Yana Samsudin: Rezeki selepas berhijab



AKTRES Yana Samsudin mengakui bidang pengacaraan membawa satu kelainan dalam kerjaya seninya.

Ini kerana, bidang itu memerlukan pelakon Wawa Semput ini melakukan persiapan dengan membuat rujukan serta mencari maklumat tambahan.

"Jika dilihat ramai pengacara sekarang juga daripada latar belakang berlainan.

"Jadi, saya juga ingin menceburi bidang lain bagi memperluaskan pengalaman. Kini, saya seronok mengacara. Sudah selesa berbanding sebelum ini yang agak takut-takut. Lagipun, bidang pengacaraan memerlukan masa yang pendek," katanya.


Sekalipun selesa menjadi pengacara, namun isteri Fadzil Zahari ini tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan bidang lakonan.

Luah pengacara program Qu Puteh Bintang Bersama Bintang dan Galaksi ini, biarlah kedua-dua bidang itu berlangsung seiring dan sejalan.

"Tapi itu bukanlah bermakna, saya tinggalkan terus bidang lakonan. Saya masih lagi terima tawaran berlakon cuma tidak ada masa yang bersesuaian. Apabila sudah berhijab, saya perlu memilih karakter yang bersesuaian.

"Tapi, Alhamdulillah, ALLAH SWT meluaskan lagi pintu rezeki saya dalam pelbagai bidang yang lain seperti pengacaraan dan perniagaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yana baru saja mengeluarkan jenama tudungnya sendiri, Ayana by Yana Samsudin.

Selain itu, dia juga bakal melancarkan jenama pakaiannya sendiri tidak lama lagi.

Previous Post Next Post