![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi0KX8azmn0ghmgTLoknb5J6Bd23uaQgin05D_4mDgnFgMO4B4ghvYRhubTaQE3N4vRmkZs3-w__qr4xxmCfqYEZV8VVUn3eqChZIJ7KC86mJe8g9Yvm2ziqtAY1j2scQFkLYbaxBR7e7MZ/s1600/Fara+Fauzana.jpg)
SEJAK diperkenalkan pada tahun 1986, program Muzik Muzik berjaya muncul sebagai rujukan kepada perkembangan terkini industri muzik.
Sekembalinya Muzik Muzik edisi ke 30, ia bukan sahaja bertukar wajah dengan penampilan hos dan set studio baharu, malah ia turut diisi dengan paparan kandungan program yang lebih padat dan menghiburkan.
Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan Tv9, Sherina Nordin berkata, setiap tahun, Muzik Muzik akan diberi penambahbaikan supaya ia terus relevan dengan peredaran masa.
“Alhamdulillah, Muzik Muzik masih diterima dan menepati cita rasa penonton selepas tiga dekat bersiaran.
“Setiap tahun beberapa segmen baharu akan diperkenalkan supaya ia tampil dengan pengisian program yang lebih mantap dan menjadi rujukan peminat muzik tanah air.
“Selain carta lagu dan pencalonan lagu-lagu baharu, setiap minggu program ini juga akan berkongsi perkembangan industri muzik di dalam dan luar negara dan lebih tepat dengan konsep ‘infotainment’,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Sherina turut yakin, gandingan penyampai radio popular, Fara Fauzana bersama hos gandingannya AG bakal menampilkan keserasian seterusnya memeriahkan lagi program tersebut.
“Mereka berdua telah buktikan keserasian menerusi pengendalian segmen Hot FM Am Krew.
“Jadi pihak kami amat yakin dua nama besar ini mampu memantapkan lagi persembahan kandungan Muzik Muzik 30 yang kini akan lebih tertumpu pada kekuatan editorialnya,” jelasnya.
Muzik Muzik 30 bakal menampilkan segmen terbaharu seperti ‘Launching At Muzik Muzik, ‘Projek Muzik Hot FM’ dan ‘Story Of The Month.’