AMYRA dan Dazrin mesra suatu ketika dahulu
Ogos lalu, pasangan Dazrin Kamaruddin dan Amyra Rosli mengejutkan peminat dengan berita pembatalan pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 8 Ogos 2014.
Berita itu disampaikan ibu Amyra, Noor Zaridah Ahmad tetapi punca pernikahan dibatalkan tidak dinyatakan. Katanya, pernikahan itu tidak akan menjadi kenyataan atas persetujuan bersama. Noor berharap semua pihak menghormati hal peribadi membabitkan keluarganya. Pasangan ini bertunang pada 25 Ogos 2013.
Nama pelakon Ramona Zamzam dikatakan menjadi punca apabila gambar mesra mereka berdua dimuatnaik Ramona ke laman sosial Instagramnya beberapa minggu sebelum itu.
Bagaimanapun, tiada kenyataan daripada Dazrin mengenai perkara itu. Sebaik saja Amyra mengumumkan mahu memutuskan pertunangan mereka, Dazrin mengambil keputusan mendiamkan diri dengan tidak memberi kenyataan balas mengenainya.
Hampir empat bulan, Dazrin menyepikan diri daripada pihak media dan waktu sama menolak semua tawaran berlakon. Pelakon kelahiran Klebang, Melaka itu cuba lari daripada kekecohan yang berlaku dan menenangkan diri.
Bertemu Dazrin baru-baru ini, pelakon muda meningkat naik itu berkata, sehingga sekarang dia tidak pernah memberi komen membabitkan isu putus tunang, malah dia tidak tahu mengapa ia berlaku.
"Sebaiknya Amyra membuat keputusan, saya tidak berkesempatan bertemu dan bertanya perkara sebenar dengannya.
"Malah, saya tidak tahu pun keputusan diambilnya untuk memutuskan pertunangan. Tiada komunikasi berlaku antara kami sepanjang keputusan dibuat," katanya.
Dazrin juga tidak sedia bercerita lebih lanjut mengenai perkara itu dan tidak kisah dengan apa pun anggapan orang mengenai isu putus tunang.
"Bagi saya ia terlalu peribadi untuk dikongsi, apatah lagi diuar-uarkan di media. Perkara sudah berlaku, buat apa saya hendak beri kenyataan atau penjelasan mengenainya.
"Cuma, segala kekecewaan yang terbuku dalam hati saya luahkan dalam lagu yang dihasilkan bersama komposer muda dari Sabah, Benn.
"Saya tidak perlu menyatakan apa yang saya rasa mengenai isu putus tunang dengan Amyra, tetapi bagi mereka yang mendengarkan dua lagu terbaru yang saya hasilkan bersama Benn, pasti faham apa yang ingin saya sampaikan.
"Ramai tidak tahu saya juga meminati muzik dan pernah menghasilkan beberapa single. Malah, lagu runut bunyi drama rantaian Jodoh musim pertama adalah lagu dendangan saya," katanya.
Dazrin akui, apabila Amyra mahu memutuskan pertunangan mereka, ramai yang datang kepadanya dan menasihati supaya dia meneruskan hidup dan tidak terlalu kecewa.
"Saya cuba ikut apa yang mereka nasihatkan tetapi jauh di sudut hati, saya tidak mampu melupakan cinta antara kami. Soal hati atau apa yang terbuku tiada siapa yang tahu.
"Menghasilkan lagu dan merakamkan kisah berlaku membuatkan hati saya sedikit tenang," katanya.
Kata Dazrin, dengan menghasilkan lagu itu tidak bermakna dia mahu lebih serius menyanyi atau bergelar penyanyi, sebaliknya ia dilaksanakan atas dasar minat.
"Bidang lakonan masih menjadi keutamaan bagi saya. Lagu atau nyanyian ini pula untuk memenuhi minat. Saya juga tidak meletak harapan tinggi untuk berjaya sebagai penyanyi mahupun komposer.
"Jika apa yang saya lakukan ini diterima baik, saya bersyukur dan akan terus berkarya sebagai makanan jiwa saya," katanya.
Mengenai kemungkinan dia dan Amyra ditemukan dalam drama mahupun filem selepas ini, jelas Dazrin, dia tiada masalah berlakon bersama.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Filem Video dan Media serta Ijazah Sarjana Muda Global dan Pengajian Antarabangsa dari Western Michigan University itu sedar industri hiburan tanah air kecil saja, ke mana saja pergi pasti akan terserempak.
"Saya tidak kisah jika kami ditemukan untuk bekerja selepas ini kerana saya harus profesional. Cuma saya bimbangkan jika situasi (berlakon sama) akan menjadi janggal. Kalau perkara itu berlaku, bimbang nanti akan timbul pula masalah," katanya.