Biarpun Ratu Rock negara Ella kerap tampil dengan konsert berskala mega sepanjang lebih 30 tahun kariernya dalam industri, namun setiap daripadanya terisi kisah berbeza untuk diterjemah oleh peminat.
Tidak kira di pentas mana pun seperti di dalam stadium atau pentas ikonik Dewan Filharmonik Petronas sambil diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Ella berjaya meninggalkan kesan yang cukup istimewa dalam setiap persembahannya.
Tahun ini, Ella kembali dengan penganjuran konsert di pentas berprestij Istana Budaya menerusi Ella Unplugged In Kuala Lumpur yang berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat minggu lalu.
Persembahan pemilik nama Nor Zila Aminuddin pada malam itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Peace (akustik), Love (asli) dan Rindu (rock & roll) yang diambil daripada judul album terkininya Peace.Love.Rindu.
Tepat pukul 9 malam, pentas dibuka dengan kemunculan Ella yang berbusana serba hitam dan penuh bertenaga.
Sambil duduk di atas kerusi, Ella mendendangkan rangkaian lagu popularnya seperti Nuri, Permata Pemotong Permata, Cinta Dusta, Esok Selamanya, Aku Kau Dia, Tiada Tangis Lagi dan Penjara Misteri dalam versi akustik menerusi segmen Peace.
Dalam kelunakan vokalnya, satu hal yang sentiasa segar tentang Ella adalah sifat manja dan aksi comelnya ketika berada di atas pentas tidak pernah berubah sejak dahulu.
Sekali sekala berinteraksi dengan peminat, Ella ada kalanya mencuit hati penonton dengan sikap keanak-anakan sehingga mengundang gelak tawa seisi dewan.
Persembahan diteruskan dengan untaian lagu popular beliau seperti Layar Impian, Demi, Cinta Selembut Sutera, Rama-Rama dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.
Biarpun dalam posisi santai duduk di atas kerusi, tiada langsung kecacatan dapat dikesan dalam vokalnya ketika mendendangkan lagu.
Ella yang cukup sinonim dengan gaya bersahajanya dilihat turut menggunakan bahasa tubuh sebagai tanda berkomunikasi dengan peminat ketika membuat persembahan.
Menukar suasana agar tampak lebih meriah, Ella mengundang penyanyi Korie yang merupakan adiknya tampil ke atas pentas bagi menyampaikan lagu duet popular mereka, Pergilah Sayang.
Persembahan kedua-dua penyanyi itu cukup memukau. Selain berjaya mengimbau nostalgia peminat, satu hal yang lebih menarik adalah lantunan vokal mereka yang tidak pernah berubah.
Bertukar pasangan di atas pentas, Ella kemudiannya teruja menjemput penyanyi undangan iaitu suaminya sendiri, Azhar Ghazali untuk mendendangkan dua buah lagu berjudul Mendung Tak Bererti Hujan dan Peace.Love.Rindu.
Ella sesekali mengusik Azhar yang pertama kali muncul di atas pentas besar, namun jauh di sudut hati wanita itu beliau sangat mengagumi keberanian suaminya.
“Saya kagumi dia. Walaupun seorang yang pemalu, tetapi dia kebalkan hati. Terima kasih sayang,” ujarnya manja sambil disambut dengan sorakan peminat.
Tradisional
Memasuki segmen kedua, penyanyi yang pernah muncul bersama kumpulan The Boys sekitar 1980-an itu membuat kejutan kepada peminatnya dengan menyajikan persembahan lagu-lagu tradisional menerusi dua buah lagu iaitu Sayang Di Sayang dan Keroncong Kemayoran.
Segmen kedua itu membuktikan bahawa penyanyi rock sepertinya mampu membawakan lagu berbeza genre terutamanya yang bersadur tradisional.
Sambil berseloroh, Ella berkata, beliau berasa dirinya sangat feminin dan ayu tatkala menyanyikan lagu tradisional kerana karya itu cukup terkenal dengan lentok suara serta gaya yang penuh lemah gemalai.
“Seterusnya saya akan nyanyikan lagu Tak Seindah Wajah. Lagu ini saya akui sangat susah tetapi saya sangat sukakannya. Tidak kisah sedap atau tidak pada pendengaran anda, tetapi saya tetap mahu menyanyikannya.
“Lagu-lagu tradisional masih sedap didengar sehingga ke hari ini. Oleh itu, saya menyeru agar kita semua memelihara warisan ini agar tidak luput ditelan zaman,” ujarnya sebelum menyambung persembahan dengan lagu Sembilu yang digarap dengan elemen tradisional.
Bukan selalu peminat dapat menyaksikan Ella yang cukup terkenal dengan karya rock tampil dengan sebuah persembahan berbeza lebih-lebih lagi dalam versi tradisional.
Apatah lagi pada malam itu Ella mempersembahkan sebuah persembahan tradisional yang lengkap apabila turut mengundang barisan penyanyi daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Persembahan yang diberikan Ella sangat menarik kerana pemilihan lagu yang dibawa pada malam itu sangat bersesuaian dengan suaranya yang serak-serak basah.
Sungguhpun begitu, terdapat momen yang bergerak perlahan kerana irama lagu itu sendiri yang cukup ‘sopan’. Aura tradisional sebenar hanya dapat dirasai peminat pada bahagian penutup segmen tersebut apabila dipersembahkan tarian rancak daripada barisan penari menerusi lagu Pematah Hati dalam versi zapin.
Tetap rock
Kelincahan penari termasuk penari cilik berjaya menggamit suasana dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang nyata teruja dengan persembahan mereka.
Sedang asyik menikmati persembahan, waktu berlalu begitu pantas sehingga tidak sedar konsert sudah hampir ke penghujungnya apabila memasuki segmen ketiga iaitu Rindu (rock & roll).
Suasana yang meriah dengan tarian Melayu sebelum itu pantas bertukar wajah dengan kemunculan Ella yang tampil penuh energetik menyampaikan lagu Permata Biru dan Kitalah Bintang.
Biarpun penganjuran konsert pada malam itu berpaksikan kepada jenis persembahan unplugged, namun Ella tidak dapat lari daripada imej sejatinya iaitu seorang penyanyi rock.
Oleh kerana itu, beliau tetap menyelitkan segmen lagu-lagu rock yang membariskan untaian hit sepanjang zamannya seperti Puteri Kota, Dua Insan Bercinta, Cinta Berakhir dan lagu daripada album Peace.Love.Rindu berjudul Sujud.
Ketiga-tiga lagu itu disampaikan Ella sambil diiringi Lord Lokman daripada The Boys, Edrie Hashim dan suaminya Azhar yang menampilkan bakat bermain gitar.
“Elemen rock memang tidak dapat lari daripada Ella. Imej dan aura itu selamanya ada pada dia. Jadi, segmen rock perlu ada walaupun mungkin ada yang pertikaikan mengapa konsert uplugged ada elemen itu. Sebab pada akhirnya peminat tetap teruja apabila segmen rock dipersembahkan,” jelas pengarah muzik, Rio Rasul.
Sebelum menutup pentas, Ella menghadiahkan beberapa buah lagu wajib acap kali beliau mengadakan persembahan seperti Kesal, Bayangan, Pengemis Cinta dan Gemilang.
“Terima kasih kepada semua yang hadir. Sebelum mengakhiri persembahan, saya ingin mengumumkan bahawa sejumlah wang hasil kutipan tiket konsert akan disalurkan kepada Yayasan Autism Malaysia,” ujarnya.
Meski beribu kali Ella membuat persembahan tidak kira berskala kecil atau besar, hanya satu ayat yang layak menggambarkan wanita itu. Tiada tandingan dan sentiasa hebat.
Biarpun usianya sudah menjengah angka 53 tahun, namun tiada yang berubah tentang aura seorang bintang dan suaranya. Suara serak-serak basah itulah yang tetap menjadi permintaan dan igauan buat peminat yang sentiasa dahagakan kualiti seorang penghibur sejati.
Walau tahun berganti tahun, zaman dan selera peminat muzik semakin berubah Ella tetap utuh sebagai ikon rock negara. Kedudukannya langsung tidak tergugat dengan kebanjiran ramai pendatang baharu.
Hal ini kerana, Ella hanya satu, tiada duanya. Malah, satu hal yang pasti, sampai ke hari ini masih tiada penyanyi rock wanita lain yang mampu menandinginya. Untaian lagunya bukan sahaja berjaya merentas zaman, tetapi kekal subur dalam jiwa peminat daripada dahulu sehingga kini.