KEMBARANYA baru sahaja bermula. Berkelana di bumi asing atas sebab memberanikan diri cuba keluar dari zon selesa di negara sendiri ternyata memberi tuah buat penyanyi baharu, Sufi Rashid.
Sejak menggondol gelaran juara program realiti popular Akademi Fantasia 2015 (AF2015) pada 11 Oktober tahun lalu, dia mengakui kehidupannya tidak lagi sama. Biarpun sudah dikenali sebagai penyanyi di Singapura, ironinya kemenangan itu menambah erti apabila dia kini berjaya melengkapkan impian melebarkan sayap karier di bumi Malaysia.
Mengheret gelaran juara dan jenama AF sendiri sebenarnya memberi cabaran buat penyanyi berusia 25 tahun itu dalam mendepani hari mendatang. Katanya, menggalas tugas sebagai seorang juara memberi seribu satu kelainan lebih-lebih lagi dalam hidup, karier dan persekitarannya.
“Kalau dilihat dari segi pasaran dunia seni antara Singapura dan Malaysia, ia sangat berbeza. Sebab itu, selepas menang AF saya dapat rasakan kemenangan itu mempengaruhi hidup saya secara keseluruhan.
“Dahulu, saya fikir untuk menjadi seorang penyanyi di negara ini adalah sesuatu yang mustahil dan tidak akan pernah terjadi. Alhamdulillah impian saya dipermudahkan dengan begitu lancar,” ujar penyanyi kelahiran Singapura itu sewaktu ditemui dalam sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Berbekal kemenangan tersebut, single terbaharunya, Kisah Dua Muka menyusul dan kini hangat dimainkan di corong radio. Serentak dengan itu, Sufi sudah mempunyai perancangan rapi tentang hala tuju muzik dan kariernya pada tahun ini.
“Saya baru sahaja selesai berbincang dengan beberapa orang komposer untuk single baharu. Kalau tiada halangan, mungkin saya akan keluarkan single baharu tidak lama lagi. Kemudian Insya-Allah jika jalan saya dipermudahkan, pada pertengahan tahun ini akan keluar album pula,” ceritanya lanjut mengenai perkembangan terkini kariernya.
Biarpun mengakui dunia lakonan lebih susah berbanding nyanyian, Sufi tetap terbuka hati andai diberi ruang menceburi bidang itu suatu hari nanti.
Bukan sombong
Sejak masih lagi berada dalam akademi, namanya selalu dikaitkan dengan cerita tidak enak. Selain kisah kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan bekas bapa tiri, dia juga didakwa mempunyai sikap yang kurang mesra apabila jarang bergaul dan bersikap sombong dengan rakan peserta lain.
Dalam nada tenang, pemenang tempat kedua program SG Mania pada tahun 2013 itu menepis dakwaan dirinya bersikap begitu sebelum ini. Jelasnya, persepsi itu jauh berbeza daripada sikap sebenar dirinya yang gemar bergaul dengan orang ramai.
“Peribadi sebenar diri saya ialah suka bergaul dengan ramai orang termasuklah peminat di laman sosial, periang, berfikiran terbuka dan suka meluangkan masa dengan rakan-rakan.
“Saya pun tidak pasti kenapa tiba-tiba dilabelkan sebagai seorang yang sebegitu (sombong). Mungkin kerana berbeza negara, jadi saya mudah terdedah kepada perkara sebegitu biarpun sebenarnya tiada apa yang berbeza kerana kita berkongsi budaya dan bahasa yang sama,” jelas Sufi.
Mengharap sinar tahun baharu, pemenang Lagu Terbaik Singapura untuk lagu Tiada Pengganti menerusi Anugerah Planet Muzik 2014 (APM2014) itu mengimpikan perjalanan kariernya berkembang baik seiring dengan azamnya untuk menjadi seorang penghibur serba boleh.
“Sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang lain untuk karier dan hidup. Sama seperti orang lain, saya cuma mengharapkan sepanjang 2016 ini, karier saya sentiasa berada pada posisi cemerlang.
“Selain nyanyian, kalau ada rezeki dalam bidang lakonan untuk saya cuba, mengapa tidak. Sebab kedua-dua bidang itu tidak lari jauh dan masih berada dalam kelompok dunia seni yang sama,” ujarnya yang pernah membintangi sebuah drama di Singapura pada tahun 2014.
Hasil menabung wang simpanan sendiri selama dua tahun, Sufi berjaya membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diidamkannya sejak sekian lama.
Demi memastikan dirinya kekal sihat sepanjang tahun yang diramal sibuk, Sufi kini kembali berjinak-jinak dengan aktiviti senaman untuk mendapatkan tenaga berpanjangan setiap hari.
“Kebelakangan ini saya sudah biasakan diri bersenam di pusat gimnasium. Sebab saya sudah ada perancangan dalam karier dan ia memerlukan banyak tenaga. Jadi, bersenam adalah jawapan terbaik kerana dalam masa ia mampu mengekalkan kesihatan,” kongsinya.
Tidak kecewa
Menyingkap cerita pencapaiannya selain AF2015, peminat hiburan sedikit terkejut apabila nama Sufi tidak tercalon dalam sebarang kategori pencalonan awal Anugerah MeleTop Era 2016 biarpun dia pernah menjuarai program realiti yang cukup terkenal.
Situasi itu mengundang perasaan janggal apabila dua orang rakan seperjuangannya, Syamel dan Bila dilihat lebih cemerlang mendominasi beberapa kategori artis baharu dalam anugerah yang bakal berlangsung pada 28 Februari depan, biarpun mereka hanya bergelar pemenang tempat kedua dan ketiga.
Perkara itu lantas memperlihatkan kelebihan dan populariti jauh lebih terarah kepada Syamel dan Bila pada ketika ini.
Tidak berkecil hati, jauh sekali menyimpan iri, situasi itu disifatkan Sufi sebagai rezeki masing-masing. Biarpun tidak berjaya melayakkan diri dalam anugerah tersebut, dia tetap optimis untuk meneruskan perjuangan yang dianggap baru sahaja bermula.
“Saya pun pelik juga mengapa orang kata saya kecil hati dengan perkara itu, sedangkan saya okey. Rezeki semua orang sudah Allah tetapkan dan saya tumpang gembira dengan pencapaian Syamel dan Bila dalam anugerah tersebut.
“Sebagai rakan artis dan pernah sama-sama berada dalam akademi, saya sangat menyokong mereka. Setidak-tidaknya merekalah yang boleh kami banggakan kerana berjaya mewakili legasi peserta AF2015,” tuturnya bersungguh-sungguh.
Melihat semua perkara yang terjadi sebagai suatu permulaan, Sufi tetap optimis dengan perancangan Tuhan yang jauh lebih baik untuknya kelak. Setiap apa yang berlaku, pasti ada sebab yang tersendiri. Perkara itulah yang membuatkan dia semakin teguh membina semangat untuk meneruskan langkah awalnya dalam dunia seni.
“Saya rasa ia (pencalonan dalam anugerah) terlalu awal buat masa sekarang. Mungkin rezeki saya pada tempat lain dan perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja lebih keras pada masa hadapan. Lain orang, lain rezeki dan untuk sampai ke tahap itu saya perlu melakukan lebih,” katanya.