Mark Adam intai pasaran muzik Filipina


PENYANYI yang berasal dari Filipina itu kini popular dengan single terbaharu berjudul Marry Me.

SETIAP penyanyi mempunyai hala tuju dan cabang muzik yang berbeza. Selain cuba menonjolkan identiti tersendiri sebagai penghibur, medium yang tepat juga perlu dipilih bagi memastikan hasil karya sampai kepada kelompok sasaran sepatutnya.

Bagi penyanyi, Fikri Mark Adam atau lebih dikenali dengan nama pentas, Mark Adam, kebolehan menyanyi dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Melayu dijadikan platform untuk memasarkan karya muziknya ke luar negara.

Ujar penyanyi yang berusia 36 tahun itu, selain memberi fokus terhadap pasaran muzik tempatan, dia juga sedang mengintai peluang untuk memasarkan hasil kerja ke negara kelahirannya, Filipina.

"Selepas berjaya bertapak sebagai penyanyi di Malaysia, hasrat untuk membawa lagu-lagu saya ke Filipina semakin memuncak.

"Kebetulan, setiap lagu bahasa Melayu nyanyian saya terlebih dahulu telah dirakam dalam bahasa Inggeris. Jadi, saya menggunakan kesempatan ini untuk mencuba nasib di sana," katanya yang ditemui selepas sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sudah menjadi rutin, Mark Adam akan menulis lagu-lagunya dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum rakannya, DJ Fuzz mengambil tugas menterjemahkan karya tersebut ke dalam bahasa Melayu.

Antara lagu-lagu yang telah diterjemahkan termasuk Pencuri (Thief), Si Katak (Pimples) dan terbaharu, Marry Me.



Penerimaan

Bagi merealisasikan hasratnya menembusi pasaran Filipina, Mark Adam bakal memuatkan lima buah lagu bahasa Inggeris ke dalam album pertamanya yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

"Saya mahu menyeimbangkan karya-karya di dalam album. Jadi, saya memilih untuk memasukkan lima buah lagu bahasa Inggeris dan lima buah lagu bahasa Melayu yang telah diterjemahkan liriknya oleh DJ Fuzz.

"Mungkin dengan cara ini, muzik saya dapat diterima oleh pendengar di Filipina nanti," ujarnya positif.

Menyentuh mengenai percubaan pertamanya, album berjudul Mark Adam itu diisi dengan kronologi penceritaan yang bermula menerusi single hitnya, Pencuri.

Kata Mark Adam, dia sengaja memilih penceritaan bersambung dalam lagu-lagunya agar pendengar dapat memahami maksud yang ingin disampaikan.

"Peminat akan memahami maksud yang ingin saya sampaikan jika mereka mula mendengar lagu Pencuri. Menerusi lagu itu, saya bercerita tentang kisah seorang lelaki yang ingin berkenalan dengan seorang gadis pilihan hatinya.

"Kisah cinta lelaki itu, saya kembangkan ke dalam lagu Si Katak dan seterusnya berakhir menerusi lagu Marry Me.

"Walaupun kedengaran agak klise, namun, percubaan ini merupakan satu kelainan dalam album saya," kongsinya sambil berharap peminat dapat menerima konsep persembahan albumnya itu.

Ditanya bilakah album tersebut dipasarkan, Mark Adam memberitahu, ia akan memasuki rangkaian kedai muzik dalam masa terdekat ini.

Namun, bagi peminat yang mahu mendapatkan album tersebut lebih awal, Mark Adam sudah mula menjual buah tangan baharunya itu secara eksklusif dalam setiap persembahan secara langsung yang disertainya.

"Pengunjung yang datang menyaksikan persembahan saya secara langsung boleh terus mendapatkan album pertama itu secara eksklusif tanpa perlu menunggu ia dipasarkan di kedai-kedai muzik," katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post