Anak alasan cerai Megan Fox



Tempoh 11 tahun perkenalan bukan jaminan kebahagiaan dan hubungan perkahwinan yang berkekalan. Itulah yang berlaku kepada aktres seksi, Megan Fox apabila bercerai dengan pasangannya, Brian Austin Green, 42, pada hujung minggu lalu. Mereka akhirnya berpisah selepas lima tahun berkahwin.

Biarpun baru berpisah secara rasmi, sumber dekat pasangan itu memberitahu, sebenarnya kedua-dua selebriti tersebut telah mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing sejak enam bulan lalu. Kali terakhir aksi mereka keluar berdua-duaan juga hanya dirakam pada Jun lalu.


Pasangan yang memiliki dua orang anak iaitu Noah, 2, dan Bodhi, 18 bulan itu mula menjalinkan hubungan sewaktu Fox berusia 18 tahun. Sebelum ini, Green pernah mengajak Fox berkahwin sewaktu usianya 23 tahun. Ketika itu, pelakon filem Transformer itu pernah menolak lamaran Green dengan alasan bahawa berkahwin pada usia 23 tahun adalah mengarut.

Namun, selang 24 hari selepas berpisah, Green melamar semula Fox dan mereka berkahwin pada Jun 2010 dalam sebuah majlis penuh romantik di Hawaii.

Menurut sumber, Fox, 29, membuat keputusan untuk bercerai selepas Green meluahkan hasrat untuk menambah bilangan anak.

Previous Post Next Post