Josiah Hogan dapat anak keempat




PELAKON Josiah Hogan, 34, dikurniakan anak keempat selepas isterinya NurulHidayu Mohamed Nordin selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.6 kilogram, jam 1.37 pagi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, hari ini.

Josiah ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kelahiran itu dipermudahkan, namun sedikit bimbang apabila isterinya mengalami kesakitan yang lebih untuk proses kelahiran kali ini.

"Kelahiran kali ini sedikit berbeza disebabkan isteri tidak dibenarkan bersalin dalam bilik bersalin. Ini disebabkan untuk mengelakkan daripada risiko jangkitan Covid-19.

"Saya juga agak risau memandangkan isteri mengalami kesakitan yang lebih sedikit berbanding bersalin sebelum ini. Jadi, hari-hari saya pantau keadaan dia untuk melihat perkembangannya," katanya.


Pelakon Degup Cinta itu berkata, buat masa ini mereka belum memutuskan nama untuk bayi perempuan terbabit.

"Isteri saya baru dibenarkan keluar dari hospital. Kami masih dalam perbincangan untuk memberi nama kepada ahli baru dalam keluarga kami ini," katanya.

Josiah dan NurulHidayu mendirikan rumah tangga pada Mei 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ireleen Padilla Hogan, 6, dan Irsa Padilla Hogan, 4. Ini adalah perkahwinan kedua pelakon terbabit.

Pada perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan anak lelaki iaitu Irvine Padilla Hogan yang kini berusia 14 tahun.

Previous Post Next Post