Nabila Huda nafi mahu fokus urus persiapan kahwin


NABILA HUDA bakal terbabit dalam filem terbaharu arahan Syamsul Yusof berjudul Munafik.

LONJAKAN karier aktres Nabila Huda begitu menyerlah saban tahun. Ada sahaja titipan naskhah berkesan yang dilakonkannya sehingga pelakon berusia 31 tahun itu pernah dilabel sebagai Ratu Drama Melayu.

Namun, pada saat namanya berada di puncak, anak perempuan sulung penyanyi rock terkenal tanah air Amy Search itu harus mengambil keputusan penting. Dia memperlahankan karier seninya pada tahun ini demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap anaknya, Keisha Laila, yang berusia lima tahun.

Kedengaran drastik namun niat itu menyerlahkan sifat keibuan yang ada dalam diri Nabila. Dia mahu menguruskan segala persiapan anak tanpa bantuan pembantu rumah.

Pada masa yang sama, wanita yang bergelar ibu tunggal sejak empat tahun lalu itu juga menolak dakwaan, bahawa keputusan itu dibuat kerana mahu fokus kepada persiapan perkahwinan dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Bert.

Ikuti temu bual Kosmo! yang bertemu pelakon drama Ariana Rose itu pada majlis pelancaran filem terbaharu arahan Syamsul Yusof berjudul Munafik di Restoran Haslam, Jalan Pahang baru-baru ini.



Artis Meletop!: Mengapa Nabila mengambil keputusan untuk memperlahankan perjalanan karier anda bagi tahun ini?

NABILA: Sejujurnya, saya ambil keputusan berkenaan kerana mahu menguruskan anak, Keisha Laila. Sejak pembantu rumah saya sudah berhenti kerja baru-baru ini, tiada siapa yang boleh menjaga Keisha dan menguruskan makan pakainya

Tambahan pula, Keisha sudah mula bersekolah tadika.Menjadi tanggungjawab saya untuk menguruskan dan menghantarnya ke sekolah setiap hari. Sebab itu saya ambil keputusan perlahankan kerjaya seni sebab mahu fokus kepada anak.

Adakah memperlahankan kerjaya itu bermakna anda berhenti menerima mana-mana tawaran berlakon?

Tidak. Saya masih berlakon tetapi hanya tertumpu kepada telemovie kerana ia tidak memerlukan saya menghabiskan masa yang agak lama di lokasi penggambaran.

Jadual lakonan telemovie agak longgar dan saya boleh mengatur masa dengan baik untuk menguruskan anak ke sekolah.

Sekarang, saya hanya bersetuju dengan sebuah tawaran iaitu berlakon filem Munafik arahan Syamsul Yusof. Sebenarnya, sudah lama saya tidak bekerja dengan Syamsul. Jadi apa salahnya saya ambil tawaran itu memandangkan ia juga sebuah karya yang unik.

Tambahan pula, penggambaran dibuat di sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik, Pahang sahaja. Faktor lokasi itu memudahkan saya berulang-alik ke rumah menjenguk anak.

Selain kerana anak, ada pihak mendakwa anda mengambil keputusan memperlahankan kerja lakonan kerana ingin fokus kepada persiapan perkahwinan. Komen?

(Ketawa) Bukan. Sekarang belum masanya untuk saya berkahwin. Mana awak semua dapat cerita ini?

Perkara ini (perlahankan kerjaya seni) langsung tiada kaitan dengan soal perkahwinan. Saya cuma mahu fokus kepada urusan penjagaan anak, itu sahaja. Kalau bukan saya yang menguruskan dia, siapa lagi. Tidak salah rasanya perlahankan kerja demi masa berharga untuk anak sendiri.

Jika betul saya bakal berkahwin, saya akan umumkan kepada semua, tetapi bukan sekarang. Sekarang saya mahu relaks buat seketika.

Tidakkah anda risau memikirkan punca pendapatan jika kurang berlakon?

Soal wang atau pendapatan tidak menjadi masalah kepada saya kerana keluarga lebih penting. Saya bukan jenis manusia yang mementingkan kerjaya berbanding keluarga sebab itu saya tidak kisah soal duit saat mengambil keputusan untuk perlahankan aktiviti lakonan.

Namun, ini tidak bermaksud saya mengaku sudah kaya, tetapi sebagai manusia saya harus percaya kepada rezeki. Alhamdulillah, sumber kewangan saya masih stabil.

Beralih kepada lakonan anda dalam filem Munafik, boleh ceritakan serba sedikit mengenai cerita dan watak dalam filem tersebut?

Dalam filem itu saya memegang watak sebagai Maria, seorang gadis berasal daripada keluarga berada. Maria seorang wanita yang menghidap penyakit mental namun pada masa yang sama, dia sering diganggu jin dan terkena rasukan. Demi mengubati penyakitnya, ibu bapa Maria meminta pertolongan seorang ustaz lakonan Syamsul sendiri yang arif mengenai ilmu perubatan Islam. Konflik tercetus apabila Maria dan ustaz berkenaan menyimpan sebuah rahsia.

Membaca skripnya sahaja, saya sudah dapat agak bahawa naskhah terbaharu Syamsul itu ada keunikan yang tersendiri. Kali terakhir saya bekerja dengan Syamsul ialah empat tahun lalu menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Previous Post Next Post