Shukri, Dayana mahu pergi lebih jauh



DUA bintang muda ini pernah bekerja sebagai kerani dan pembantu jualan.

SETIAP orang mempunyai susun atur perjalanan hidup masing-masing. Bagaimanapun, apa yang direncanakan itu tidak semuanya akan terjadi seperti yang diharapkan. Ini kerana, perihal takdir yang menentukan segalanya.

Begitu juga dengan hal kerjaya. Apa yang dilakukan saat ini dan apa yang dikecapi hari ini, barangkali perkara itu tidak pernah terjangkau dalam benak fikiran kita pada masa lalu.

Itu juga kisahnya dengan apa yang dilalui oleh dua pelakon iaitu Shukri Yahaya dan Dayana Roza yang menjadi pilihan penghias muka depan sisipan Sensasi Bintang minggu ini. Pasangan ini dahulunya bukanlah siapa-siapa. Mereka juga tidak pernah terfikir untuk pergi sejauh ini.

Sebelum melangkah masuk ke dalam dunia glamor, baik Shukri mahu pun Dayana, masing-masing pernah merasai kehidupan seperti rakan sekelilingnya. Shukri dahulu pernah bekerja sebagai kerani bank, manakala Dayana sebagai pembantu jualan di sebuah butik di ibu negara.

Pergi kerja dan balik kerja, itu rutin yang masih dilakukan sehingga kini. Cuma bezanya, jika dahulu mereka tidak perlu fikir sangat tentang apa yang umum bercerita mengenai diri, namun hari ini perkara itu mungkin antara perkara yang akan bermain dalam fikiran mereka.

Menjadi seorang yang berlabel figura awam, pasangan hero dan heroin drama Asam Pedas Untuk Dia itu sedar bahawa ia merupakan lumrah hidup untuk bergelar anak seni. Bagaimanapun, itu bukanlah alasan utama untuk mereka terus berasa gusar. Ini kerana, pucuk pangkalnya, mereka perlu pandai membawa diri.

Apa yang penting, mereka harus terus berfikir untuk memajukan diri. Ini kerana, bukan mudah untuk terus berada di atas. Itu semua memerlukan kekuatan hati. Kena sentiasa tabah dan tidak pernah kenal erti putus asa.




“Saya tidak pernah kisah mengenai populariti. Saya percaya, perkara itu akan datang sendiri jika kita betul-betul berbakat. Itulah yang akan dilihat dan dinilai dalam pekerjaan yang saya lakukan ini,” ujar jejaka berusia 27 tahun itu.

Sesetengah rakan seperjuangannya naik dengan cepat. Ada juga yang mengambil masa bertahun-tahun. Itu semua bergantung kepada rezeki. Tidak kurang juga ada yang mengganggap ia sebagai satu nasib.

Sungguhpun begitu, aktres Zombi Kilang Biskut itu pula punya pendirian tersendiri. Katanya, dia tidak perlu terburu-buru untuk mengejar nama.

“Semua orang memang mahu dikenali. Jika bernasib baik, baru berlakon satu dua drama, nama mungkin akan dikenali. Cuma pada saya, bagaimana untuk kita terus kekal berada dalam industri yang mencabar ini. Perkara itu memang bukan mudah.

“Sekiranya ingin kekal lama, saya kena konsisten memberikan sesuatu yang terbaik. Berusaha dan terus memperbaiki diri,” luah bekas peserta program realiti Anak Wayang berusia 24 tahun itu.

Shukri ada pengkritik tetap

Memasuki kalendar 2015, menandakan sudah empat tahun kelibat pelakon tampan yang dikatakan mempunyai wajah mirip aktor terkenal Filipina, Jericho Rosales itu bergelar anak seni. Mula dikenali dengan drama bersiri popular Juvana, waktu itu lakonannya lebih banyak bermain dengan gerak bahasa tubuh.

Membawakan watak sebagai pelajar nakal yang menuntut di sekolah pemulihan akhlak, dirinya mula mendapat perhatian.

Satu persatu kelibatnya kemudian mula dilihat menerusi kaca televisyen mahupun di layar perak. Sehingga ke hari ini, sudah puluhan naskhah yang menampilkan dirinya.

Daripada watak sebagai lelaki jahat, sehinggalah kepada lelaki lembut, Shukri boleh dianggap sebagai seorang yang versatil. Baik sebagai watak pembantu atau utama, itu bukan menjadi perincian utama dalam dia menterjemahkan bakat yang ada dalam dirinya. Kunci utamanya dia kena terus mencuba.

“Saya tidak kisah diberikan watak apa sekalipun. Biasanya orang akan suka membawakan watak yang mempunyai karakter tidak jauh daripada sifat asal pelakon itu. Mungkin itu lebih mudah. Kalau kita tidak cuba sesuatu yang baharu, kita tidak akan tahu kemampuan diri, kongsi finalis Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-26 menerusi filem Ular itu.

Menariknya mengenai aktor drama Menjinak Ombak itu, dia tidak gemar untuk menonton hasil karya lakonannya sendiri. Bagaimanapun, katanya, ibu bapanya yang akan menjadi penilai dan pengkritik untuk setiap drama atau filem yang menampilkan dirinya.

“Saya memang tidak suka tengok diri sendiri. Kebiasaannya ibu bapa saya akan jadi pengkritik. Mereka menonton cerita lakonan saya dan memberikan komen.

“Mereka akan beritahu apa yang saya perlu perbaiki,” ujarnya yang pernah tercalon sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi telefilem Perempuan Itu Ibuku.

Dayana mahu cuba jadi pengacara

Apa yang dirasakan Shukri, lebih kurang sama ceritanya dengan Dayana. Aktres filem Apokalips X itu memberitahu, sehingga ke hari ini dia belum lagi dapat mengenal pasti apakah watak yang betul-betul kena dengan dirinya.

“Mungkin orang kata muka saya ini nampak baik, sebab itulah watak-watak yang saya selalu dapat lebih kepada karakter wanita sopan.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah cerewet dalam menerima mana-mana tawaran watak yang diberikan. Watak baik pun saya terima, watak jahat pun terima. Saya selesa dengan kedua-duanya,” ujar pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin itu.

Bercerita mengenai isu keserasian pasangan gandingan yang berlakon dengannya, kata Dayana, dia tidak mempunyai masalah untuk dipadankan dengan mana-mana aktor.

“Saya tidak kisah dengan siapa. Sebagai pelakon, kita kena fikirkan bagaimana kita mahu sampaikan jalan cerita itu supaya jadi lebih menarik.

“Seperti dalam drama Asam Pedas Untuk Dia, sebenarnya itu merupakan pertama kali saya bekerjasama dengan Shukri, namun kami tidak mempunyai masalah. Apa yang penting kena selalu duduk berbincang,” katanya yang sudah enam tahun bertapak dalam industri seni.

Bercakap mengenai perancangan masa depan, kata Dayana, jika diizinkan, dia mahu cuba menonjolkan lagi bakat dalam bidang pengacaraan.

“Saya ini jenis yang suka bercakap. Memang ada niat mahu menjadi pengacara kerana minat untuk mengendalikan program-program televisyen termasuklah untuk jadi penyampai radio,” tutur pelakon drama Syurga Nur itu.

Baik Shukri mahupun Dayana, apa jua yang dilakukan, mereka sedar sentiasa ada ruang untuk memperbaiki kelemahan diri. Jauh sekali untuk cepat berasa puas dengan apa yang dikecapi kerana perjalanan mereka masih lagi jauh.

“Kami tidak pernah berpuas hati dengan apa yang diperoleh sekarang. Banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk memberikan yang terbaik kepada semua,” ujar mereka menutup bicara.



Previous Post Next Post