Faizal Hussein: Saya hanya minat berlakon



Tiada sanggahan, malah ramai sebulat suara bersetuju tatkala aktor Faizal Hussein dinobatkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 pada Mac 2013.

Selepas kemenangannya itu, Faizal mula meraih kembali perhatian peminat, bahkan pelakon berusia 48 tahun ini juga sekali lagi menerima watak-watak hero daripada penerbit filem.

“Alhamdulillah, kemenangan pada FFM ke-25 menerusi filem Bunohan berjaya membuka mata dan perhatian peminat terhadap saya. Selepas kemenangan itu, saya juga menerima tawaran untuk berlakon dalam tujuh buah filem yang menawarkan peranan utama termasuk Kapsul, Aku Abang Long Rajawali, Tujuh dan Gudang Kubur,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena filem terbaharunya, Gudang Kubur baru-baru ini.

Santai di suatu petang di studio Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, bersambung dengan cerita tentang filem Gudang Kubur dan luahan hati hero yang pernah popular dengan watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986 itu.

Sudah 29 tahun filem itu berlalu, namun raut wajah Faizal masih tampan seperti dahulu. Bakat lakonannya juga tidak pernah kurang, bahkan bisa lakonannya masih lagi menyengat. Sungguhpun begitu, penulis tertanya-tanya kenapa Faizal hanya memfokuskan diri pada bidang lakonan. Tidak pada dunia pengarahan mahupun penerbitan.

Sebagai seorang yang lebih dulu makan garam, berfikiran jauh dan tidak cepat melatah, Faizal menjawab soalan penulis dengan tenang.

Kesibukannya berlakon dan perhatian 100 peratus yang ingin diberikan buat keluarga tercinta menjadi sebab mengapa dia tidak mengikut jejak langkah arwah bapanya, Allahyarham Hussein Abu Hassan yang pernah mengarahkan filem popular Gila-Gila Remaja.




“Saya terlalu sibuk berlakon sehingga tidak mempunyai ruang untuk mengarah. Seorang pengarah filem juga jarang memperoleh peluang untuk mengarah genre filem yang mereka suka. Mereka kena mengarah filem berpandukan skrip yang sedia ada. Itu juga antara sebab mengapa saya kurang minat mengarah.

“Sejujurnya, saya hanya minat berlakon. Melalui lakonan juga saya boleh menyampaikan mesej yang baik kepada penonton.

“Saya juga mahu melihat anak-anak membesar di depan mata. Kalau jadi pengarah, saya akan sibuk di lokasi sehari suntuk dan tiada masa untuk keluarga,” luah bapa kepada dua cahaya mata itu.

Biarpun pelbagai alasan diberikan, namun Faizal tidak menolak andai satu hari nanti dirinya benar-benar bersedia untuk duduk di kerusi pengarah.

“Peminat dan penerbit masih memerlukan saya berada di hadapan skrin.

“Insya-Allah, andai tidak lagi berlakon satu hari nanti, saya akan cuba mengarah pula,” katanya yang buat pertama kali berlakon dalam filem seram iaitu Gudang Kubur.

Filem yang telah menjengah seluruh pawagam pada Khamis lalu itu juga menyaksikan gandingan pertama kali Faizal dengan aktres paling popular, Nora Danish.

Membawakan watak sebagai Tuan Anwar, seorang yang kaya dan romantis terhadap isterinya, Zarra (Nora). Pasangan itu kemudiannya mengambil alih sebuah gudang.

Tanpa mengetahui misteri di sebalik gudang tersebut, pasangan romantis itu dihantui dengan hantu bernama Melati (Atikah Suhaime).

“Sebenarnya, di gudang tersebut terdapat sebuah kubur wanita yang cintanya tidak kesampaian.

“Disebabkan dia cemburu melihat kebahagiaan Anwar dan Zarra, hantu tersebut cuba bermain dengan perasaan suami isteri itu,” katanya menutup perbualannya.



Previous Post Next Post