Shah Hazvee pertahan idea buka pub halal




Shah Hazvee meminta netizen tidak berlagak seperti seorang pakar agama. Foto Instagram @shahhazvee

Gara-gara menyatakan hasrat membuka pub halal untuk golongan muda, pelakon baharu Shah Hazvee menerima kecaman netizen yang ternyata kurang senang dengan idea tersebut.

Shah, 23, bagaimanapun memilih untuk mengabaikan komen negatif tersebut dan meminta netizen tidak menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya tanpa mengetahui niat asalnya itu.

"Biarlah orang nak cakap apa pun, saya tahu niat saya dan memang ini impian saya untuk buka satu pub halal khusus untuk golongan muda melepak dan berhibur.

"Netizen yang mengecam ini tak tahu apa-apa, jadi saya mampu gelak saja! Semua orang nak jadi Tuhan dan nak jadi ustazah segera, cepat betul menghukum tanpa selidik terlebih dahulu.

"Sekarang ni apa orang nak cakap, cakaplah! Saya akan buktikan pub halal itu nanti akan berjaya dan ramai orang akan buka mata mengenai idea saya ini," katanya.



Kecaman netizen di laman Facebook sebuah portal berita tempatan.

Sebelum ini, menerusi laporan sebuah portal hiburan, pelakon drama Monalisa dan Hero Bomba 2 ini berkata dia merancang untuk menjalankan bisnes pub yang dikhususkan buat golongan muda tidak lama lagi.

Selain dihiburkan dengan muzik, pub tersebut juga dikatakan hanya menghidangkan minuman dan makanan halal untuk pengunjung.

Cetusan idea tersebut mengundang perbalahan netizen di laman sosial dan menyifatkan pelakon ini sebagai dungu kerana tidak tahu membezakan antara pub dan kafe.

Malah, beberapa portal berita luar negara termasuk Indonesia dan United Kingdom turut melaporkan artikel yang sama.



Portal berita luar negara turut melaporkan mengenai kecaman netizen itu.

Sementara itu, pemilik nama Muhammad Shah Radhi Hazvee ini berkata dia tidak akan mengalah dan berputus asa untuk membangunkan perniagaan pub tersebut.

Ujarnya, kecaman dan kritikan itu tidak meninggalkan kesan buatnya, malah menjadikan dia lebih bersemangat memperkenalkan cabang baharu perniagaan tersebut.

"Lantaklah... netizen kita ni ada sahaja benda yang tak kena. Teruskanlah mengecam, sikit pun tak tinggalkan kudis dekat saya. Pub halal tetap akan beroperasi tidak lama lagi.

"Sejujurnya, saya terkejut juga apabila ada peminat menghantar paparan skrin laporan portal luar negara mengenai berita itu.

"Mungkin kalau bisnes ini berjaya di Malaysia, satu hari nanti saya boleh kembangkan secara francais di luar negara pula. InsyaAllah," ujarnya.



Previous Post Next Post