Penyanyi Fynn Jamal memberitahu dia merakam pergerakan anak angkatnya, Bakti Arjuna Fitri Abdullah, (3 tahun), setiap hari sebagai dokumentari perjalanan pembesaran kanak-kanak tersebut.
Fynn atau nama sebenarnya Nur Affina Yanti Jamalludin, 32, berkata, perkara tersebut dilakukan bagi memantau perkembangan kanak-kanak yang disahkan mengalami autisme itu.
"Orang macam saya tidak boleh ada anak, jadi bila dapat anak ini saya rasa terlalu teruja sebab itu saya rakam pergerakan dia setiap masa menggunakan telefon.
"Saya sentiasa bersama telefon di tangan untuk rakam setiap apa yang dilakukan sehinggakan kalau dia hembus hingus pun saya akan rakam," ujarnya kepada mStar Online.
Fynn berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk makanan tambahan kanka-kanak Caliph, di Felinna Butik, dekat sini, baru-baru ini.
Fynn bersama anaknya Arjuna dan suaminya Hazrilfitri.
Sementara itu, Fynn berkata, dia menerima tawaran menjadi duta kepada produk makanan tambahan kanak-kanak itu setelah melihat perkembangan positif Arjuna selepas seminggu mengamalkannya.
"Saya reda apabila doktor mengesahkan Arjuna menghidap autisme yang non verbal iaitu tidak boleh bercakap, namun selepas seminggu saya ambil produk ini dia menunjukkan perkembangan yang sangat baik.
"Melalui rakaman-rakaman yang saya buat sepanjang beberapa hari ini dia sudah boleh keluarkan suara untuk menyanyi bagi mengajuk lagu-lagu kartun ketika menonton televisyen," ujarnya.
Jelas Fynn, sebagai ibu, pengalaman pertama mendengar suara kanak-kanak itu menyanyi membuatkan hatinya tersentuh dan menangis.
Dalam pada itu, Fynn berkata, dia tidak pernah meninggalkan kanak-kanak tersebut dengan mana-mana pengasuh biarpun mempunyai urusan berkaitan kerja.
"Saya tidak terfikir untuk ambil pengasuh kerana kemana sahaja saya pergi akan bawa dia sekali. Saya ibaratkan dia seperti emas permata yang perlu dibawa bersama.
"Orang lain mungkin senang nak ada anak, saya ini kena mengemis untuk dapat anak, jadi saya ingin dia membesar depan mata," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fynn berkata, dia kini dalam promosi single terbaharu berjudul Suatu Pernah dan terlibat dengan konsert jelajah M.Nasir pada November depan di Kuantan, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Fynn telah mendirikan rumah tangga dengan Hazrilfitri Hadzir pada tahun 2008. Selepas empat tahun perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat sehingga membuatkan merekan mengambil anak angkat.