Syazwan Zulkifly
Empat tahun berkecimpung dalam bidang seni, Syazwan Zulkifly masih menganggap dirinya seperti bakat baharu.
Tempoh berkenaan dianggapnya sebagai ruang untuk terus menimba pengalaman dengan menerima pelbagai tawaran yang menguji dirinya.
Syazwan mula menjadi sebutan selepas muncul dalam siri drama Juvana di TV3. Watak Apek yang dipegangnya dalam drama berkenaan terus membekas. Sepanjang empat tahun itu juga selain drama, beliau turut membintangi lima filem termasuk Juvana The Movie dan Laga yang sudah menemui penonton.
Ketika ini, filem terbaharu lakonannya Suamiku, Encik Perfect 10! masih ditayangkan. Dua lagi filem lakonannya yang sedang menunggu tayangan tahun ini iaitu Sunti@Facebook dan Gamatism.
Bagi Syazwan, setiap anak seni mempunyai cara sendiri untuk terus berjaya. Lambat atau cepat semuanya berbalik kepada tuah. Calon awal kategori Pelakon TV Lelaki dan Pelakon Filem Lelaki Anugerah Bintang Popular (ABP) BH 2014 itu selesa dengan perkembangannya saat ini.
"Tidak terlalu mendadak naik, tetapi tidak juga lambat dan saya selesa dengan perkembangan ini. Selama ini pun, saya masih berada pada peringkat belajar dan ada ketika, saya berasa seperti pada permulaan ketika berlakon drama Juvana.
"Saya amat bersyukur dengan pencalonan awal di ABPBH 2014. Jika tidak silap, nama saya mula dicalonkan dalam pencalonan awal sejak tahun 2011 lagi.
"Saya tidak letak harapan tinggi kerana ia ditentukan oleh kuasa undian peminat. Membolosi Top 5 bagi saya, satu bonus tetapi jika gagal, saya tidak akan kecewa. Ia menyuntik semangat untuk saya terus bekerja," katanya dalam satu pertemuan, baru-baru ini.
Syazwan yang mesra dipanggil Kepeng mengakui, di kalangan teman artis namanya kekal sinonim dengan watak antagonis.
Hakikatnya, sebagai pelakon, Syazwan pernah mencuba pelbagai watak. Pernah memegang watak protagonis, namun barangkali kerana slot tayangan itu tidak ditonton ramai menyebabkan percubaannya itu tidak disedari ramai.
"Saya tidak kisah jika peminat masih skeptikal dengan kemampuan saya. Saya juga tidak terkilan jika peminat mengingati, lakonan saya hanya membekas apabila membawa watak jahat saja. Itu pandangan ramai dan bukti mereka sedar kehadiran saya. Saya masih ingat satu temubual membabitkan pelakon, Johnny Depp.
"Soalan yang diajukan kepada beliau ialah kenapa tidak mahu berlakon menampakkan muka sendiri, sebaliknya gemar memilih watak pelik sekali gus menyembunyikan wajah kacak yang dimilikinya?
"Jawapan yang diberikannya cukup menarik. Katanya, Hollywood memiliki ramai hero kacak yang diingati, jadi biar peminat mengingati namanya dengan karakter pelik. Sama juga dengan situasi saya. Saya cuba kekalkan karakter sebegitu sekalipun watak jahat sering kali dibenci," katanya yang terbuka dengan apa saja tawaran atau karakter jika bersesuaian.
Syazwan turut menjelaskan, beliau mengambil pendekatan tidak terlalu ambil pusing kritikan atau pujian yang diterimanya di laman sosial. Bagi Syazwan, beliau tidak mahu pantas selesa dengan apa yang diraihnya.
"Saya tiada asas lakonan. Cuma saya bertuah kerana pada awal kerjaya seni, saya diberi peluang berdampingan dengan orang yang betul. Saya berpeluang berkongsi pengalaman dengan Beto Khusairy, Bront Palarae dan Zaharil Adzim. Saya juga dapat bekerja dengan produksi yang mementingkan kualiti.
"Saya bermula dari bawah. Saya tidak mahu terus lalai dengan pujian, malah tidak membenarkan kritikan memusnahkan impian. Tetapi itu bukan bererti, saya tidak menghargai pujian orang. Di laman sosial contohnya Twitter, saya suka jika peminat memuji lakonan tanpa menyebut nama saya. Ia lebih jujur," katanya.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam filem Suamiku, Encik Perfect 10! terbitan Astro Shaw dan Global Station di pawagam sejak 22 Januari lalu, Syazwan mengakui menerima maklum balas positif terhadap filem itu.
"Banyak babak saya bersama Lisa Surihani ketika di London terpaksa dipotong untuk memenuhi durasi tayangan filem, tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan cinta. Secara jujur, saya suka karya ini yang pada asalnya dihasilkan dalam format super telefilem," katanya yang kini membintangi drama Istikharah Cinta menerusi slot Akasia TV3.