Maya Karin menerima risikan daripada lelaki misteri.
Pelakon Maya Karin menerima risikan daripada lelaki tidak dikenali yang telah menemui ibunya di sini kira-kira seminggu lalu dengan membawa sebentuk cincin.
Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 37, berkata, semasa kejadian dia berada di luar negara tetapi pemuda itu sempat berurusan dengan ibunya yang berada di rumah di Sungai Pencala di sini.
“Saat diberitahu ibu ada lelaki datang memberi hadiah sebentuk cincin untuk melamar, bulu roma saya terus meremang.
"Yalah, saya sifatkan lelaki itu seorang yang pelik dan berani kerana terus berjumpa dengan ibu saya, namun saya langsung tidak mengenalinya,” kata Maya kepada mStar Online.
Maya berkata, dia sendiri tidak tahu apa yang harus dibuat dengan cincin itu dan ia masih berada dalam simpanan ibunya.
Namun Maya berhasrat untuk mengabaikannya selain bimbang diri dia berada dalam keadaan bahaya kerana diminati orang yang tidak dikenali.
“Apa yang boleh saya katakan, mengabaikannya adalah tindakan paling wajar harus saya buat kerana saya langsung tidak mengenali tuan empunya diri dan bimbang akan mendatang ancaman bahaya pada diri saya kelak,” katanya kepada mStar Online.
Bercerita lanjut mengenai perkara itu, kata Maya, dia bersyukur kerana pada waktu lamaran itu dibuat, dia bercuti di Jerman.
Maya Karin.
Ujarnya, apabila seseorang yang tidak dikenali sanggup melamar dengan membawa sebentuk cincin, ia menggambarkan sesuatu yang pelik selain amat menakutkan.
Bagaimanapun peristiwa itu tidak bermakna dia akan terus fobia untuk menerima lamaran sekiranya mengikut cara yang betul. Malah dia sendiri mengaku dalam proses mencari pengganti.
“Agak sukar memperkatakan soal pengganti sekarang. Bukan kerana saya tidak mencari, tetapi sehingga sekarang masih belum jumpa.
"Selalunya orang yang saya nak, dia tidak serius. Tetapi bila ada yang serius, saya pula tak terbuka hati. Agak rumit juga situasi itu,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Maya berkata sejak kerap ke luar negara, ada juga lelaki berbangsa asing yang mahu mengenali dirinya dengan lebih rapat.
Apa yang membuatkan dia berasa lebih selesa, lelaki itu langsung tidak mengetahui statusnya sebagai seorang selebiriti di Malaysia dan cuba menerima dia seadanya.
“Saya senang katakan yang kami berkawan. Setidak-tidaknya saya tahu dia terima diri saya seadanya tanpa mengetahui siapa diri saya di Malaysia,” katanya ringkas.
Maya Karin pernah berkahwin dengan Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali Abdullah pada 14 Ogos 2008 di Itali dan disahkan bercerai talak satu pada 16 Julai 2010.
Maya yang kini kembali aktif dalam kerjaya nyanyian mengakui agak sibuk dengan rangka promosi single terbarunya 'Serik Dengan Cinta'.
Bagaimanapun Maya menjelaskan judul single tersebut tiada kena mengena dengan dirinya dan bersifat kebetulan.