Mostafa Atef kembang sayap di Malaysia


MOSTAFA kini bernaung bawah syarikat Arteffect milik Hafiz Hamidun dalam mengembangkan karier muzik di Malaysia.

SABAN hari, lagu-lagu nasyid kontemporari yang disulami dengan alunan zikir dan qasidah semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik di negara ini.

Seiring kehendak khalayak dan perkembangan muzik yang dekat dengan budaya hidup masyarakat Islam di Malaysia, penyanyi nasyid muda dari Mesir, Mostafa Atef hadir bagi merancakkan lagi seni nasyid kontemporari di negara ini.

Bertemu dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini, Mostafa, 25, mudah selesa dengan persekitaran selain tidak kekok beraksi di hadapan lensa kamera.

Bakat pemuda dari Kaherah itu telah dihidu oleh penyanyi terkenal Hafiz Hamidun sementelah dia telah pun menempa nama di negara sendiri.

Di Kaherah, Mostafa menjadi terkenal kerana penyertaannya dalam sebuah rancangan dialog Islam-Kristian, A Common Word Between Us and You, selain turut menjadi salah seorang panel dalam sebuah program berjudul Ibrahim Abdel Gawad yang disiarkan menerusi saluran Egypt MBC.

Meskipun terkenal dengan bidang dakwah yang disertainya, Mostafa sebenarnya masih bergelar pelajar di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab.



"Cara pengajian di Universiti Al-Azhar berbeza dengan corak pengajian di Malaysia. Di sana, kami diberi kelonggaran khas untuk terlibat dengan aktiviti dakwah. Ia seperti menggantikan silibus di dalam kelas dengan aktiviti luar yang menjadi pilihan pelajar.

"Sebab itu, saya tiada masalah membahagikan tugas antara pelajaran dengan bidang dakwah kerana dalam masa yang sama, ini merupakan cara kami belajar dan menimba ilmu," ujar Mostafa yang pernah merakamkan bacaan Al-Quran dengan sebuah syarikat rakaman naungan kerajaan Mesir, Shoutul Kaherah pada usia lapan tahun.

Kemerduan suara dan alunan zikir yang indah daripada Mostafa menunjukkan bukan calang-calang penyanyi. Bakat miliknya tidak harus dipersiakan. Apatah lagi, pada usia seawal 12 tahun, dia pernah menjadi imam di beberapa buah masjid terbesar di Mesir antaranya Masjid An-Nur dan Masjid Rahman Ar-Rahim.

"Nyanyian bukan sekadar nyanyian. Apa yang saya ceburi pada hari ini bagaikan sudah menjadi darah daging buat saya. Berdakwah dengan cara mendendangkan zikir sememangnya menjadi cara terbaik bagi mengajak masyarakat mendekati ilmu agama.

"Menerusi nyanyian zikir dan qasidah, saya mahu kongsikan ilmu kepada masyarakat di seluruh dunia tentang kehebatan agama Islam," katanya yang kini bernaung sebagai artis rakaman Arteffects International milik Hafiz Hamidun.

Mostafa bakal muncul dengan album sulung pada bulan Mei hadapan. Album yang diberi nama Qamarun itu mengandungi 10 buah lagu yang kebanyakannya diisi dengan lagu qasidah, nasyid dan kerohanian. Tidak terkecuali, album tersebut turut menampilkan sebuah lagu duet Mostafa bersama dengan Hafiz Hamidun.

"Kesemua lagu tersebut telah siap dirakamkan di Mesir. Sekarang hanya menunggu masa untuk disunting dan dibawa masuk ke negara ini sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

"Istimewanya, selain menepati cita rasa dan peredaran semasa, album tersebut sebenarnya lengkap dengan kepelbagaian adunan muzik. Ia menggabungkan muzik dari Timur Tengah dan sufi selain pelbagai lagi irama nasyid kontemporari.

"Pihak Arteffects merancang untuk mengadakan jelajah bagi mempromosi album ini ke seluruh dunia. Sasaran kami memang untuk seluruh dunia kerana Islam ada di mana-mana. Insya-Allah kami akan memulakan penjelajahan itu bermula dengan Indonesia, Singapura, Brunei dan lain-lain," jelasnya.

Sebelum album pertamanya dilancarkan di negara ini, pihak Arteffects telah mengambil inisiatif dengan melancarkan sebuah album berjudul Soul of Islamic Music yang mengandungi kombinasi lagu nasyid kontemporari daripada beberapa penyanyi terkenal antaranya Hafiz Hamidun, Datuk Siti Nurhaliza, Sami Yusuf, Rabbani dan Raihan.

Album kombinasi tersebut merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan single pertama daripada Mostafa berjudul Qamarun yang sarat dengan alunan qasidah.

Bercerita tentang pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke Malaysia, Mostafa telah pun berada di negara ini sejak 13 Februari lalu bagi mengadakan jelajah bertemu media tempatan di sekitar ibu kota.

"Saya sangat sukakan Malaysia. Persekitaran yang cantik, bersih, aman, makmur dan negara Islam yang maju. Penduduknya yang ramah-tamah sangat menarik perhatian saya. Walaupun baru kali ini sampai kes sini, sebenarnya sudah lama saya mengenali negara bernama Malaysia," beritahu Mostafa.

Tambahnya lagi, persamaan agama masyarakat di Malaysia dan Mesir juga memudahkan usahanya berkongsi misi, visi dan idea dalam menyampaikan dakwah dan muzik.

"Saya cuba membawa sesuatu yang sangat dekat dan relevan dengan masyarakat di ini.

"Cabaran untuk saya menembusi pasaran Malaysia tidaklah sukar melainkan beberapa perkara yang menjadi kekangan antaranya bahasa dan penerimaan orang ramai terhadap pendatang baharu seperti saya," ujar Mostafa dalam bahasa Arab sambil diterjemahkan oleh seorang rakannya dalam bahasa Inggeris.

Previous Post Next Post