KEVIN begitu teruja menerima kehadiran 50 peserta bertuah yang menyertai program Jom Kurus Astro Bella.
SIAPA sangka cabaran Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) yang diasaskan oleh perunding kecergasan dan nutrisi terkenal, Kevin Zahri sudah memasuki musim ke-4 penganjurannya.
Kata pengacara popular rancangan Gaya Hidup Sihat dan Get-Set Go di RTM2 itu, seramai 2,700 peserta telah menyahut cabaran untuk menurunkan berat badan selama enam minggu untuk musim kali ini.
“Sepanjang penganjuran program ini, kami menerima respons positif daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Saya lihat, ramai rakyat Malaysia sukakan program ini kerana ia membantu orang ramai untuk mengurangkan berat badan dengan memberi penekanan dalam mendidik mereka mengenai senaman dan pelan pemakanan yang betul serta mengamalkan gaya hidup sihat.
“Sehingga kini, JK1M sudah mempunyai lebih 70 jurulatih kecergasan yang akan mendidik dan mengajar para peserta tentang cara-cara untuk menurunkan berat badan,” ujarnya yang mula dikenali ramai ketika dilantik menjadi guru kecergasan menerusi rancangan popular, Akademi Fantasia musim keempat.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kewujudan banyak program kecergasan yang dilihat hampir sama seperti JK1M, Kevin berkata, dia sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku sejak program tersebut diperkenalkan.
“Saya sedar banyak pihak melakukan program yang hampir sama dengan JK1M selepas melihat kejayaan yang kami peroleh. Sejujurnya, saya tiada masalah kerana objektif mereka adalah untuk membantu rakyat Malaysia menurunkan berat badan.
“Lagipun, peserta juga kadangkala mahukan kelainan. Sebagai contoh, jika hari ini mereka menyertai program JK1M mungkin tahun hadapan mereka mahu mencuba program yang baharu bagi mencari kelainan,” jelas Kevin yang sudah 10 tahun berpengalaman dalam bidang kecergasan sebagai jurulatih.