
MEMPUNYAI komitmen terhadap keluarga dan pekerjaan lain, Kool dan A To Z tetap bersemangat untuk memeriahkan industri muzik tempatan.
SEKIAN lama tidak muncul dengan perkhabaran baharu, dua buah kumpulan pernah melalui zaman gemilang dalam industri muzik tempatan iaitu Kool dan A to Z kini kembali.
Biarpun zaman silih berganti, namun dua kumpulan berkenaan tetap bersemangat dalam usaha untuk melunaskan karya mereka sebagai anak seni.
Kool kini dianggotai oleh Hairie dan Riot, manakala A To Z pula masih teguh ditunjangi Jeff serta Chap.
Menariknya, usia semakin mencemburui, Kool dan A To Z terus mengorak langkah dengan melakukan gabungan unik demi penghasilan sebuah single terbaharu berjudul Tiada Lagi.
Berkesempatan bertemu dengan dua kumpulan yang mencipta nama pada era 1990-an itu pada sidang akhbar Siri Jelajah Best FM di ibu negara, ternyata banyak perancangan sedang menerjah jadual dua kumpulan yang masih bersemangat memeriahkan industri muzik.
Biarpun banyak agenda mereka sebelum ini tidak berjaya mendapat perhatian ramai, namun salah seorang anggota kumpulan Kool, Riot mengakui, dia dan rakan-rakannya yang lain tidak pernah berputus asa.
"Selain saya dan Hairie, ada ahli kumpulan Kool yang lain tidak keluar daripada kumpulan. Mereka cuma ada perkara lain yang diusahakan. Anggota kami yang bernama Zack misalnya, kini merupakan Timbalan Presiden Seniman.
"Saya akui, zaman sudah berubah dan peminat kami pada zaman dahulu mungkin sudah berubah status, ada yang sudah berkeluarga dan sebagainya. Namun Alhamdulillah, kami masih mendapat undangan melakukan persembahan pentas dan majlis korporat.
"Walaupun usia semakin meningkat tetapi semangat untuk berkarya tetap membara," ujarnya.
Tambah Riot lagi, walaupun masing-masing sudah terikat dengan komitmen keluarga dan urusan lain, menghidupkan semangat boyband yang dahulunya menjadi fenomena tetap menjadi salah satu keutamaan mereka.
Dalam pada itu, Jeff (A To Z) pula memberitahu, gabungan dengan kumpulan Kool telah lama berlaku dan mereka juga telah menghasilkan sebuah album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu hit kedua-dua kumpulan termasuk dua lagu baharu iaitu Tiada Lagi dan Keranamu Kasih (lagu lama yang diberi nafas baharu).
"Kool dan A To Z sangat rapat. Kami selalu lepak semeja, berborak dan berkongsi cerita tentang hidup, muzik dan macam-macam perkara.
"Ketika dalam proses menghasilkan album kompilasi tersebut, kami mendapat ilham untuk bergabung dalam satu lagu berjudul Tiada Lagi dan ia pun terjadi," kata Jeff yang kini turut menjalankan perniagaan sendiri.
Ditanya soal keseriusan gabungan Kool dan A To Z pada masa hadapan, Jeff merasakan kerjasama berkenaan mampu berkekalan, namun bergantung kepada keadaan.
Katanya, gabungan antara Kool dan A To Z membuahkan satu idea yang tidak pernah dibuat di Malaysia.
"Gabungan ini merupakan sesuatu yang unik dan ia tidak pernah dilakukan mana-mana pemuzik boyband di Malaysia.
"Jika perkara ini membawa kepada kebaikan dan peminat juga menyukainya, tiada salahnya kami teruskan," bicaranya penuh optimis.
Dalam perkembangan lain, Kool dan A To Z akan turun padang bersama-sama artis popular yang bernaung bawah Sony Music seperti Aliff Aziz, Amy Mastura, Alyah dan ramai lagi dalam Siri Jelajah Best FM ke lapan buah lokasi berbeza di Johor, Melaka dan Shah Alam bermula 22 Ogos lalu hingga 12 September depan.