di Pulau Pangkor, Perak, enam tahun lalu ketika penyanyi itu sedang menjalani sebuah penggambaran dan Afifah pula bercuti bersama keluarganya di sana.

Kisah Kasih

Dalam perkembangan lain, Nubhan kini muncul dengan single terbaharu berjudul Kisah Kasih yang dicipta oleh komposer Ajai manakala liriknya ditulis oleh Ad Samad.

Kisah Kasih telah dilancarkan ketika persembahan mini konsert Nubhan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur pada 12 April tahun lalu dan sedang rancak dimainkan di stesen radio tempatan.

“Selepas Cinta Kasih yang merupakan duet sulung saya bersama Mila berjaya mencuri perhatian dua tahun lalu, saya kembali dengan single solo terbaharu berjudul Kisah Kasih. Ia mengisahkan luahan rasa seorang insan yang masih mendambakan cinta bekas kekasih walaupun sudah berpisah.

“Lagu ini tiada kena-mengena dengan kehidupan saya. Ia sekadar sebuah karya yang dicipta oleh Ajai untuk saya. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya bekerja bersama beliau dan perkara yang menyeronokkan, Ajai terbuka untuk menerima pandangan saya. Ad Samad pula masih menjadi penulis lirik kegemaran saya sejak hari pertama saya bergelar penyanyi,” jelasnya.

Pada masa yang sama, penyanyi itu juga bakal melancarkan album keduanya berjudul Romantika yang akan memuatkan lima buah lagu termasuk Kisah Kasih, Cinta Kasih dan Hampir Jauh. Album yang sudah siap pembikinan itu dijangka bakal diterbitkan pada penghujung tahun ini.


Nubhan dan Afifah (kanan) telah melangsungkan pertunangan pada Oktober tahun lalu dan dijangka mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini.

Tolak tawaran lakonan

Ditanya mengenai tawaran berlakon, ujar Nubhan, dia kini lebih banyak memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian dan menguruskan perniagaan produk kosmetik berasaskan rumpai laut, Juwita Divine yang baru memulakan operasi beberapa bulan lalu.

Kata Nubhan, produk yang diperoleh dari Sabah itu mampu merawat permasalahan kulit wajah secara dalaman dan luaran.

“Buat masa sekarang, saya sudah tidak lagi aktif berlakon dan terpaksa menolak banyak tawaran berlakon. Selepas drama bersiri Aku sekitar dua tahun lalu, saya memutuskan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan kerana risau gagal memberikan komitmen untuk penggambaran yang biasanya memakan masa yang panjang.

“Rugi memang rugi tetapi saya menganggap itu pengorbanan saya demi mengejar sesuatu yang lebih utama. Matlamat saya sekarang adalah untuk memperkembangkan perniagaan yang sedang diusahakan dan saya percaya dengan rezeki Allah.

“Bagaimanapun, tidak mustahil tawaran itu akan kembali datang kepada saya dan seandainya ditawarkan karakter yang bersesuaian, saya akan terima. Saya tidak pernah cakap saya tidak mahu berlakon lagi selepas ini, cuma keutamaan saya terhadap bidang lain terlebih dahulu,” tegas Nubhan.

Sebelum ini, penyanyi kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu pernah membintangi beberapa buah telefilem antaranya Ada Cinta Di Hari Raya, Cinta Lelong dan Ibu Mee Segera selain terbabit dalam bidang pengacaraan termasuk rancangan In-Trend yang pernah disiarkan di TV2.



Previous Post Next Post