Usianya baru 17 tahun tetapi pelakon remaja Filipina, Bea Binene tidak pernah menyembunyikan percintaannya dengan Jake Vargas sejak empat tahun lalu.
Mula dikenali melalui siri Reel Love Presents: Tween Hearts memegang Belinda Fortes, Bea juga hos program Good News Kasama di GMA News TV.
Kata Bea, dia tidak meletakkan harapan tinggi terhadap hubungan mereka kerana usianya masih muda. Terbuka berbicara mengenai hubungannya dengan Jake, Bea juga bijak menyembunyikan masalah yang mereka hadapi.
Katanya, pada awal hubungan dia tidak dapat menyembunyikan pergaduhan antara mereka. Malah, dia sering mengikut perasaan hingga menjejaskan lakonannya.
"Perkara itu sangat ketara, terutama apabila kami digandingkan bersama. Pasti jelas kelihatan pada wajah saya yang kurang senang dengan Jake.
"Dulu, setiap kali kami mempunyai perselisihan faham, ia akan mengganggu tumpuan kerja. Saya juga tanpa berfikir panjang akan menceritakan masalah kami kepada orang lain. Ia menyebabkan ramai tahu mengenai pergaduhan kami yang berpunca daripada hal kecil.
"Mungkin kerana ketika itu saya masih terlalu muda dan terlalu mengikut perasaan. Bagaimanapun, sekarang Jake banyak memberi nasihat supaya saya bijak berkongsi cerita dengan orang di sekeliling kami.
"Saya juga semakin bijak mengawal perasaan ketika di lokasi penggambaran walaupun kami bergaduh," katanya.
Bea berkata, empat tahun bersama bukan tempoh singkat, namun masih timbul rasa kurang selesa apabila Bea diberi tanggungjawab berlakon bersama kekasih hatinya.
Mungkin orang lain melihat ia perkara mudah, tetapi berlainan pula dengan Bea. Katanya, walaupun mengenali antara satu sama lain, dia yang juga atlet wushu lebih suka berlakon dengan orang lain.
"Saya tidak perlu berusaha keras untuk menimbulkan keserasian dengan pelakon lelaki lain. Realitinya, percintaan saya dengan Jake sangat berbeza dengan apa yang kami lakonkan.
"Saya sukar menghidupkan watak dan jalan cerita serta babak romantik dengan Jake. Saya terpaksa mengetepikan realiti dan berpura-pura hubungan kami penuh dengan saat manis.
"Dalam cerita, kami sering bertemu serta meluangkan masa bersama-sama. Hakikatnya, masing-masing sibuk dengan pekerjaan. Hanya apabila digandingkan bersama, baru kami kerap bertemu.
"Kalau masing-masing ada komitmen lain, hanya aplikasi WhatsApp menjadi penghubung," katanya yang mula digandingkan dengan Jake dalam Alice Bungisngis And Her Wonder Walis.
Bercinta sejak usia 14 tahun, dari dulu lagi setiap kali keluar bersama, Bea akan ditemani ibunya atau mereka keluar bersama teman rapat.
Bea akui mereka belum pernah bertemu tanpa kehadiran orang lain atau dengan kata lain, hanya berdua-duaan. Andai ibunya atau teman tidak dapat keluar bersama, ibu Jake pasti ada dengan mereka.
Katanya, dia tidak pernah berasa terkongkong apabila ibunya ada apabila keluar bersama Jake. Malah, Bea akui Jake juga tiada masalah dengan keadaan itu.
"Malah, disebabkan terbiasa dengan suasana seperti itu, Jake sendiri akan mengajak ibu keluar bersama. Ibu saya sama seperti ibu lain yang selalu risaukan keadaan saya kerana saya masih muda dan wajar untuk dia risau.
"Tidak pernah timbul isu dikongkong kerana kadangkala Jake akan mengajak ibu saya keluar bersama kami," katanya.
Walaupun keluar bersama keluarga, Bea akui masih diberi ruang untuk dia dan Jake berdua. Katanya, keluarga akan mengizinkan mereka berjalan berdua ke tempat diingini sementara mereka juga menjalankan aktiviti yang dirancang.
"Dengan situasi sekarang, keluarga semakin mempercayai kami. Saya dan Jake tidak mempunyai masalah. Kami tahu batas kami," katanya.
Bea yang juga duta kanak-kanak Haribon Foundation sejak 2005 adalah finalis StarStruck Kids dan mula berlakon watak Natalie Dimaculangan dalam First Time.