Bicara populariti Ungku Ismail



TIGA bulan selepas drama bersiri Teman Lelaki Upahan melabuhkan tirai, nama tonggak utamanya, Ungku Ismail Aziz masih segar meniti di bibir peminat.

Impak yang dicetuskan oleh Ungku Ismail dan pasangan heroinnya, Elizad Sharifuddin menerusi watak El dan Kyra masih belum menunjukkan tanda akan reda.

Justeru, tidak hairan jika ada antara penggemar jejaka berusia 30 tahun itu mengambil inisiatif menubuhkan kelab peminat sebagai tanda sokongan mereka terhadap karier lakonannya yang kini sedang berkembang mekar.

“Sebenarnya, saya tidak gemar terlibat dengan penubuhan kelab peminat. Lagipun, populariti bukanlah fokus utama saya.

“Bagaimanapun, saya sedar, para peminat merupakan individu yang selama ini banyak menyokong karier dan perjalanan seni saya.

“Tanpa mereka, mungkin drama Teman Lelaki Upahan tidak mendapat sambutan seperti yang berlaku sekarang,” ujar Ungku Ismail sewaktu ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Ezuan Ismail di Blackbox, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambah lelaki itu, sokongan daripada Ungku Ismail Natics Fan Club yang ditubuhkan sejak 1 Mac lalu telah banyak mengubah persepsinya terhadap dunia hiburan tanah air.

“Pada mulanya, saya agak gusar jika mereka terpaksa mengabaikan kebajikan masing-masing untuk menyokong saya.

“Namun, apabila berpeluang berjumpa dengan peminat sehingga ke Singapura dan Brunei, baru saya faham betapa besarnya sokongan mereka terhadap saya,” ujarnya.

Menyambung bicara mengenai kepentingan nilai populariti sebagai seorang artis, pemilik nama lengkap Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz itu berkata, penglibatannya dalam dunia seni bukan sekadar mahu memburu penggemar semata-mata.

Tuturnya, pemahaman sebagai pelakon itu lebih penting, terutamanya dalam menzahirkan keupayaan lakonan di hadapan kamera.

“Saya mahu orang nampak saya sebagai seorang pelakon yang mampu melakonkan setiap watak dengan baik.


SELESA dan bergaya. Ungku Ismail memilih untuk bekerjasama dengan pereka Ezuwan Ismail kerana kualiti yang ada pada setiap helaian jubah rekaannya.

“Pada pendapat saya, pelakon yang baik mampu menggalas watak secara semula jadi, tanpa rasa janggal mahupun kurang selesa,” ujarnya yang sangat mementingkan kualiti dalam setiap karya-karyanya.

Travel Beruang

Melihat pada sosok tubuhnya yang agak kurus, Ungku Ismail mengakui terpaksa menurunkan berat badan semata-mata mengikut saranan pengarah drama Teman Lelaki Upahan, Azma Aizaal Yusoof.

“Sebelum ini, berat badan saya pernah mencecah sehingga hampir 100 kilogram. Jadi, bagi menyesuaikan watak, Azma meminta saya untuk menurunkan berat badan lima bulan sebelum penggambaran Teman Lelaki Upahan.

“Selama dua bulan mengamalkan gaya hidup sihat, saya berjaya mengurangkan berat sebanyak 20 kilogram. Kini saya selesa dengan berat 72 kilogram,” katanya.

Ditanya mengenai kesanggupannya mengubah bentuk fizikal demi sesebuah naskhah, Ungku Ismail memberitahu, dia merupakan seorang pelakon yang mementingkan sumbangan berbanding penglibatan secara kosong dalam sesebuah karya.

“Saya sangat serius dalam mencorakkan kerjaya sebagai seorang anak seni. Agak bosan jika kita buat perkara yang sama berulang kali. Sebab itu saya ambil keputusan untuk berubah demi watak tersebut.

“Sebagai contoh yang lain, saya kini sedang aktif berkempen untuk meraih kesedaran umum dalam membantu pesakit kanser menerusi telefilem Travel Beruang yang bakal memulakan penggambaran pada 21 Jun ini,” kongsinya yang bakal memegang watak utama dalam telefilem tersebut.

Ungku Ismail menjelaskan, selain membantu mempromosikan telefilem Travel Beruang, kempen yang mula dijalankan sejak beberapa bulan lalu turut menyedarkannya tentang keperitan pesakit kanser terutamanya golongan kanak-kanak.

“Semuanya bermula ketika saya menerima tawaran untuk berlakon dalam telefilem ini. Saya mahu tahu bagaimana perasaan seorang bapa yang anaknya menghidap penyakit kanser.

“Jadi, selepas menonton rancangan Bersamamu, saya dapat mengesan seorang kanak-kanak di Kelantan yang menderita penyakit kanser darah. Kanak-kanak itu bernama Nur Hasmime Abdul Hamid (Mime) dan saya menghabiskan masa dengannya.

“Sejak pertemuan pertama, saya kemudian sering bertemu dengannya dan cuba untuk menjiwai watak sebelum memulakan proses penggambaran kelak,” katanya.


JEJAKA ini mengakui, tanpa sokongan kuat peminat, mungkin kariernya sebagai pelakon masih berada pada takuk lama.

Menariknya, inisiatif Ungku Ismail yang diwar-warkan menerusi akaun Instagram peribadinya, @ungkuismailaziz itu ternyata membuka pintu baharu dari sekadar mahu mencari pengalaman menjiwai watak dalam lakonan, kepada duta kempen Travelling Beruang.

Ia sekali gus akan menyaksikan pelakon itu terbang bersama patung beruang dalam kempen tersebut ke beberapa destinasi seperti Kempen Travelling Beruang Perth, Australia, Lombok, Indonesia dan Siam Reap (Kemboja).

Kempen tersebut bertujuan memberi kesedaran mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak dan secara tidak langsung mengutip dana untuk pesakit.

Jubah Ezuwan Ismail

Sementara itu, sewaktu berbicara mengenai pelantikannya sebagai wajah koleksi hari raya Ezuwan Ismail, pemegang ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Strathclyde, Glasgow, Scotland, United Kingdom itu tidak henti-henti melahirkan rasa gembira dengan kolaborasi pertamanya bersama pereka fesyen itu.

Ujar Ungku Ismail, bukan mudah untuknya menerima tawaran bergelar duta, melainkan dia sendiri tahu dan memahami fungsi serta kelebihan produk yang bakal diwakilinya.

“Saya menerima tawaran tersebut kerana gemar menggayakan busana jenis jubah.

“Sepanjang mengenakan jubah rekaan Ezuwan, saya juga berasa sangat selesa dan mudah untuk melakukan pergerakan sewaktu sedang solat.

“Disebabkan itu, saya tidak teragak-agak untuk menjalinkan kerjasama dengannya,” katanya yang mula berkenalan dengan Ezuwan sewaktu menjalani penggambaran drama di butiknya beberapa bulan lalu.

Menceritakan pengalaman menjayakan sesi fotografi koleksi berkenaan di Mesir bulan lalu, Ungku Ismail sempat berkongsi kisah cemas nyaris dipenjarakan oleh pihak polis negara itu.

“Kami dibenarkan untuk menjalankan fotografi di beberapa kawasan di Mesir. Namun, entah kenapa, kami didatangi oleh pihak polis secara tiba-tiba.

“Kami diberitahu telah melanggar peraturan dan diminta untuk berhenti mengadakan sesi fotografi dengan serta merta. Jika tidak, kami akan disumbat ke dalam penjara.

“Bagaimanapun, kami berjaya menyelesaikan salah faham itu dengan cara baik dan meneruskan sesi fotografi tanpa sebarang gangguan,” kongsinya.

Walaupun mengalami detik-detik yang agak mencemaskan, Ungku Ismail dan kru Ezuan Ismail berjaya menyelesaikan sesi fotografi berkenaan selama empat hari berada di sana.

Previous Post Next Post