Hasrat Hati Nadeera


NADEERA kini bergelar penyanyi rakaman setelah dua kali menyertai pertandingan bakat nyanyian iaitu Vokal Bukan Sekadar Rupa dan Mentor Legend.

BIARPUN tidak sempat melangkah ke final dalam pertandingan realiti televisyen, Mentor Legend, wanita muda bertubuh genit, Nadeera, 22, membuktikan dirinya masih bernafas di tengah-tengah kebanjiran penyanyi baharu tanah air apabila berjaya menzahirkan single pertama berjudul Hasrat Hati.

Berbekalkan vokal lantang, Nadeera yang berasal dari Mersing, Johor mengakui, mentornya, Zainal Abidin merupakan tulang belakang kepada pencapaian yang dikecapi sejak hari pertama menyertai pertandingan Mentor Legend.

Sering berdepan kegagalan, Nadeera yang pernah bergelar bekas peserta semi final rancangan realiti televisyen, Vokal Bukan Sekadar Rupa itu yakin, setiap kesungguhan pasti akan mendatangkan hasil.

Justeru, tanpa menoleh ke belakang, Nadeera terus mengorak langkah untuk mencapai impiannya sebagai penyanyi profesional tanah air.


“Saya rasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk mengenali abang Zainal dan bekerjasama dengannya. Bagi saya, beliau bukan sahaja mentor, bahkan umpama bapa kepada saya.

“Terus terang dikatakan, tujuan saya berada dalam industri hanya untuk berkongsi bakat, bukan untuk mengejar populariti. Saya ingin buktikan kepada orang ramai, walaupun telah gagal banyak kali dalam usaha untuk menjadi penyanyi, saya tetap akan teruskan perjalanan ini,” katanya penuh emosi usai melancarkan single terbaharunya, Hasrat Hati di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dicipta oleh komposer muda, Amirah Ali, manakala lirik ditulis Sulu Sarawak, Hasrat Hati merupakan sebuah lagu yang berkisarkan impian dan perjuangan si penyanyinya sendiri dalam menggapai cita-citanya menjadi anak seni.


NADEERA bertuah kerana karier nyanyiannya mendapat sokongan daripada mentornya, penyanyi Zainal Abidin.

“Sudah lama saya mengimpikan untuk mempunyai lagu sendiri. Kini, mimpi itu sudah menjadi satu kenyataan.

“Saya berharap lagu ini akan menjadi satu titik mula buat saya meneruskan perjuangan,” ujarnya.

Memilih lagu yang tidak bertemakan cinta atau keluh resah akibat ditinggalkan kekasih, bagi Nadeera, pilihan itu datang daripada kemahuannya sendiri.

“Saya tidak mahu memulakan perjalanan seni dengan menyanyikan lagu-lagu cinta yang sudah banyak dilakukan oleh penyanyi baharu lain. Saya juga berbesar hati kerana proses mastering lagu ini dilakukan di Amerika Syarikat,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman milik mentornya, Afrozapin Network Sdn. Bhd.

Nadeera berharap penglibatannya dalam bidang seni suara dapat diterima dengan baik oleh peminat muzik di negara ini.

Selain single, Nadeera turut meluahkan keinginannya untuk mengeluarkan sebuah album. Tidak hanya impian, proses penerbitan album sulungnya kini sudah berjalan.

“Untuk album pertama, ia masih lagi menjalani proses rakaman. Album itu dijangka siap dan dapat dilancarkan selepas sambutan hari raya atau penghujung tahun nanti.

“Ia mengandungi lima lagu. Untuk buah tangan pertama, saya selesa membawakan lagu-lagu bergenre balada dan world music,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, beliau sangat berbangga dengan bakat dan kesungguhan anak didiknya itu.

“Saya berharap Nadeera dapat diterima baik dalam industri kerana dia mempunyai vokal yang sangat unik dan merdu.

“Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya kepada Nadeera sehingga dia berjaya berdiri sebaris dengan penyanyi-penyanyi wanita terbaik tanah air,” katanya.

Previous Post Next Post