Aura Alfie Deyes


Alfie Deyes

KETIKA usia anda menginjak 16 tahun, anda mungkin ketika itu sibuk dengan komik, permainan video, bola sepak, atau mula untuk berpacaran.

Tapi berbeza dengan Alfie Sydney Deyes atau lebih dikenali dengan nama Alfie Deyes, dia mula mencipta video-video perintis ketika berusia 16 tahun.

Antara video yang mendapat sambutan ketika itu adalah ‘Girls are confusing’ dan banyak lagi.

Kebanyakan video-video yang dimuat naiknya mendapat perhatian dan sejak mula membuka saluran sendiri, Deyes tidak lekang menerima pengikut baru di salurannya.

Tidak tampil berseorangan, Deyes sering melakukan kolaborasi dengan teman wanitanya yang juga seorang vlogger, Zoe Sugg atau lebih dikenali dengan nama Zoella, berserta teman lain seperti Marcus Butler, Caspar Lee dan ramai lagi.

Kini siapa sangka, setelah menyambut ulang tahun keenam saluran YouTubenya iaitu PointlessBlog, Deyes sudah mempunyai lebih 3.6 juta pengikut dan videonya telah ditonton lebih 193 juta kali.

Tidak hanya membuka saluran PointlessBlog, Deyes juga turut mempunyai dua saluran lain iaitu PointlessBlogTv, dan saluran permainan video, alfiegames, yang masing-masingnya mempunyai pengikut yang tersendiri.

Seperti kebanyakan vlogger dan YouTuber lain, tujuan utama jejaka berusia 22 tahun ini membuka saluran YouTubenya sendiri adalah mencari kenalan baru.




"Saya adalah salah seorang pelayar dan peminat laman YouTube. Saya suka melihat orang lain menghasilkan video, kemudian ada kalanya mereka melakukan peraduan secara mingguan dan secara bulanan.

"Ia secara tidak langsung membuatkan anda mengenali orang baru di dalam hidup anda melalui internet sahaja.

"Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang mengenali YouTuber lain dan menghadiri majlis yang membuatkan rakan anda bertambah, secara tidak langsung masa anda tidak terbuang begitu sahaja," ujar anak kelahiran England ini.

Pada pandangan penulis, kebanyakan yang menjadi pengikut setia Deyes terdiri dari kalangan remaja perempuan.

Bahkan ada antara mereka mengakui teruja mengikuti dan menonton setiap video yang dimuat naik Deyes kerana kekacakan yang dimiliki jejaka ini.

"Pada mulanya saya hanya menerima pujian seperti 'wow video ini menarik' dan mereka mengakui suka dengan video yang saya muat naik.

"Kemudian ada komen yang mengakui mereka suka dengan video yang saya muat naik kerana suka melihat saya.

"Tapi saya tidak biarkan diri saya tenggelam dengan pujian dan sentiasa tidak puas dengan apa yang saya lakukan.dan mahu buat lebih baik lagi," katanya.


Lancar buku

Tidak hanya berbakat dalam penghasilan buku, Deyes telah pun menapak selangkah ke hadapan lagi apabila dilamar Blink Publishing untuk menerbitkan bukunya sendiri tahun lalu.

Buku pertama yang dilancarkan pada September 2014, diberi judul The Pointless Book. Siapa sangka dalam masa singkat, buku tersebut mendapat sambutan yang hangat dan kini Deyes sudah pun bersedia dengan The Pointless Book 2, yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

"Saya merakamkan video untuk tempoh enam tahun dengan pelbagai topik dan idea yang digunakan secara rawak.

"Jadi selepas itu, saya terfikir untuk membukukan topik-topik menarik yang pernah saya rakamkan dalam bentuk video. Tapi saya tidak suka menulis, jadi saya masukkan beberapa ilustrasi dan buku tersebut juga boleh dimuat naik secara digital.

"Hasilnya? Saya tidak sangka ia akan mendapat sambutan yang hangat," katanya.



Previous Post Next Post