Isu senjata punca penyingkiran Amir Ukays?


Amir Ukays

KONSERT minggu kelima Gegar Vaganza musim kedua yang berlangsung Ahad lalu, menyaksikan perjuangan penyanyi Amir Ukays telah berakhir apabila mendapat markah paling rendah.

Menerusi tema “Hits Vaganza’, Amir menyampaikan lagu daripada kumpulan Wali Band berjudul Yank dengan baik dan persembahannya itu turut mendapat pujian dari juri tetap, Datuk Ramli MS.

Terpaksa akur dengan penyingkiran tersebut, Amir bagaimanapun masih menyimpan harapan agar dapat kembali beraksi di pentas Gegar Vaganza.

“Saya harap imuniti daripada Datuk Seri Vida (penaja rasmi) dapatlah saya berjuang kembali pada minggu seterusnya kerana saya boleh bawakan lagu lebih mencabar vokal saya.

“Namun saya tidak tahu proses untuk imuniti itu. Mungkin pengikut atau orang ramai dapat memberikan komen di laman sosial Instagram Datuk Seri agar saya boleh diserap semula.

“Sekiranya Datuk Seri menggunakan imuniti itu, Insya-ALLAH saya boleh kembali memberikan persembahan vokal lebih baik,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas konsert Gegar Vaganza Ahad lalu.


Mengulas lanjut, Amir berkata, lagu yang dibawakan pada Ahad lalu bukanlah lagu yang mencabar vokal sebenarnya.

“Penyingkiran saya seolah-olah tidak memaparkan vokal sebenar dari segi lagu. Saya lebih reda jika saya disingkirkan dengan pemilihan lagu yang saya rasa cukup menyerlahkan vokal sebenar saya.

“Tambahan lagu Yank yang saya nyanyikan malam ini (Ahad ) tidak paparkan vokal saya sebenar walaupun ia memang antara lagu pilihan.

“Lagu Yank itu menjadi pilihan saya kerana ia pernah berada di carta hits yang mempunyai ramai pengikut, namun vokalnya bukan yang terbaik bagi saya,” katanya.

Ditebak mengenai penyingkirannya mungkin disebabkan kes yang pernah dihadapinya berkaitan isu membawa senjata, Amir menafikan perkara itu.

“Saya rasa tak ada kena mengena dengan kes itu. Cumanya mungkin ramai peminat berasa kecewa dengan penyingkiran saya kerana saya nyanyikan lagu yang tidak mencabar vokal sebenar saya.

“Namun saya terima dengan hati terbuka keputusan juri itu walaupun pada awalnya saya merasakan peserta lain yang sepatutnya tersingkir,” katanya yang turut berkongsi peningkatan bilangan pengikutnya di Instagram iaitu daripada ratus pengikut kini mencecah 7,000 pengikut.

Siti Nordiana paling menyerlah

Konsert kelima ini juga menyaksikan, Siti Nordiana berada di tangga teratas dengan persembahan yang sangat memukau apabila membawakan lagu Datuk Siti Nurhaliza berjudul Nirmala.

Tidak kurang hebatnya dengan persembahan Haiza menerusi lagu Rela yang turut mendapat pujian juri jemputan, Datuk Jamal Abdillah,

Selain persembahan peserta, gimik penyingkiran hosnya, Nabil Ahmad dan Jihan Musa yang digantikan oleh Kak Engku dan Salih Yaakob, turut memberi kejutan kepada penonton.

Selepas penyingkiran Amir, tinggal lapan peserta akan berentap di konsert keenam bertemakan 'Kenangan Terindah' pada minggu hadapan.

Gegar Vaganza 2 dibawakan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad bermula 9 malam dan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD 9saluran 123).

Previous Post Next Post