Selagi berbinkan Doli Sharif, Zero tak berpecah



ZERO tidak akan berpecah sampai bila-bila.

DARIPADA zero menjadi hero. Biarpun lebih seminggu telah dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014, sana sini masih ramai yang berbicara mengenai kumpulan Zero.

Di sebalik suara negatif kononnya kumpulan dari Sabah ini hanya menjadi juara kerana mengundang simpati penonton apabila mendedahkan kisah peribadi mereka, ramai juga yang menyifatkan Zero memang berhak membawa pulang RM500,000.

Dalam ketawa pastinya ada air mata. Itulah yang dibuktikan Zero. Biar ada yang khuatir kumpulan ini bakal berpecah sebaik sahaja menerima percikan aura popular, hubungan sebagai adik-beradik pastinya menafikan khabar sedemikian. Bersama Sensasi Bintang, mereka berkongsi cerita mengenai momen dan lakaran yang bakal diharungi Zero selepas ini.

Sensasi Bintang: Ada sebarang perubahan sebaik muncul juara MLM 2014?




SHARIF: Alhamdulillah. Kami lebih menyerlah berbanding ketika muncul naib juara Raja Lawak 2012. Bukan tiada yang mengenali kami selama ini, cuma kali ini kami lebih diterima.

ATU: Tidak mustahil kami akan menjadi lebih sibuk selepas ini tetapi itu bukan alasan untuk melupakan keluarga.

SYAIFUL: Kami masih seperti dahulu. Gelak ketawa, bergurau dan sikap masih sama.

Sebagai sebuah kumpulan, perselisihan faham pastinya berlaku. Tidak khuatir Zero akan berpecah suatu hari nanti?

SHARIF: Bergaduh perkara biasa, nama pun adik-beradik. Ketika memikirkan idea untuk MLM 2014 pun kami sering berselisih faham. Mana mungkin kami akan berpecah.

ATU: Selagi kami berbinkan Doli Sharif, Zero takkan berpecah sampai bila-bila.

SYAIFUL: Orang lain boleh membuat pelbagai spekulasi tetapi kami cukup memahami sikap masing-masing.

Seandainya rezeki kalian selepas ini lebih berpihak kepada individu dan bukannya sebagai Zero, bagaimana?

SHARIF: Tiada masalah. Sebelum dikenali, kami memang sering membantu antara satu sama lain. Jika saya ada duit, saya akan membantu yang termampu. Itu juga yang akan dilakukan Syaiful dan Atu.

ATU: Itu semua rezeki masing-masing. Tidak pernah timbul rasa iri hati dan sebagainya. Kesusahan banyak mengajar kami menghargai erti hidup.

SYAIFUL: Duit Zero, duit kami sekeluarga. Duit Atu dan Sharif, duit saya (ketawa).

Sebelum ini, kalian mengumumkan mahu menggunakan wang kemenangan berjumlah RM500,000 itu untuk membantu keluarga. Boleh ceritakan sedikit kepada pembaca Kosmo! Ahad?

SHARIF: Seperti yang dikatakan sebelum ini, kami mahu menghantar ibu menunaikan haji di Mekah, selain membaiki rumah di Kudat, Sabah.

ATU: Kami akan baiki sendiri rumah itu dengan wang kemenangan berkenaan. Bukan tidak mahu mengupah sesiapa, tetapi kami memang boleh bertukang. Buat masa ini, segala-galanya belum dimulakan kerana masih menunggu wang tersebut.

SYAIFUL: Selain itu, kami juga akan menyimpan wang berkenaan sebagai persediaan untuk masa depan.

Kalian dilihat cukup tangkas dengan seni mempertahankan diri iaitu Silat Gerak Kilat yang diwarisi daripada arwah bapa ketika beraksi di pentas MLM 2014 tempoh hari. Tidak teringin untuk lebih dikenali sebagai pelakon aksi selepas ini?

SHARIF: Sudah tentu. Ia memang impian kami. Genre aksi komedi pun okey. Jika ada penerbit mahupun pengarah mahu mengambil kami berlakon dalam filem aksi, kami tidak akan menolak.

ATU: Ia warisan daripada bapa. Jika ada medium untuk diperkenalkan kepada umum, apa salahnya. Ini semua rezeki. SYAIFUL: Ilmu memang untuk dikongsikan kepada semua orang. Kami mahu menjadi pelawak versatil yang bukan sekadar tahu melawak.

Ramai yang tidak tahu Sharif sebenarnya anak kedua dan bukannya anak sulung seperti yang sering dipersembahkan dalam sketsa selama ini. Apa pandangan Sharif mengenai perkara itu?

SHARIF: Di luar pun ramai yang kata sebegitu. Mungkin, saya dilihat lebih matang selain terlebih dulu mendirikan rumah tangga pada Mei 2013. Wajah Syaiful dan Atu pun macam ‘adik-adik’ tetapi bukan yang jenis lembut ya!

Ada yang beranggapan Zero dinobatkan sebagai juara kerana simpati penonton. Boleh komen?

ATU: Kami hanya mahu menjadi jujur dalam setiap persembahan. Apa yang kami persembahkan, itulah diri kami sebenar. Rakan-rakan yang bersaing dalam MLM 2014 juga seolah-olah seperti adik-beradik. Kami tidak pernah dengki antara satu sama lain.

Pada mulanya, Syaiful dikatakan bakal menamatkan zaman bujang sebaik sahaja MLM 2014 berakhir. Tiba-tiba, majlis dikatakan ditunda. Mengapa?

SYAIFUL: Bukan lama ditunda, mungkin dalam sebulan dua saja. Keluarga tunang (Asura Rudi) pun memahami perkara ini. Saya berkawan dengannya sudah lima tahun, jadi dia benar-benar memahami saya seadanya. Doakan kebahagiaan kami kekal sehingga ke akhir hayat.

Bagaimana pula dengan projek terkini kalian selepas ini?

ATU: Terdapat perbincangan mengenai filem bersama sebuah produksi tetapi segala-galanya masih belum ada sebarang hitam-putih lagi.

SHARIF: Kami bercadang untuk mengeluarkan single. Kami tidak kisah dengan genre lagu, namun lebih selesa dengan irama berentak catchy.

SYAIFUL: Terserah kepada pihak pengurusan.




Previous Post Next Post