Haiza Dangdut umpama nyawa saya


BIARPUN kini sibuk sebagai penyampai radio, Haiza masih menerima undangan persembahan nyanyian pada hujung minggu.

“APABILA saya memperkenalkan diri sebagai Haiza kepada peminat, mereka pasti mengerutkan dahi, namun jika menyebut Haiza Dag Dig Dug, mereka pantas mengenali saya sebagai penghibur dangdut,” kata pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin.

Mula membabitkan diri dalam arena muzik pada tahun 1995, Haiza boleh dikatogerikan antara penyanyi yang setia memperjuangkan muzik dangdut di negara ini.

Walaupun pernah menceburi pelbagai bidang seni antaranya pengacaraan, lakonan dan kini bergelar penyampai radio, Haiza memberitahu, jauh di lubuk hatinya, dangdut umpama nyawa yang membuatkan dia bertahan lebih 20 tahun dalam industri seni tempatan.

Begitu juga lagu Dag Dig Dug yang setelah dua abad menemani Haiza setiap kali dalam acara pentas. Bagi penyanyi berasal dari Benut, Pontian, Johor itu, lagu tersebut merupakan talian hayatnya dalam industri.

“Saya bersyukur sehingga kini peminat masih mengenali saya kerana adanya lagu Dag Dig Dug. Lagu ini merupakan lagu pertama dan batu loncatan saya ketika menjadi sebahagian daripada industri dangdut di Malaysia.

“Apatah lagi, sehingga kini Dag Dig Dug antara lagu yang masih diputarkan dalam radio dan menjadi kegemaran peminat. Sudah tentu saya amat bersyukur,” katanya ketika ditemui dalam sesi penggambaran di pejabat Kosmo! Johor di Johor Bahru baru-baru ini.


Sepanjang pembabitannya, pemilik suara serak-serak basah itu pernah menghasilkan lapan album dengan tiga daripadanya album projek khas. Ibu kepada seorang cahaya mata itu memiliki hampir 50 buah lagu.

Begitu pun, setiap lagu tersebut tidak mampu menandingi aura Dag Dig Dug sehinggalah pada tahun lalu Haiza tampil dengan lagu bertajuk Kerana yang menggabungkan muzik moden dan dangdut.

Ketika diminta mengulas mengenai popularitinya yang bersandarkan sebuah lagu sahaja, Haiza menganggap fenomena itu tidak terjadi kepada semua artis.

“Semua penyanyi pasti mengimpikan saat mempunyai sebuah lagu dengan jangka hayat yang panjang. Dag Dig Dug adalah nyawa saya dalam industri ini,” katanya lagi.

Melihat kepada pasaran muzik tempatan, dangdut dilihat sebagai hiliran muzik yang tidak mendapat perhatian masyarakat masa kini, selain tidak mendapat tempat dalam persembahan bersaiz besar.

Sungguhpun begitu, Haiza menjelaskan, muzik dangdut mempunyai pasaran dan peminat tersendiri. Dia sendiri sering menerima undangan persembahan terutama pada hujung minggu sama ada dalam majlis tertutup atau makan malam.

“Pasaran industri dangdut sangat luas kerana kita tidak mempunyai pesaing. Di Malaysia, kita boleh bilang berapa ramai penyanyi dangdut yang masih aktif. Jumlahnya sangat sedikit. Kami juga mempunyai kelompok peminat tersendiri,” ujarnya.

Terbabit aktif sejak tiga tahun lalu sebagai penyampai radio, Haiza mengakui, bekerja dalam konti menuntut disiplin yang tinggi terutama ketepatan masa, kreatif dan penjanaan idea.

“Saya bersama dengan Best FM mengendalikan segmen Best Pagi bermula pada pukul 6 hingga 10 pagi. Ia adalah waktu puncak dalam bersiaran. Saya perlu bangun seawal pukul 4.30 pagi dan perlu tiba di konti pada pukul 5.30 pagi.

“Cabaran utama sepanjang bersiaran adalah memastikan pendengar tidak bosan. Saya suka bercakap dan berceloteh. Mungkin penyampai radio antara bidang yang saya jatuh hati selepas ini,” selorohnya.

Setelah kejayaan lagu Kerana koloberasi bersama dengan komposer Damien sehingga dicalonkan ke peringkat akhir Anugerah Industri Muzik, Haiza bakal tampil dengan lagu baharu sebelum awal tahun ini.

Masih mengekalkan gabungan muzik hip hop dan dangdut, Haiza berharap lagu itu diterima dalam kalangan peminat.

Previous Post Next Post