Mal Imran syukur lagu barunya Cinta Sukar Ditafsirkan mendapat tempat di hati peminat.
Kegagalan menyertai program Mentor Legend tahun lalu tidak pernah membuatkan penyanyi baharu Mal Imran putus harapan untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang penyanyi profesional.
Mal atau nama sebenarnya Mohamad Akmal Imran, 24, berkata, dia turut bersyukur apabila mentornya, Ajai memberi peluang merakamkan lagu baharu berjudul Cinta Sukar Ditafsirkan.
"Selepas gagal menjadi finalis Mentor, Ajai berkata dia akan bantu saya untuk memulakan langkah dalam industri muzik tempatan.
"Alhamdulllah, tidak lama selepas itu, Ajai memberikan saya lagu Cinta Sukar Ditafsirkan dan saya terus membuat rakaman selepas membuat beberapa latihan," katanya kepada mStar Online.
Mal Imran
Mal merupakan protege Ajai bersama seorang lagi peserta Fahmi pada pertandingan Mentor Legend yang berlangsung pada tahun lalu menerusi TV3.
Bagaimanapaun anak kelahiran Kuching, Sarawak itu gagal menjadi finalis program tersebut selepas kalah dengan Fahmi pada sesi battle Mentor Legend.
Sementara itu, Mal yang kini dibawah naungan CQ Music Malaysia berkata, dia juga bersyukur lagu baharu yang diciptakan sepenuhnya oleh Ajai turut berada di carta-carta lagu popular untuk beberapa stesen radio.
Setakat ini, lagu Cinta Sukar Ditafsirkan telah mendapat sebanyak 103,636 jumlah tontonan di Youtube.
"Lagu Cinta Sukar Ditafsirkan telah di hantar kepada radio pada enam bulan lalu dan Alhamdulillah, ia terus mendapat di hati peminat.
"Saya pun tidak sangka lagu ini mendapat respons yang sangat baik. Apatah lagi walaupun belum ada klip video, lagu di Youtube turut ditonton ramai orang," ujarnya.